Terengganu sewajarnya layak mendabik dada apabila sekali lagi dinobatkan sebagai negeri terbaik buat kali kesembilan berturut-turut yang mencapai keputusan UPSR seperti mana diumumkan pada 19 November lalu.
DAHULU dikenali sebagai peperiksaan Penilaian Darjah 5, kini sudah diganti menjadi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bermula tahun 1986 lagi. Konsepnya serupa, cuma bezanya adalah tahun peperiksaan yang diduduki.
Kalau peperiksaan Penilaian Darjah 5 untuk murid tahun lima, UPSR pula untuk murid tahun enam. Sehinggalah sekarang UPSR terus diadakan dan saban tahun akan diduduki sejumlah para calonnya.
Rasionalnya, bermula dari UPSR, ia menentukan potensi dan kewibawaan calon untuk menduduki siri peperiksaan selanjutnya meliputi Penilaian Menengah Rendah (PMR), dulu dikenali sebagai Sijil Rendah Pelajaran SRP.
Begitu juga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Keputusan yang diperoleh turut menjadi penentu peluang setiap calon untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi termasuk ke universiti.
Di Terengganu, setiap tahun, akan ada ribuan calonnya dari kalangan murid tahun enam di seluruh negeri itu yang menduduki UPSR.
Lazimnya, setiap kali tarikh keputusan diumumkan, ada calon seronok kegembiraan sejurus memperoleh keputusan cemerlang. Tidak kurang juga yang mendapat keputusan sebaliknya.
Dalam hal ini, Terengganu sewajarnya layak mendabik dada apabila sekali lagi dinobatkan sebagai negeri terbaik buat kali kesembilan berturut-turut yang mencapai keputusan UPSR seperti mana diumumkan pada 19 November lalu.
Kegemilangan itu menyaksikan seramai 3,664 daripada 23,944 calon UPSR di 381 pusat peperiksaan negeri berkenaan berjaya memperoleh semua A dalam mata pelajaran yang diambil.
Keputusan itu juga mencatatkan peningkatan 15.3 peratus yang mendapat semua A berbanding keputusan UPSR yang diumumkan tahun lalu.
Seperti kata Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Ariffin Embong, keputusan pencapaian minimum C dalam UPSR kali ini juga meningkat kepada 68.8 peratus.
Nilai gred purata negeri (GPN) juga meningkat kepada 2.22 sekali gus mengatasi pencapaian tahun lalu, selain mengatasi GPN peringkat nasional.
Daripada keseluruhan subjek yang diambil, Matematik dan Sains menunjukkan peningkatan dengan tahun ini, 34.6 peratus mendapat A dalam Matematik berbanding 30.6 peratus pada 2008.
Subjek Sains pula meningkat 7.8 peratus kepada 29.6 peratus berbanding 21.8 peratus, tahun lalu.
Menurut Ariffin, sungguhpun sasaran 20 peratus mendapat A tidak tercapai, keputusan kali ini yang menyaksikan 15.3 peratus mendapat semua A merupakan yang terbaik berbanding pencapaian calon UPSR di negeri lain.
Berdasarkan GPN pula, sekolah berprestasi tinggi adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Mahmud apabila 47.02 peratus daripada 168 calonnya memperolehi semua A. Bagi SK Tengku Mahmud II pula, 39.6 peratus daripada 101 calonnya memperoleh semua A.
SK Sultan Sulaiman II pula muncul sekolah terbaik di Kuala Terengganu apabila 51 calonnya memperolehi semua A berbanding 42 calon tahun lalu.
Jumlah calon yang mendapat A meningkat 5 peratus pada tahun ini berbanding tahun lalu selain kejayaan melangkau sasaran 50 murid mendapat 5A.
Perkembangan ini jelas memberi gambaran bahawa kecemerlangan yang diperolehi antara lain didorong oleh keberkesanan pelan strategik untuk para calon UPSR yang dimulakan dari awal tahun lagi.
Selain itu, penekanan akademik murid sejak tahap satu melalui kelas tambahan yang sistematik juga dirumuskan sebagai usaha efektif dalam menentukan kejayaan mereka memperoleh keputusan cemerlang dalam UPSR.
Tidak ketinggalan juga kejayaan itu adalah hasil usaha dan kerjasama selain perancangan teliti semua pihak bermula dari peringkat kerajaan negeri, JPNT sendiri selain guru, murid, ibu bapa calon yang terlibat serta komuniti setempat.
Seperkara lagi, peranan besar kerajaan negeri menerusi JPNT memperkenalkan penggunaan buku elektronik, e-Book turut memberi suntikan kepada pembangunan bidang pendidikan di Terengganu terutama bakal calon UPSR.
Selain sebagai proses celik komputer di kalangan murid, e-Book berupaya membantu Terengganu mengekalkan prestasi cemerlangnya dalam UPSR pada tahun-tahun akan datang.
Justeru, kira-kira 25,000 murid tahun lima yang bakal menduduki peperiksaan itu tahun depan mula menerima e-Book secara percuma pada Mei lalu melibatkan peruntukan kira-kira RM30 juta setahun.
Tahun depan, kira-kira 50,000 murid sekolah rendah di negeri ini bakal menerima e-Book dengan peruntukan oleh kerajaan negeri berjumlah RM50 juta.
Murid-murid turut teruja apabila e-Book itu diagihkan sendiri oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said.
Oleh RADHUAN HUSSAIN
pengarang@utusan.com.my
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
03 December 2009
Perancangan Terengganu kekal terbaik UPSR
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment