Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






03 September 2010

Elak perompak hidu rumah kosong











Keselamatan rumah juga merupakan tanggungjawab pemilik rumah itu sendiri.


SIBUK merancang persediaan untuk bercuti pada Hari Raya? Pilihan juadah, buah tangan, langsir dan pakaian baru untuk ahli keluarga sudah dibeli. Dalam tempoh kurang daripada 10 hari, mood kebanyakan umat Islam untuk menyambut kedatangan Syawal semakin dirasai.

Tetapi, tunggu dulu! Bagi yang memang merancang untuk pulang beraya di kampung halaman ataupun ke luar negara pada minggu pertama sambutan Aidilfitri, adakah persediaan keselamatan rumah anda sudah diambil kira?

Ketika rumah ditinggalkan tanpa penghuni pada musim perayaan, ia terdedah kepada pelbagai risiko jenayah terutamanya kes dipecah masuk. Walaupun kawasan kediaman anda sudah pun mempunyai khidmat pengawal keselamatan, anda masih ada sebab untuk berasa bimbang.

Rosita Hatim, 39, yang tinggal di kawasan rumah teres di Gombak, Selangor memberitahu, sikap ambil mudah terhadap keselamatan kediaman pada musim cuti di kalangan penduduk bandar masih rendah.

Beliau sendiri pernah terlepas pandang aspek penting itu sebelum balik beraya di Terengganu dan Kedah selama hampir dua minggu pada tahun lepas.

“Saya ingatkan jiran akan tolong tengokkan rumah. Tetapi, saya lupa yang mereka pun bukannya 24 jam berada di rumah. Apabila kembali dari kampung halaman, kami terkejut melihat barangan elektronik di rumah habis dilarikan pencuri,” katanya kepada Kosmo! mengenai kerugian keseluruhan bernilai sekitar RM8,000 itu.

Contoh Rosita ini bukan kes terpencil. Sebaliknya, sebilangan besar kes kecurian berlaku apabila rumah ketiadaan orang pada musim-musim perayaan.


Kesilapan pemilik

Pendek kata, bukannya sukar bagi penjenayah mengesan rumah yang tidak didiami bagi satu tempoh masa tertentu.

Pengerusi kawasan Rukun Tetangga Kampung Malaysia Raya, Mohd. Zainuddin Amran, 48, berkata, terdapat beberapa kesilapan besar yang sering dilakukan pemilik kediaman tanpa disedari.

Meskipun begitu, kesilapan tersebut boleh meninggalkan kesan positif kepada kehidupan pemilik rumah selepas sedikit perubahan dilakukan.

Jelasnya, adalah menjadi tanggungjawab setiap pemilik untuk memastikan kediaman mereka selamat biarpun pada waktu ketiadaan penghuni di rumah.

“Ada beberapa perkara yang masih diamalkan oleh pemilik rumah yang pulang ke kampung halaman atau ke luar negara. Antaranya adalah dengan membiarkan lampu terpasang sepanjang masa selama rumah ditinggalkan.

“Berbeza dengan pendapat umum yang menganggap kaedah itu boleh menyelamatkan harta benda mereka, tindakan itu sebaliknya adalah indikasi terbaik kepada pencuri mengetahui rumah yang ditinggalkan untuk satu tempoh masa,” terangnya.

Saranan lebih baik adalah dengan meminta bantuan jiran yang rapat untuk memasang dan menutup lampu bagi pihak anda untuk memberi petanda bahawa kediaman tersebut sebenarnya berpenghuni.

Untuk mengurangkan risiko menjadi mangsa kecurian atau kes jenayah musim perayaan yang lain, pemilik mahupun penghuni rumah perlu mengetahui beberapa tip ringkas.

Menghentikan langganan surat khabar atau buletin buat sementara waktu juga satu petua bagi mengelakkan betapa jelasnya sesebuah unit kediaman sudah lama ditinggalkan oleh penghuninya.

Jika tidak pun, bantuan jiran terdekat turut diperlukan dalam aspek ini bagi menolong memungut surat khabar-surat khabar daripada terbiar bersepah di lantai kaki lima atau halaman rumah.

Inisiatif untuk memaklumkan kepada penyelaras Skim Rondaan Sukarela (SRS) di kawasan anda mahupun kepada jiran terdekat juga disarankan oleh Zainuddin.


“Beritahu jiran terdekat yang dipercayai tentang tempoh ketiadaan mereka di rumah. Sekurang-kurangnya, ada juga mata yang akan memerhatikan jika ada keadaan yang mencurigakan di kediaman anda,” tambahnya.

Zainuddin merupakan antara perintis terawal SRS di kawasan Kampung Malaysia Raya sejak tahun 2006. Jelasnya, kediaman yang tidak dipasang dengan sistem penggera keselamatan rumah boleh memanfaatkan program SRS.

Di Kampung Malaysia Raya misalnya, program SRS yang dilaksanakan bersama Jabatan Perpaduan Negara (JPN) itu dijalankan setiap hari dengan bantuan sekitar 30 orang peronda lelaki. Rondaan yang dibuat bermula pada pukul 9 malam sehingga sekitar 4 pagi.

Setiap kali tibanya musim Hari Raya, sekitar 20 hingga 30 peratus penghuni daripada sejumlah 300 buah rumah akan kembali beraya di kampung halaman.

Pada ketika inilah, borang pemberitahuan tentang ketiadaan pemilik rumah sepanjang tempoh tertentu akan diedarkan kepada penduduk kampung. Semenjak SRS dilaksanakan di kampung tersebut, belum terdapat laporan mengenai kejadian kecurian.

“Biasanya, SRS akan mengedarkan borang yang boleh dimuat turun daripada laman E-Group. Tetapi, bila sampai musim raya, kami akan edarkan borang khas,” katanya sambil menggalakkan penubuhan SRS di setiap kawasan kediaman yang memerlukannya.

Simpan kunci

Jika selama ini sesetengah pemilik kediaman suka meninggalkan set kunci simpanan berdekatan dengan tempat letak kasut atau diselit bawah tikar pintu, pastikan perbuatan itu tidak lagi dilakukan!

Suri rumah sepenuh masa, Faridah Razak, 26, pernah terlupa untuk menyimpan kunci simpanan itu di tempat selamat sebelum kembali beraya di Melaka.

Kecuaian yang sedikit itu telah membawa padah kepadanya. Sejurus tiba di rumah selepas beraya selama seminggu di kampung, dia mendapati kediamannya dalam keadaan berselerak kerana digeledah pencuri.

Hendak menyesal pun tidak berguna lagi. Jelas, kejadian tersebut menjadi pengajaran berharga yang tidak mungkin akan diulangi Faridah.

Insiden itu merupakan antara contoh kes kecurian klasik apabila kesilapan berpunca daripada pemilik yang cuai.

Aktivis keselamatan daripada Pasukan Penyelamat dan Bomba Sukarelawan Malaysia, K. Balasupramaniam pula berkata, mekanisme keselamatan rumah yang utama adalah memastikan pintu pagar diketatkan dengan pengapit pagar (gate clamp).

“Mangga pintu gril mudah dipotong. Lebih baik gril itu diketatkan dengan pelindung mangga (padlock protector). Bagi kediaman yang tidak dipasang dengan sistem penggera, anda boleh dapatkan D.I.Y Entry Alarm.

“Sistem penggera D.I.Y ini boleh dipasang untuk mana-mana pintu atau gril manakala pintu gelongsor (sliding) pula sesuai dipasang dengan penggera getaran (vibration alarm),” katanya.



Penghuni-penghuni rumah juga diingatkan agar mencabut semua plug elektrik bagi mencegah kebakaran. Pemasangan sistem pelaras masa pula membantu pemilik rumah menghidupkan lampu elektrik pada waktu-waktu yang telah ditetapkan.

Balasupramaniam menambah, penggunaan lampu sensor yang peka pergerakan merupakan satu langkah pencegah jenayah yang berkesan.

Selain itu, bunyi radio yang dipasang mengikut aturan masa secara automatik sepanjang percutian anda juga satu usaha positif.

Bagi yang memiliki banyak barangan kemas dan tidak tahu tempat ideal untuk disorok, mungkin gumpalan-gumpalan surat khabar adalah jawapannya.

“Gumpalkan barangan kemas dalam surat khabar dan masukkan dalam ruang beku dalam peti sejuk. Itu adalah langkah yang lebih selamat berbanding disimpan di dalam almari rumah.

“Fikirkan beberapa tempat untuk mengasingkan barangan berharga anda dan catatkan untuk simpanan peribadi,” tambahnya

Sebagai petua terakhir, jika anda adalah antara penghuni kediaman yang memiliki mesin penjawab panggilan telefon, mungkin sepanjang percutian ini, ia tidak diperlukan.

Hal ini perlu diambil perhatian kerana panggilan telefon yang tidak dijawab memberi petanda mudah kepada pencuri untuk mengetahui ketiadaan anda di rumah.



No comments: