Semua orang pernah buat silap,jadi insaf demi kehidupan lebih sempurna.Gambar hiasan
PERCAYALAH, sepanjang dua tahun terbabit dengan penyalahgunaan dadah, ia memberi pengajaran dan keinsafan cukup besar kepada saya, jadi saya sentiasa berdoa supaya tidak terjebak semula," kata Sarah Suria Shahren (bukan nama sebenar) ketika ditemui wartawan Mega di Rumah Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) baru-baru ini.
Sarah, 22, adalah salah seorang daripada 10 mangsa dadah wanita yang kini sedang menjalani rawatan di Pengasih bagi memulih dan 'mengeluarkan' diri daripada masalah penyalahgunaan dadah.
Mengimbau 'detik hitam' penglibatannya dengan dadah, Sarah berkata, semuanya bermula pada usianya 19 tahun iaitu ketika dia menuntut di Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang dalam jurusan Diploma Kejuruteraan Elektrik.
Anak sulung daripada empat adik-beradik itu berkata, bebanan dan tumpuan tinggi yang perlu dilakukan sebagai pelajar memberikannya tekanan namun tidak mempunyai tempat mengadu.
Beliau berkata, kesibukan tugas ayahnya sebagai eksekutif kanan dan ibunya yang memegang jawatan dalam bidang grafik mengehadkan masa mereka untuk mendengar serta berbincang masalah dihadapi anak-anak.
"Walaupun saya rapat dengan ayah serta adik-adik, tetapi kesibukan mereka ditambah sikap ibu yang kurang mesra, gemar membuat keputusan terhadap anak dan tidak mahu mengalah menyebabkan saya lebih rela duduk di rumah sewa bersama rakan-rakan.
"Masa saya yang terhad bersama keluarga membuatkan saya lebih rapat dan percaya kepada rakan-rakan tetapi pada masa sama merasa tersisih daripada keluarga," katanya.
Sejak itu, katanya, beliau selalu menceritakan masalah pelajarannya kepada seorang rakan lelaki rapat yang kemudian memperkenalkannya kepada dadah jenis syabu.
"Rakan saya kata syabu adalah ubat yang mampu menenangkan jiwa dan memberi saya lebih tenaga untuk mengulangkaji pelajaran bagi tempoh lama setiap hari," katanya.
Mulai saat itu, katanya, beliau yang pada awal hanya mengambil syabu secara minimum dan 'suka-suka' akhirnya terpaksa bergantung sepenuhnya kepada bahan itu.
"Syabu memberikan saya tenaga maksimum sehingga tidak tidur selama tiga hingga empat hari dan mampu menumpukan sepenuhnya kepada apa sahaja tugasan yang saya lakukan," katanya.
Selain itu, jelasnya, walaupun rakan-rakan mengesyaki sesuatu apabila melihat dia tidak tidur lama, mereka akhirnya 'termakan' alasannya yang mengatakan dia sememangnya begitu.
Ujarnya, dia tiada masalah mendapatkan bekalan syabu kerana rakannya itu akan menjemputnya di rumah sewa sebelum mereka ke mana-mana lokasi tersembunyi untuk menagih bersama.
Namun, katanya, dia menyedari berat badannya mula susut secara mendadak, kurang selera makan, halusinasi (bercakap sendiri), emosi terganggu dan kurang tidur.
Katanya, selain menggunakan duit perbelanjaan pemberian ibu bapa dan pinjaman pendidikan, dia juga terpaksa mencuri barangan di rumah keluarga bagi mendapatkan wang kira-kira RM1,000 sebulan untuk membeli syabu.
Selepas dua tahun terjebak dengan dadah, katanya, barulah keluarga mengetahui, itupun ekoran sikapnya yang cepat marah apabila ditegur serta keluar rumah tanpa memaklumkan kepada keluarga ke mana tujuannya.
"Suatu hari, selepas saya tidak pulang ke rumah beberapa hari, ayah menelefon rakan baik saya bertanyakan di mana saya berada dan mungkin kerana kasihan kepada ayah dan mahu membantu saya yang semakin ketagih dadah, kawan baik saya memberitahu ayah bahawa saya di rumahnya.
"Ketika ayah datang mahu menjemput saya pulang, saya betul-betul 'naik angin' dan merasa dianiaya kawan baik sendiri tetapi selepas berbincang dengan keluarga secara baik, ibu bapa serta saya mengakui kesalahan masing-masing dan berjanji mahu mengubahnya," tambahnya.
Pada masa sama, ujarnya, ibu bapanya bertekad mahu menghantarnya ke pusat pemulihan dadah bagi memulihkan diri.
"Ibu bapa menelefon pak cik saya dan atas nasihatnya supaya memilih Pengasih, saya dihantar ke sini walaupun kesediaan saya hanya 50-50," katanya.
Kini, selepas menjalani rawatan selama lapan bulan dan bakal menamatkannya tidak lama lagi, Sarah berubah menjadi individu yang bebas dadah, berkeyakinan tinggi dan berfikiran terbuka.
Selain itu, dia juga memiliki banyak nilai murni, penyabar, lebih menyayangi keluarga, mudah bertolak-ansur, mensyukuri kehidupan dan bertekad untuk terus berubah ke arah lebih baik.
"Bayangkan dulu, jika saya pernah terfikir mahu membunuh ibu kandung sendiri, tapi kini ibu adalah rakan rapat yang kerap datang melawat saya sepanjang berada di Pengasih," katanya.
Menurut Sarah, apa yang mengagumkannya mengenai Pengasih, ia tidak mengajar pelatih supaya menjauhi dadah secara terus tetapi mendidik setiap pelatih nilai-nilai murni atau positif yang perlu ada dalam diri seseorang.
"Bila sudah ada nilai murni serta tahu apa patut atau tidak dilakukan, kita lebih sedar apa yang kita buat selama ini dan menjadikan kita berubah.
"Pengasih banyak membantu saya menguatkan mental dan berfikir secara logik jadi saya benar-benar menghargai peluang saya peroleh di sini serta sangat berterima kasih," ujarnya.
Cuma, katanya, selepas dibenarkan keluar dari Pengasih, beliau ingin menetap dan bekerja di Kuala Lumpur terlebih dahulu dalam tempoh tertentu sebelum benar-benar bersedia pulang ke Pulau Pinang untuk bersama keluarga.
"Cabarannya kini, saya perlu benar-benar kuat dan untuk ini, saya mesti menjauhi rakan lelaki saya, tidak melihat tempat saya 'lepak' menghisap dadah dulu dan menjauhi punca lain yang menyebabkan saya terbabit dengannya.
"Tolonglah tulis nasihat saya kepada setiap individu yang belum menghisap dadah ini, supaya menjauhi dadah atau ketahui dahulu kesan buruknya manakala bagi mereka yang sudah terbabit, fikirlah semua orang pernah buat silap, jadi insaf demi kehidupan lebih sempurna," katanya.
Bagi bekas penagih dadah Filipina, Daphne Sarmiento, yang pernah mendapatkan rawatan pemulihan kira-kira empat bulan di Pengasih, keinginan tinggi untuk mengetahui bagaimana rasanya menghisap dadah dan tindakannya mencuba bahan itu, mengheret dia ke dalam kehidupan terumbang-ambing selama 14 tahun.
Berbadan kecil molek, berwajah jelita dan berkeyakinan tinggi membuatkan orang yang tidak mengenalinya sebelum ini mungkin sukar percaya beliau adalah bekas penagih dadah.
Membuka bicara, wanita berusia 30-an yang sentiasa tersenyum ini berkata, dadah hampir memusnahkan dirinya dan membuatkan beliau sentiasa membelakangkan keluarga.
"Walaupun mampu menenangkan jiwa tetapi ia hanyalah dalam tempoh singkat dan dadah sebenarnya lebih banyak membuatkan kehidupan seseorang yang mengambilnya sukar.
"Setiap kali tidak memperolehnya atau ketagih, saya akan bersikap agresif dan berkasar dengan keluarga yang amat menyayangi saya," katanya.
Bermula dalam kuantiti dadah yang sedikit atau diambil dalam jarak waktu lama, jelasnya, dia mula ketagih terutama apabila ada masalah dan sejak itu, ia semakin bertambah setiap hari.
Akhirnya, dengan keazaman yang tinggi dan atas sokongan keluarga serta kekasih, dia bertekad memulihkan masalah penagihan dadah dihadapi dan melangkah masuk ke Pengasih.
Peringkat awal rawatan, ujarnya, ia memang sukar, tambahan berada bersama pelatih Malaysia yang berbeza agama serta budaya dengannya namun atas komitmen tinggi tenaga pengajar membantu, dia meneruskan rawatan hingga berjaya.
"Selepas tamat rawatan, saya menukar nombor telefon, bertukar rakan-rakan dan berhenti bersosial secara negatif bagi memastikan saya tidak terjebak kembali dalam penagihan dadah.
"Hari ini, saya adalah individu yang penuh ciri-ciri positif, lebih rapat dengan keluarga dan giat menjalankan kerja-kerja amal membantu penagih di negara saya serta peringkat antarabangsa," tambahnya yang akan mendirikan rumah tangga tahun depan.
Seorang lagi bekas penagih, yang enggan dikenali berkata, dia bersetuju dengan Daphne bahawa dadah mampu memusnahkan seseorang.
Selama kira-kira berbelas tahun terbabit dengan dadah, ujarnya, dia bukan sahaja kehilangan ratusan ribu ringgit dan kedudukan jawatan tetapi juga kehancuran rumah tangga.
"Bayangkan boleh dikatakan hampir keseluruhan daripada ribuan ringgit duit gaji, saya habiskan untuk membeli dadah.
"Kesan ketagihan membuatkan saya sering bergaduh suami isteri dan saya menyalahkan dia 100 peratus sehingga kami bercerai," katanya.
Selepas satu pekerjaan, dia mendapat tawaran ke syarikat lain dengan pangkat lebih tinggi namun akibat menagih dadah, dia tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerja.
Menyedari diri semakin musnah, katanya, dia mengambil keputusan meletakkan jawatan dan mendaftar sebagai pelatih di Pengasih.
"Setahun saya sudah bebas daripada dadah sepenuhnya. Hari ini, saya melihat diri saya seorang yang lebih sihat, cergas, ceria, menghargai kehidupan, mudah bertolak ansur dan rapat dengan keluarga,'' katanya
Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN
Gambar D JOHAN dan MOHD. NAZUDEEN MAHMUD
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
09 December 2009
Insaf demi kehidupan lebih sempurna
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment