Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






12 September 2010

Tradisi Aidilfitri perlu dipertahan












Budaya kunjung mengunjung perlu diteruskan untuk erat hubungan antara kaum

SELEPAS sebulan berpuasa dan beribadah, tiba masanya untuk kita menzahirkan rasa syukur dengan meraikan Aidilfitri. Mana tahu mungkin lebaran kali ini adalah yang terakhir untuk kita. Sesungguhnya peluang yang diberikan untuk mengecapi Ramadan dan seterusnya Aidilfitri perlu dihargai umat Islam negara ini.
Tidak kira siapa kita, Aidilfitri juga menawarkan ruang pencapaian gagasan 1Malaysia yang mengimpikan perpaduan utuh sebagai asas membina negara bangsa yang bersatu padu serta memiliki jati diri yang kukuh. Kalau dulu seawal pagi selepas selesai solat sunat Aidilfitri, rutin berikutnya menziarahi pusara ahli keluarga sambil menghadiahkan Al-Fatihah dan surah Yasin. Syiar Aidilfitri diteruskan dengan berkumpul di rumah untuk sesi bermaaf-maafan dengan penuh keikhlasan.

Yang muda memohon keampunan daripada yang tua di samping mengharapkan nasihat dan juga petua, kemudian barulah berjumpa sahabat handai sebelum berkumpul semula dengan keluarga untuk mengunjungi saudara mara.

Firman Allah SWT bermaksud: “Takutilah Allah yang kami mohon kepada-Nya dan hubungkanlah silaturahim” (surah An-Nisa:1).

Betapa mulianya usaha mempereratkan silaturahim ini, justeru jangan lupa menjalinkannya sesama ahli keluarga, sanak saudara, sahabat handai dan jiran tetangga.
Malangnya amalan ini semakin terhakis dek perubahan budaya dan gaya hidup masyarakat masa kini. Aidilfitri yang sepatutnya menjadi bukti keperkasaan menundukkan hawa nafsu dan jambatan perpaduan digantikan dengan budaya baru yang mencemarkan kemuliaan Syawal.

Generasi muda hari ini terpesong daripada semangat Aidilfitri yang sebenar. Ada yang menggantikan budaya kunjung mengunjung rumah saudara mara dan sahabat handai dengan kunjungan ke panggung wayang, pusat beli-belah atau lokasi percutian.

Kegembiraan menyambung silaturahim dengan keghairahan melayan rancangan hiburan di televisyen sehingga ada yang tergamak menganggap kehadiran tetamu sebagai pengacau dan hanya mengganggu keseronokan mereka. Sudahlah kaki bagai dirantai hingga sukar melangkah, tetamu yang berkunjung pula tidak diendah.

Hendak bersalaman pun berat sekali dan kalau adapun semata-mata untuk menjaga hati. Lebih parah lagi apabila ada tradisi baru di kalangan kanak-kanak, tidak kira di desa atau di kota. Ramai yang berkunjung rumah ke rumah dan taman ke taman untuk mengumpul ‘dana’. Sampai saja di pintu rumah, tangan dihulur meminta-minta.

Kalau dulu sempat juga bercerita mengenai keluarga tapi kini keikhlasan hampir tiada. Inilah generasi pelapis pemimpin masa depan negara, kemaruk duit dan juga harta. Salah siapa yang membiarkan perkara ini berlaku? Kita khuatir jika tingkah laku tidak beretika ini merebak dan akhirnya menjadi budaya, pastinya merugikan negara.

Persoalannya apakah peranan kita sebagai orang tua? Aidilfitri bukan sekadar perayaan sebaliknya anugerah Allah SWT sebagai tanda kasih dan rahmat-Nya kepada semua hamba yang taat serta ikhlas beribadat pada bulan puasa.

Justeru, kita perlu menerangkan kepada generasi muda supaya mereka benar-benar menghayati pengisiannya. Pastikan budaya kunjung mengunjung terus terpelihara. Sebagai rakyat Malaysia kita mengalu-alukan tetamu tidak kira agama, bangsa dan ideologi mereka.

Inilah hasrat 1Malaysia, menjana transformasi dalam memajukan negara. Sebagai ibu bapa kita bertanggungjawab menegur, mendidik dan membimbing anak-anak kita. Walaupun mereka sudah dewasa, selagi kita bertenaga dan mampu berbicara, kita kembalikan semangat Aidilfitri yang sebenarnya dalam hidup mereka.

Jangan sesekali kita pula yang bersekongkol melenyapkan ketulenan dan kemuliaannya. Ketika masih terasa bahang sambutan kemerdekaan negara, seharusnya kita terus menyemarakkannya dengan menjadikan Aidilfitri jambatan perpaduan. Bagi penulis sebagai anak anggota polis, pengalaman menyambut Aidilfitri di seluruh pelusuk negara sukar dilupakan.

Walaupun zaman berubah dan teknologi semakin canggih, peluang bersua muka, berjabat salam dan menyingkap sejarah lalu amat berharga. Interaksi maya bukan pilihan terbaik dalam berbicara dan meluahkan rasa hati sesama manusia.

Khidmat SMS, Facebook, Twitter dan alat komunikasi lain mungkin cukup popular dalam menyampaikan pelbagai mesej tetapi masih gagal memberikan impak yang maksimum dalam berkomunikasi. Apatah lagi untuk menyelami keikhlasan seseorang dalam memohon maaf dan meluahkan perasaan dari hati yang suci.

Bukankah kasih sayang itu bermula dari mata dan akhirnya mekar harum di hati? Mana mungkin media alternatif menampung sentuhan hati yang terhasil melalui pertemuan sesama insan pada bulan kemenangan ini? Alangkah gembiranya ibu bapa yang menyambut kepulangan anak-anak dari perantauan. Kampung yang sunyi tiba-tiba meriah. Masjid yang lengang tiba-tiba penuh sehingga tidak cukup sejadah. Pusara yang rimbun dengan rumput dan lalang tiba-tiba bersih, harum serta dilimpahi berkat. Yang jauh kita dekatkan, yang bermusuh kita harmonikan.

Kalau dulu kita tak sempat berkunjung, maka pada bulan ini kita akan diterima tanpa prasangka dengan tangan terbuka. Kalau di bandar kena tunggu rumah terbuka atau pada hari tertentu saja, tidak begitu di kampung kerana selagi kudrat terdaya, teruslah beraya walaupun malam menjelma. Itulah kehebatan perayaan ini.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ada dua kegembiraan, gembira ketika hari berbuka (Aidilfitri) dan gembira ketika bertemu Tuhannya.” Mari kita jadikan Aidilfitri ini permulaan kepada kehidupan yang lebih bermakna dan diberkati.

Kita laungkan takbir, tahmid dan tahlil di samping menyucikan hati daripada segala sifat keji, bongkak, sombong dan hasad dengki. Kita buktikan segala latihan dan tarbiah yang diperoleh sepanjang Ramadan benar-benar mengubah diri menjadi insan bertakwa.

Selepas berjaya berpuasa sebulan, kita diumpamakan pejuang yang kembali dari medan perang dengan kemenangan. Sebab itu selepas ucapan selamat hari raya, kita sertakan ucapan `minal aidil wal faizin’, seruan supaya kita kembali kepada fitrah penuh dengan kesucian dan kecemerlangan.

Penulis ialah pensyarah dan Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM).


No comments: