HUJAN meteor menghiasi pusat kaji bintang Beijing, China pada 1998. Fenomena serupa dijangka berlaku pada esok atau Isnin jika melihat ke arah sebelah timur terutama awal pagi.
SATU daripada fenomena cakerawala menarik sepanjang tahun ini ialah hujan meteor geminid. Meteor adalah tahi bintang. Tahi bintang boleh kelihatan saban malam ketika ruang angkasa tidak dilindungi awan atau diganggu oleh cahaya lampu.
Tahi bintang ini kelihatan sekali sekala, tidak kelihatan seperti datang menurun dalam jumlah yang banyak. Jika anda ingin melihat tahi bintang dalam jumlah yang banyak, buatlah perancangan dan persediaan pada awal pagi esok atau Isnin ini sekitar jam 2 pagi hingga ke fajar menyinsing.
Itulah waktu kemuncak hujan meteor geminid yang pasti akan berlaku seperti diduga oleh ilmuwan astronomi. Di seluruh dunia, berjuta-juta peminat astronomi sama ada di kalangan amatur atau profesional akan turut mendongak ke langit ke arah Timur menghadap gugusan Gemini bagi menyaksikan satu sajian alam semesta yang menawan ini.
Tahi bintang geminid boleh dilihat di pelosok mana saja, dari kedua-dua hemisfera selatan dan utara dunia. Sebenarnya meteor geminid sudah boleh kelihatan mulai selesai waktu senja tetapi kekerapannya atau pesta tahi bintang geminid akan berlaku selepas tengah malam dan memuncak pada waktu pagi.
Pada awal pagi, tarikh berkenaan dijangkakan kita boleh melihat sekurang-kurangnya 100 tahi bintang dalam tempoh waktu sejam. Fenomena ini bagaikan menghiasi ruang langit yang gelap itu. Ia kelihatan indah dan fenomena ini dikatakan sebagai suatu sajian cakerawala paling menarik bagi menutup tirai fenomena astronomi untuk 2009.
Kita akan dihidangkan satu pertunjukan bola api kecil yang menyeberangi langit. Bagi tahun ini ia berlaku ketika anak bulan belum muncul, bererti tiada sinaran bulan yang boleh menjejas penglihatan kita terhadap fenomena itu.
Tahun lalu, kemuncak hujan meteor geminid terjadi pada saat serentak purnama penuh. Sajian hujan meteor geminid ini akan mengatasi hujan meteor perseid dan leonid yang berlaku masing-masing pada Ogos dan November lalu.
Apa yang sebenarnya berlaku tatkala fenomena ini? Apabila bumi berputar dan menghadap buruj Gemini, maka akan kelihatan tahi bintang turun bagaikan hujan yang terang lagi jelas seakan-akan bersumber daripada gugusan itu, lantas namanya meteor geminid.
Tahi bintang berupa kerlipan cahaya yang terang itu berhayat tidak sampai dua saat. Ia bergerak dengan kelajuan sekitar 35 kilometer sesaat. Kelajuan meteor geminid menembusi atmosfera bumi dikategorikan sebagai meteor yang berkelajuan sederhana.
Jika tahi bintang itu sampai ke daratan bumi, ia menjadi meteorit. Jika kita halusi cahaya meteor geminid terpantas, ia kelihatan berwarna kuning dan biasanya pula berwarna kebiruan. Jaluran cahaya itu adalah akibat serpihan daripada objek langit, digelar 3200 phaethon, juga dinamakan sebagai komet purba yang sudah mati memasuki atmosfera bumi.
Pergeseran itu menyebabkan terjadinya jaluran cahaya di angkasa bumi. Serpihan itu yang terdiri daripada ais atau debu tidak tahan lama. Ia terbakar dan meninggalkan kesan jalur cahaya yang indah dilihat.
Meteor geminid dikesan sejak 150 tahun dulu dan dipercayai setiap tahun ia akan bertambah jelas dengan syarat cuaca ketika melihatnya adalah gelap gelita. Pada tahun ini, objek 3200 Phaethon berada pada jarak 18 juta kilometer dari bumi, jarak terdekat pernah ia hampiri. Objek langit 3200 Phaethon adalah sebesar saiz bumi.
Jadi bersedialah menunggu detik awal pagi esok dan Isnin ini. Pada waktu itu nanti, hujan meteor geminid pasti terjadi. Hujan meteor geminid adalah peristiwa yang terjadi setiap tahun dan dianggap paling memberikan pertunjukan yang memuaskan.
Jika ditakdirkan malam esok hingga Isnin ini bercuaca baik, maka anda boleh melihat hujan meteor geminid dan menikmati pengalaman bahawa anda benar-benar melihat hujan meteor.
Oleh Ramli Abdul Samad
Penulis ialah Pengurus Pengetahuan, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
12 December 2009
Saksi keindahan hujan meteor geminid hiasi langit awal pagi esok
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment