Krismas rapatkan persahabatan dan kekeluargaan
Bertukar-tukar hadiah merupakan tradisi menyambut Krismas.
Tanggal 25 Disember setiap tahun, jutaan penganut Kristian di seluruh dunia akan menyambut perayaan Krismas.
Tidak kira sama ada dari mazhab Katolik, Protestan, Anglican ataupun Methodist, yang pasti mereka akan pergi ke gereja dengan matlamat menjadi saksi kepada kelahiran Jesus Christ.
Seperti sambutan hari kebesaran kaum lain, Krismas turut memainkan peranan penting dalam menyemarakkan semangat perpaduan, toleransi beragama, keharmonian budaya dan persefahaman di negara kita ditambah pula dengan semangat 1Malaysia yang dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.
Bagi seorang guru, Eugene Mark Morais, 41, menyambut perayaan Krismas adalah satu kemestian padanya walaupun berlainan bangsa.
''Walaupun saya berbangsa India namun kami sekeluarga mengamalkan agama Kristian Katolik, jadi Krismas adalah satu kemestian untuk dirayakan.
''Malah perayaan ini juga adalah penantian kami setiap tahun kerana inilah hari untuk bertemu dengan sanak-saudara dan rakan-rakan yang datang berkunjung ke rumah,'' ujarnya yang tinggal bersama ibunya di Petaling Jaya, Selangor.
Bercerita mengenai perayaan Krismas, Eugene memberitahu, sebenarnya ia tidak banyak berbeza dengan amalan perayaan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Jika tarian singa dan pemberian angpau merupakan ciri-ciri utama dalam perayaan Tahun Baru Cina, sementara ketupat dan lemang diinterpretasikan sebagai sambutan Hari Raya Aidilfitri, maka pokok Krismas dan Santa Claus pula sinonim dengan Krismas.
''Biasanya 10 hari sebelum Krismas kami sekeluarga akan sibuk membuat persiapan di rumah termasuklah menghias pokok Krismas dan tempat untuk meletakkan patung Jesus yang dipanggil Chrib.
"Persiapan harus disediakan sebelum carollies (sekumpulan penyanyi) datang membaca doa di rumah,'' katanya.
Jelasnya, amalan memasang pokok Krismas dan kehadiran Santa Claus dalam perayaan Krismas dipercayai bertitik tolak sejak berabad-abad lamanya dan menjadi antara simbol kepada Hari Krismas.
Yang menariknya, tradisi tersebut terus menjadi ikutan penganut Kristian hingga ke hari ini.
''Kami percaya tindakan menghias pokok Krismas merupakan satu-satunya cara paling berkesan untuk menikmati keindahan dan keghairahan perayaan ini.
''Tidak kurang juga, ada merasakan menghias pokok Krismas mampu mencetuskan suasana perayaan yang lebih meriah.
''Saya sendiri rasanya tidak lengkap jika perayaan yang disambut tanpa pokok Krismas,'' ujarnya yang berkhidmat sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama, Damansara.
Ditanya mengenai juadah yang wajib dihidangkan, Eugine memberitahu, tetamu akan dihidangkan dengan masakan nasi tomato, biskut serta manisan.
''Biasanya tetamu yang hadir akan dihidangkan dengan kek Krismas (kek buah-buahan) dan juga wain,'' katanya.
Jelasnya, istimewanya hidangan tersebut, kek Krismas tersebut biasanya disediakan dari tahun sebelumnya lagi untuk dihidangkan pada tetamu yang datang pada hari Krismas tahun ini.
"Jangan risau, kek buah-buahan ini masih baik dan sedap dimakan. Ia rasa manis dan dibuat daripada campuran buah-buahan,'' ceritanya bersungguh-sungguh.
Selain itu, menurut Eugine, tetamu yang datang akan menerima hadiah.
''Biasanya kami akan bertukar-tukar hadiah sebagai menghargai antara satu sama lain,'' katanya yang tidak sabar untuk menyambut Hari Krismas.
Sementara itu bagi jirannya, Amy Tew, 40, merasakan bertuah kerana dapat meraikan dua perayaan, Krismas dan Tahun Baru Cina setiap tahun.
''Walaupun dilahirkan sebagai bangsa Cina tetapi menganut agama Kristian, maka sebab itulah saya meraikan kedua-dua perayaan, inilah yang dikatakan konsep 1Malaysia,'' ujarnya .
Ditanya mengenai sambutan Hari Krismas , Amy memberitahu, kebiasaannya dia bersama suami akan meraikan hari istimewa tersebut di rumah orang tuanya yang berdekatan kawasan rumahnya.
''Sudah menjadi kemestian kami sekeluarga akan berkumpul beramai-ramai bersama adik-beradik yang lain selepas pulang dari gereja pada malam Krismas,'' terangnya.
Akuinya lagi, biasanya selepas balik dari gereja mereka akan bersama-sama menyiapkan hidangan untuk dimakan pada keesokan harinya.
''Selalunya tetamu akan dihidangkan dengan ayam Turki panggang dan juga masakan Barat,'' katanya.
Manakala bagi temannya, Prof. Dr. Corolina Lopez Caballero, sudah sebati meraikan perayaan Krismas di negara ini.
''Tahun ini adalah kali ke-20 saya meraikan Hari Krismas di Malaysia, walaupun bukan di negara sendiri tetapi saya gembira meraikan perayaan ini'' ujar pegawai penyelidikan di Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya.
Warganegara Mexico ini memberitahu, walaupun beraya di negara orang tetapi masakan tradisional seperti, Titamales (daging masak merah), Bunyelos (roti manis) serta Champurrado ( minuman coklat) tetap disediakan.
Katanya, walaupun Malaysia sebuah negara Islam, Hari Krismas menjadi bukti masyarakatnya berfikiran terbuka dan saling menghormati agama lain.
''Ia cukup mengagumkan. Saya gembira menyambut Krismas dengan rakan di sini. Di sini sangat indah dan selamat, kami semua seronok dan menyukainya.
"Walaupun terasa rindukan keluarga di Chihuahua, Mexico, namun dengan kehadiran rakan-rakan, kerinduan itu sedikit terubat," jelasnya.
Oleh Zuhayati Yazid
Gambar ASMARUDDIN JAMALUDDIN
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
25 December 2009
Selamat Menyambut Hari Natal
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment