Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






18 December 2009

Pengelola sekolah maya















BAYANGKAN sekiranya pembaca berpeluang menjadi watak dalam novel dan boleh berinteraksi sesama sendiri. Semestinya, ia sesuatu yang menggembirakan.
BAYANGKAN sekiranya pembaca berpeluang menjadi watak dalam novel dan boleh berinteraksi sesama sendiri. Semestinya, ia sesuatu yang menggembirakan.

Bukan saja pembaca boleh memberikan idea sendiri untuk jalan cerita novel yang dikendalikan, tetapi pada masa sama mengumpulkan peminat di suatu tempat, di samping merapatkan hubungan antara penulis dan peminat.

Itulah antara kelainan ditonjolkan penulis novel remaja, Ain Maisara, 27, melalui laman blog kendaliannya di www.sekolahsribangsar.com.

Lengkap dengan nama sekolah, lencana, lagu, buku latihan dan kelengkapan peralatan lain, tiada siapa menyangka 'sekolah' berkenaan hanyalah bangunan atau kawasan yang wujud di alam maya.

Bayangan sekolah maya berkenaan diberikan secara terperinci hingga dapat meyakinkan peminat ia sememangnya wujud dalam alam nyata dan menjalankan aktiviti harian seperti sekolah sedia ada.

Menurutnya, walaupun baru ditubuhkan enam bulan lalu, sekolah maya terbabit memiliki 6,000 'pelajar' tanpa mengira peringkat usia.

Syarat dikenakan untuk menjadi pelajar sekolah maya itu cukup mudah iaitu dengan hanya mendaftarkan diri dan menjawab soalan berkaitan untuk dikelaskan dalam empat rumah sukan tersedia.

Setiap rumah sukan berkenaan dikategorikan dengan empat unsur alam dan warna berbeza iaitu tanah mewakili rumah hijau, air (biru), api (merah) dan angin (kuning) agar bersesuaian dengan karakter pelajar yang berdaftar.

Sekolah maya berkenaan memiliki lima tahap dan setiap pelajar yang baru mendaftar akan diserap masuk ke tingkatan satu secara automatik.

Untuk meningkatkan tahap pengajian mereka di sekolah terbabit, apa yang perlu dilakukan adalah bermain, berinteraksi dan menjalankan aktiviti yang ada secara aktif dan sistematik.

Malah apa yang menariknya, setiap permasalahan, pertanyaan dan jawapan diberikan pembaca akan menentukan lanjutan kisah yang diwujudkan Ain Maisara dalam bukunya.

Daripada keseluruhan pelajar sedia ada, hanya 10 pelajar berjaya meningkatkan tahap pengajian mereka ke tingkatan lima.

Menceritakan pengalaman mewujudkan laman berkenaan Ain berkata, pernah berlaku peristiwa ada ibu bapa yang sanggup membawa anak mereka ke Bangsar semata-mata untuk mencari sekolah berkenaan.

"Saya sendiri terkejut mendengar ada ibu bapa yang sanggup menghantar anak mereka belajar di situ, sedangkan ia hanyalah imaginasi bagi menempatkan peminat yang mengikuti perkembangan novel terbabit.

"Walaupun nampak nyata, sebenarnya sekolah maya itu hanya rekaan untuk menarik lebih ramai peminat mendekati bahan bacaan berkenaan," katanya.

Menurutnya, dengan persaingan yang wujud daripada media elektronik seperti Internet, sudah semestinya kita perlu mencari jalan untuk mencipta sesuatu yang baru dan menggabungkan semuanya untuk menjadikannya lebih interaktif serta menarik.

Daripada pengaruh permainan secara dalam talian, ia mendorongnya mencari satu cara yang boleh digunakan bagi menjadikan laman webnya lebih bermaklumat.

Malah pembaca juga boleh berinteraksi dengan setiap watak yang ada dalam novel Ain Maisara dan melihat sendiri kewujudan mereka sama seperti yang ditulis dalam buku.

"Saya ingin mewujudkan hubungan lebih bermakna dengan pembaca bukan hanya sebagai peminat, tetapi mereka boleh menyumbang kepada perkembangan cerita supaya tidak ketandusan idea.

"Ramai antara mereka mempunyai bakat dalam bidang penulisan dan ia tidak seharusnya dipinggirkan. Kerjasama ini memberi kebaikan kepada semua pihak," katanya ketika ditemui di ibu pejabat PTS di Batu Caves, Selangor, baru-baru ini.

Sepanjang dua tahun pembabitan Ain dalam bidang penulisan ini, 10 buku berjaya diterbitkan melalui siri Aku Mahu serta lanjutan kisah berkenaan melalui siri Impiana dan Buletin Sri Bangsar (BSB).

Malah untuk setiap buku, Ain Maisara turut menyediakan novel comel yang menceritakan mengenai watak dalam kisah berkenaan.

Dari situ, pembaca boleh mengetahui lebih lanjut perkembangan watak berkenaan misalnya, sebab dijadikan sedemikian rupa serta kisah seterusnya.

Selain itu, setiap kisah yang ditulis tidak akan tamat begitu saja malah akan ada sambungan untuk menjadikannya lebih menarik supaya peminat tidak sabar untuk menantikan kemunculan kisah selanjutnya.

Sementara itu, menurut suami merangkap pengurus Ain, Syaizulamal Zulkaffli, 32, sebagai penulis novel sepenuh masa, Ain memperuntukkan masa lima jam sehari bermula jam 1 pagi hingga 6 pagi untuk menulis bukunya.

Dalam seminggu, Ain boleh menulis dan menyiapkan 10 muka surat karyanya.

"Sebagai suami, sudah tentu saya menyokong penuh minatnya dan akan berusaha untuk memastikan kerjayanya menjadi lebih mantap serta dikenali ramai pada masa akan datang.

"Ain sebagai penulis manakala saya lebih kepada bahagian teknikal dan kerjasama ini jelas menunjukkan gabungan serasi bagi memastikan nama Ain Maisara gah di mata peminat serta bidang penulisan," katanya.

Katanya, setiap tahun Ain memastikan peminatnya memperoleh sesuatu yang baru daripadanya termasuk tahun ini dengan menjalankan Program Jelajah Ain Maisara ke sekolah.

Program terbabit diadakan untuk memberikan penerangan mengenai kehidupan serta kerjaya penulis kepada pelajar sekolah sekali gus memberi kesedaran supaya mereka tidak memandang remeh bidang ini.

"Kami mensasarkan mengunjungi 40 sekolah seluruh negara dalam masa setahun dan sejak mula diperkenalkan, 11 sekolah berjaya dilawati.

"Kami akan bergiat lebih aktif tahun depan untuk mencapai sasaran serta merancang mengembangkan program ini ke Sabah dan Sarawak," katanya.

Profil

NAMA: Ain Maisara Daliman

NAMA PENA: Ain Maisara

TARIKH LAHIR: 5 Mac 1982

TEMPAT LAHIR: Johor Bahru

KERJAYA: Penulis sepenuh masa

PENDIDIKAN: Diploma Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL), Universiti Darul Iman Malaysia

ADIK-BERADIK: Anak keempat daripada lima beradik

PENCAPAIAN: Duta PTS Publication. Berjaya terbitkan 10 buku dalam masa hanya dua tahun pembabitan dalam bidang penulisan novel

STATUS: Berkahwin

NAMA SUAMI: Syaizulamal Zulkaffli
Oleh Rosmaliana Aida Mohd Adnan
rosmaliana@hmetro.com.my

No comments: