Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






13 September 2010

Raya tanpa jari











Cantik menawan tetapi mampu membuatkan hidup anda sengsara.















TELINGA Syamin Nasran Abdul Rahim, 10, bagai sudah tidak sanggup mendengar bunyi letupan mercun. Terasa traumanya setiap kali mendengar dentuman itu.

Peristiwa ngeri 24 Ogos lalu akan segera menerpa ingatan kanak-kanak itu. Tambah sayu hatinya bila terlihat sebatang jarinya yang sudah hilang.

Pada hari itu, Syamin Nasran menyaksikan tangannya berlumuran darah apabila mercun yang dinyalakannya meletup sebelum sempat dia membalingnya.

Lima rakan yang tadinya bermain dengannya bertempiaran lari meninggalkan murid tahun empat itu keseorangan.

Akibat letupan itu, jari tengah tangan kanan Syamin Nasran putus dan dia kini terpaksa berulang-alik ke Hospital Pasir Mas, Kelantan dua kali seminggu bagi mendapatkan rawatan.

“Setiap kali bunyi letupan mercun saya akan bersembunyi kerana masih trauma dengan kejadian yang menimpa saya sebelum ini.

Malu tangan kudung

“Selepas kejadian itu, saya insaf. Saya berazam tidak akan menyentuh dan bermain mercun lagi walaupun diajak oleh rakan-rakan,” ujarnya ketika ditemui Jurnal di rumahnya di Rantau Panjang baru-baru ini.

Apabila ke sekolah, tangannya disorok di dalam saku seluar. Mungkin dia berasa malu ekoran kejadian itu.

Ketika ramai kanak-kanak bergembira meraikan Syawal, Syamin Nasran merasakan raya seolah-olah tidak bermakna.

Kanak-kanak malang itu segan keluar rumah untuk berhari raya ekoran kecederaan yang dialami.


“Walaupun keluarga membeli baju raya untuk saya tetapi saya malu hendak ikut kawan-kawan beraya,” katanya.

Imbas Syamin Nasran, pada sambutan hari raya sebelum ini, dia cukup gembira dan ceria sambil menggayakan pakaian baru.

Syamin Nasran telah menyedari kesilapannya. Dia menyesal kerana tidak mendengar nasihat keluarga supaya tidak bermain mercun.

Pada masa yang sama, dia mengharapkan kemalangan yang menimpanya itu menjadi iktibar kepada rakan-rakannya yang lain.

“Sambutan hari raya sebenarnya tetap meriah walaupun tanpa bunyi mercun.

“Bermain mercun juga bukan amalan yang baik pada bulan Ramadan kerana mengganggu orang ramai yang ingin beribadat,” ujarnya yang merupakan anak ke-10 daripada 11 adik-beradik.

“Sekarang saya perlu ke hospital untuk mencuci luka. Selepas hari raya nanti, saya akan berjumpa dengan doktor pakar untuk mengetahui perkembangan kecederaan saya ini,” ujarnya.

Sementara itu, Irwan Mustaffa Abu Bakar, 9, dari Kampung Batu Enam, Manir, Terengganu kempunan untuk memakai baju raya yang dibeli keluarganya beberapa minggu lalu.










KESERONOKAN bermain mercun sering berakhir dengan kecederaan anggota badan seperti jari. - Gambar hiasan.

--------------------------------------------------------------------------------


Puaka mercun bola

Hanya kerana sebiji mercun bola yang berukur lilit sebesar duit syiling 20 sen, impian murid tahun tiga itu untuk beraya tahun ini turut tidak kesampaian.

Pelajar Sekolah Kebangsaan Tok Jiring, Seberang Takir itu mengalami kecederaan parah di bahagian mata kanan akibat terkena letupan mercun bola dalam satu kejadian di hadapan rumahnya pada 22 Ogos lalu.

“Saya tidak boleh beraya dan tidak dapat pakai baju baru seperti kanak-kanak lain.

“Semua keseronokan itu terpaksa saya lupakan. Malah, saya sedih kerana kejadian itu menyebabkan suasana raya di rumah kami sedikit suram. Biasanya pada musim raya, suasana di rumah saya begitu meriah.

“Boleh jalan-jalan sambil menziarahi rumah kawan-kawan. Memang seronok. Tapi sekarang berbeza. Saya lebih banyak menghabiskan masa di katil hospital dan terpaksa melupakan seketika keseronokan beraya,” ujarnya.

Pensyarah Jabatan Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Khaidzir Ismail berpendapat kanak-kanak mudah tertarik dengan mercun kerana ia dianggap satu permainan.


Seludup

Sifatnya yang dibaling, berbunyi, meletup dan mengeluarkan api senang merangsang minat kanak-kanak.

“Tapi kanak-kanak tidak tahu api itu boleh membakar, mencacatkan dan mencederakan. Mereka cuma inginkan keseronokan dan didorong perasaan ingin tahu,” katanya.

Namun, apabila usia mereka semakin meningkat melewati 10 tahun dan ke atas, ‘kreativiti’ mereka bertambah lagi lalu mahu mengubahsuai mercun, membuat mercun sendiri dan sebagainya.











UBAHSUAI mercun boleh menyebabkan malapetaka termasuk meranapkan rumah.

--------------------------------------------------------------------------------


“Walau apa pun, sifat semula jadi mercun ialah berbahaya tidak kiralah pada apa peringkat usia pun,” katanya.

Ditanya mengapa mangsa mercun yang dilaporkan banyak di negeri Kelantan, Kedah dan Terengganu, Khaidzir berkata, ia sukar untuk dipastikan.

Namun, mungkin juga kerana negeri-negeri berkenaan lebih sinonim sebagai luar bandar, banyak kawasan kampung, maka jauh daripada kawalan pihak berkuasa.

Faktor bersempadan dengan negara jiran dan aktiviti penyeludupan mercun juga menyebabkan akses kepada mercun lebih mudah.

Tambahnya, faktor sosioekonomi penduduk kampung yang kurang daripada sudut kemajuan mungkin menyebabkan mereka kekurangan hiburan sekali gus menjadikan bunga api dan mercun sebagai salah satu bentuk hiburan.

“Di bandar kalau main mercun, orang sekeliling biasanya akan tegur sebab bising dan mengganggu ketenteraman. Tetapi kalau di kawasan kampung, kadang-kadang bila nampak orang lain main, ia akan jadi meriah,” katanya.

Pensyarah Jabatan Sosiologi dan Antropologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Fatimah Daud juga sependapat dengan Khaidzir.

“Kawasan bersempadan Thailand sinonim sebagai luar bandar, maka kawasan itu kurang terdedah kepada maklumat dan berita.

“Kanak-kanak di luar bandar pada bulan puasa mungkin hanya ke masjid dan sembahyang tarawih. Jadi, tak banyak perkara yang dilakukan dan mercun ialah satu-satunya hiburan mereka.

“Sedangkan kanak-kanak bandar masa mereka terisi dengan macam-macam elemen hiburan seperti permainan video,” katanya.

Oleh YATIMIN ABDULLAH, MUSTAPA LAKAWA dan ADHAM SHADAN

No comments: