Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






11 September 2010

Main mercun bukan budaya sambut Aidilfitri














Semua pihak bertanggungjawab beritahu bahaya bahan larangan kepada kanak-kanak


PERASAAN terlalu seronok kerana dapat bermain bunga api dan mercun menyebabkan kanak-kanak sering melupakan aspek keselamatan, ditambah pula ia tidak dipantau ibu bapa atau golongan dewasa. Apabila berlaku kemalangan bermain mercun dan bunga api hingga menyebabkan kecederaan, wajarkah terpantul kata-kata malang tidak berbau atau padan muka siapa suruh main. Bagaimana pula jika mangsa bukan di kalangan yang bermain tetapi pemerhati atau hanya berada di kawasan berhampiran, mercun terkena dan menyebabkan kecederaan seperti berlaku kepada Nor Syafiqah Abd Halim 10, yang mungkin hilang penglihatan. Dalam kejadian pada 25 Ogos lalu, dia terkena mercun roket dibakar sekumpulan remaja yang melayang ke arahnya dan meletup di mata ketika menunggu rakan untuk menunaikan Tarawih di surau berhampiran rumahnya di Taman Sri Abadi, Jalan Kuala Kedah.

Hakikatnya, mercun dan bunga api lebih banyak mendatangkan bahaya kerana musim perayaan ada saja kemalangan disebabkan mercun. Malah, mercun juga mendorong jenayah penyeludupan.

Pensyarah Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Khaidzir Ismail, berkata hari raya tetap disambut meriah walaupun tiada mercun atau bunga api.

Bagaimanapun, disebabkan permainan mercun atau bunga api menjadi sebahagian perkara yang diterima masyarakat negara ini pada setiap perayaan, apabila tiada letupan dan kemeriahan kanak-kanak bermain bunga api, seolah-olah satu pemandangan yang janggal.
“Samalah orang kata jika jalan tak sesak, tak rayalah namanya. Begitulah mercun dan bunga api, jika tiada, raya dirasakan tidak meriah. Walaupun masing-masing sedar kesan buruknya tetapi mercun diterima kerana menjadi sebahagian budaya,” katanya.

Beliau berkata, budaya bermain mercun kini tidak mengira tempat sama ada di kampung atau bandar kerana sepanjang Ramadan, pekarangan masjid turut menjadi lokasi kanak-kanak bermain barang larangan itu. Ini membuktikan secara tidak langsung masyarakat menerima gelagat kanak-kanak bermain mercun dan bunga api walaupun menyedari perbuatan itu dilarang mengikut undang-undang negara dan ajaran agama.

Oleh itu katanya, jika ingin membenarkan kanak-kanak bermain mercun, ibu bapa perlu memantau supaya dapat mengelak perkara tidak diingini. Seperti biasa, selain berita kemalangan jalan raya, kes penyeludupan mercun dan kecederaan akibat mercun turut menjadi berita wajib media setiap kali musim perayaan termasuk sepanjang Ramadan lalu dan Aidilfitri.

Pada hari ketiga Ramadan, seorang murid Tahun Tiga, Samin Nasran Abdul Rahman, cedera di muka dan tangan akibat letupan mercun bola ketika membakar bahan larangan itu di rumahnya di Kampung Tersang dekat Pasir Mas.

Pada minggu kedua Ramadan pula, empat kanak-kanak dilaporkan parah termasuk ada yang hampir putus jadi dan cacat penglihatan akibat terkena letupan mercun bola serta botol yang dipegang ketika bermain bahan larangan itu dalam kejadian juga di Kelantan.

Paling menyedihkan ialah kes kanak-kanak berusia enam tahun maut dengan mayatnya tersangkut di atas pokok setinggi 15 meter selepas terpelanting apabila rumah tinggal yang dijadikan stor bunga api dan mercun meletup di Kampung Seberang Baroh, Chabang Tiga, Kuala Terengganu.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari, dua lelaki berusia 22 dan 23 tahun pula parah dipercayai tercampak ke tanah di depan rumah berkenaan yang roboh akibat letupan kuat yang dikatakan boleh didengar sejauh empat kilometer.

Ketua Polis Negara , Tan Sri Musa Hassan, sudah mengarahkan semua Ketua Polis negeri dan daerah terutama di sempadan supaya meningkatkan kawalan mengekang kemasukan mercun dari negara jiran ketika musim perayaan ini.

Katanya, bagi melancarkan usaha membanteras kegiatan penyeludupan masuk dan jualan mercun serta bunga api ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan Jabatan Kastam.

Dr Khaidzir berkata, walaupun sukar untuk mengharamkan mercun secara menyeluruh tetapi penguatkuasaan undang-undang oleh kerajaan dan pihak berkuasa boleh menjadi antara kaedah pencegahan yang berkesan.

“Satu ketika dulu ketika darurat tiada bunga api sebab takut komunis dan ketika itu masyarakat boleh terima. Jadi, jika perlu diharamkan pun boleh juga dan masyarakat akan menerima sebab keburukan lebih banyak berbanding kebaikan,” katanya.

Pada masa sama katanya, proses pendidikan secara berterusan juga membantu mendedahkan masyarakat mengenai bahaya mercun dan bagi kanak-kanak, menjadi tanggungjawab ibu bapa mencegah mereka daripada bermain mercun.

Beliau berkata, guru juga boleh memainkan peranan menjelaskan kepada pelajar mengenai bahaya mercun ketika perhimpunan sekolah, begitu juga pihak masjid dan surau untuk memasukkan mengenai kesannya dalam tazkirah Ramadan kepada jemaah.

“Kerjasama semua pihak boleh menyedarkan masyarakat pelbagai lapisan mengenai bahaya mercun. Walaupun seperti menjadi budaya yang diterima masyarakat, usaha memansuhkan boleh dilakukan kerana tiada mercun, sambutan perayaan tetap meriah,” katanya.
Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

No comments: