SESAK...Kota Larangan sentiasa dipenuhi pelancong dari dalam dan luar China.
MENJEJAKKAN kaki kali kedua di Beijing, China, baru-baru ini memberikan pengalaman berbeza kepada penulis kerana ketika kunjungan kali pertama dulu, China mengalami musim peralihan daripada musim sejuk ke musim bunga dan suhu ketika itu membuatkan penulis bersama rakan mengelak untuk berendam terlalu lama di dalam air.
Malah, pada waktu itu juga, kebanyakan ahli rombongan terpaksa memakai jaket tebal berikutan tidak tahan hawa sejuk yang terasa menusuk hingga ke tulang.
Itu cerita empat bulan lalu, namun pengalaman mengikuti lawatan yang ditawarkan oleh AirAsia bagi mempromosi pelancongan Muslim baru-baru ini membawa banyak perbezaan berikutan negara berkenaan berada dalam musim panas.
Malah, ketika lawatan dibuat, rakyat di negara itu khususnya pelajar menikmati percutian musim panas hampir tiga minggu. Cukup panjang untuk merehatkan mental dan fizikal mereka.
Bagi yang tidak tahu, China memiliki empat musim iaitu musim sejuk, musim bunga, musim panas dan musim luruh serta berkongsi waktu hampir sama dengan Malaysia berikutan kedudukannya yang berada selari atas paksi dunia.
Melawat negara ini, penulis bersama beberapa wakil media lain serta wakil AirAsia yang diketuai Jonathan Goh Tze Yeow berlepas dari Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) Sepang pada jam 7.45 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tianjin, China pada jam 2.30 petang.
Oleh kerana memasuki negara itu menerusi Tianjin, kami kemudian terpaksa menyambung perjalanan selama dua jam menaiki bas yang disewa khas menuju bandar raya Beijing.
Sangka penulis, perjalanan berkenaan tentu memenatkan, namun ia meleset apabila bas dipandu menyusuri laluan lebuh raya tiga lorong bagi setiap hala yang selesa tanpa ada kesesakan.
Seperkara mengenai Tianjin, bagi individu yang menggunakan destinasi itu sebagai lokasi ketibaan, anda sebenarnya mempunyai pilihan untuk mendapatkan khidmat pengangkutan awam terpantas di China menggunakan kereta api laju Transrapid Maglev.
Kami dimaklumkan, dengan mengenakan bayaran tiket serendah 30 yuan (kira-kira RM15), ia hanya mengambil masa 29 minit dari Tianjin ke Beijing. Satu tempoh yang cukup murah dan pantas untuk sampai ke destinasi dituju.
Malah, lebih membuatkan kami kagum apabila dimaklumkan bahawa kereta api itu mampu membawa kami dari Beijing ke Shanghai hanya dalam tempoh tiga jam dengan bayaran 79 yuan (RM40).
Wow! Itu bererti sesiapa yang berada di Beijing juga boleh turut sama melawat Shanghai dalam tempoh satu hari.
Namun, kerana mengikuti lawatan yang diatur oleh AirAsia, peluang menaiki kereta api itu terpaksa dilupakan kerana tiada dalam jadual rombongan selain khidmat bas persiaran sudah dibayar. Mungkin lain kali jika berpeluang, penulis akan cuba merasai kehebatan kereta api laju China itu.
Seperti lawatan terdahulu, jadual selama enam hari yang diberi pada mulanya terasa seakan-akan bosan kepada penulis kerana hampir semua destinasi lawatan seperti melawat Tembok Besar China, Kota Larangan, Dataran Tiananmen, Istana Musim Panas, Masjid Niu Jie, Stadium Sarang Burung, melawat kedai teh ‘Dr Tea’, kedai sutera, Silk Street Market, Golden Silk Street Market sudah dilawati.
Malah, ketika terbayangkan menu makanannya juga membuatkan penulis hilang selera kerana rasanya yang boleh dikatakan hambar, tidak pedas dan cair.
Namun, sesuai dengan promosi ‘Pelancongan Muslim’ ini, soal makanan tiba-tiba tidak menjadi masalah apabila kebanyakan waktu makan, rombongan kami dibawa menikmatinya di restoran masakan masyarakat China - Xianjiang.
Jadi apa bezanya Xianjing dengan masakan China yang lain.
Bezanya, Xianjiang adalah satu bangsa Muslim di China yang memiliki warna kulit serta rupa seperti masyarakat Timur Tengah. Ini kerana kedudukan Xianjiang sendiri yang terletak kawasan utara China bersempadan negara Timur Tengah.
Bercakap mengenai masakan masyarakat Xianjiang, pelancong boleh menikmati pelbagai jenis makanan pedas berikutan dimasak bersama rempah seperti daging lembu atau kambing panggang, kari serta kebab.
Menurut pemandu pelancong yang memperkenalkan diri sebagai Betty, tidak sukar mendapatkan makanan masyarakat Xianjiang di Beijing berikutan lebih 100 restoran dibuka di sana.
Namun bagi yang ingin mencuba kelainan untuk merasai masakan masyarakat Muslim Beijing, anda tidak perlu risau kerana di sana juga ada beberapa kawasan yang sememangnya didiami penduduk Muslim di sana.
Masyarakat ini dikenali dengan panggilan orang Hui di kalangan rakyat China dan kebanyakan masakannya juga sama seperti masakan China yang lain tetapi dijamin halal.
Menerusi lawatan kali ini, baru kami tahu bahawa pelancong ada pilihan untuk memilih makanan, jika tidak berselera dengan masakan orang Hui, mereka boleh pergi ke restoran masakan masyarakat Xianjiang pula.
Seperti biasa, lawatan yang diikuti ini diatur mengikut ketetapan perjalanan di mana hari kedua, kami dibawa melawat Dataran Tiananmen dan Kota Larangan, hari ketiga ke Tembok Besar China dan The Silks Streets Market, hari keempat ke kilang sutera dan persembahan akrobatik, Istana Musim Panas dan Hong Qiao Market, hari kelima ke Masjid Nan Dou Ya dan Masjid Niu Jie serta ke The Silks Streets Market, manakala hari keenam pula melawat Kedutaan Besar Malaysia di China.
Walaupun hampir semua tempat ini sudah dilawati penulis sebanyak dua kali, kehebatannya tetap ada.
Paling ketara ketika melawat Dataran Tiananmen, Kota Larangan, Istana Musim Panas dan Tembok Besar China kerana boleh dikatakan ia sentiasa dipenuhi ribuan manusia.
Jika lawatan terdahulu ia dipenuhi pelancong asing, tetapi kali ini ia dipenuhi rakyat China yang datang dari wilayah lain bagi menyaksikan tinggalan sejarah negara mereka.
Menurut Betty, rakyat China mengambil kesempatan cuti musim panas selama tiga minggu itu untuk melawat tempat bersejarah.
Jadi, tidak perlu dihairankan kerana dengan jumlah penduduk sebanyak 1.3 bilion, kawasan sejarah mereka tetap dipenuhi rakyat China.
Selain itu, Beijing boleh dikatakan syurga membeli-belah kerana banyak pasar raya menawarkan pelbagai barangan dengan harga murah seperti The Golden Silk Streets Market, The Silks Streets Market, San Li Tun Bar Streets dan Hong Qiao Market.
Oleh kerana ini lawatan kedua dalam tempoh terdekat, sejak awal lagi penulis menetapkan sasaran untuk membeli barangan yang tidak dapat dibeli dulu dan melepaskan geram dengan cuba melakukan tawar-menawar dengan harga paling rendah.
Membeli-belah di The Silks Streets Market dibuat selama dua kali membabitkan hari ketiga dan kelima dan antara banyak-banyak pusat membeli-belah, pasar raya ini menjanjikan barangan pada kadar harga murah dan paling terkenal di kalangan pelancong.
Namun perlu diingat, kadar harga murah itu hanya diperoleh selepas anda ‘bertekak’ dengan penjual kerana pada awalnya ia diletakkan pada kadar harga hingga 10 kali ganda lebih tinggi.
Jika datang untuk membeli-belah juga di situ, anda perlu tahu masa sesuai berikutan pengalaman kali kedua pergi semula pada hari kelima iaitu pada hari Ahad di The Silks Streets Market, hampir semua penjual langsung tidak akan memandang anda - pelancong dari Malaysia.
Kerana apa? Kerana apabila tiba hari Ahad, mereka lebih teruja untuk ‘menjerat’ pelancong ‘hidung mancung’ dari Barat khususnya Eropah dan Timur Tengah yang berpusu-pusu datang membawa mata wang Amerika Syarikat yang kurang bertekak dan tawar-menawar.
Buktinya cukup ketara apabila penulis sendiri melihat seorang pelancong yang mungkin berasal dari Amerika Syarikat ditipu membeli sebuah jam tangan tiruan jenama Breitling pada kadar harga AS$200 (RM625) selepas diberi diskaun 70 peratus oleh si penjual. Huh, bukan main suka lagi pelancong itu, sedangkan hidup-hidup dia ditipu.
Jika hari lain penjual di situ sibuk menyapa kami dengan menyebut ‘Malaysia... come here’, pada hari Ahad, mereka langsung tidak mengendahkan kami dan hanya menjawab acuh tak acuh mengenai harga sesuatu barang.
Malah, penulis sendiri tergamam apabila seorang penjual merampas semula satu barangan daripada ahli rombongan kami dan terus memalingkan muka apabila harga tawaran yang diletakkan terlalu rendah.
Tidak seperti hari lain, mereka akan terus mendesak kita membeli dengan meminta menaikkan sedikit harga tawaran berkenaan.
Apa pun, lawatan enam hari berkenaan tetap berharga berikutan ia memberi pengalaman berbeza kepada penulis.
Yang pasti, penulis tetap teruja untuk ke negara berkenaan pada masa akan datang bagi melihat lokasi lain seperti Shanghai, Huangzhou serta mencuba menaiki kereta api laju Transrapid Maglev yang menjadi satu aset kebanggaan China masa kini.
mohdazam@hmetro.com.my
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
05 September 2010
Tak layan hari Ahad
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment