Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






04 June 2010

Racun bunga parasit






















BELUM ada kajian membuktikan manusia boleh mendapat penyakit kronik jika memakan bunga gergasi ini.

SEGELINTIR pengamal perubatan tradisional mempercayai tunas bunga terbesar dunia, Rafflesia, mampu dijadikan penawar untuk mengecutkan rahim wanita selepas bersalin selain menambah daya seksual golongan lelaki.

Namun, dakwaan itu disangkal pakar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pensyarah kanan Pusat Pengajian Biosanis dan Bioteknologi UKM, Dr. Nazlina Ibrahim berkata, perubatan tradisional yang menggunakan bunga Rafflesia, juga dikenali sebagai bunga pakma, boleh menyebabkan kesan serius terhadap hati dan limpa.

Katanya, ujian makmal terhadap tikus putih mendapati limpa haiwan itu mampu menyahtoksin daripada tunas Rafflesia azlanii.

“Bahan aktif bunga pakma itu didapati mengecutkan limpa daripada saiz asal malah ujian juga mengesahkan kesan terhadap limpa.

“Wanita yang mengamalkan minum air rebusan tunas Rafflesia selepas bersalin perlu berfikir semula kerana terdapat keburukan (daripada bunga pakma) dan kesan kepada bayi mereka yang masih menyusu badan,” katanya.

Rafflesia azlanii banyak terdapat di Hutan Belum, Temenggor, Perak dan kebanyakan bunga tersebut dijual oleh Orang Asli kepada orang tengah yang kemudian menjualnya semula sebagai ubatan tradisional khusus untuk wanita lepas bersalin.
















RAFFLESIA merupakan tumbuhan parasit yang hidup di hutan sekunder.

--------------------------------------------------------------------------------


Nazlina menjelaskan, kadar toksik dalam kajian itu perlu menjadi panduan kepada pengguna yang mengambil jamu, kapsul ubat dan tunas Rafflesia azlanii sebagai sumber ubatan tradisional.

Ujian praklinikal menggunakan tikus makmal boleh dijadikan tanda aras ketepatan kerana menurut Nazlina, ujian itu boleh mencecah ketepatan lebih 80 peratus.


Mati

“Suhu badan tikus dan corak hidupnya lebih kurang sama dengan manusia,” katanya.

Beliau juga khuatir terhadap penggunaan Rafflesia sebagai ramuan minuman tonik kesihatan dan minuman tenaga.

Mengulas lanjut penemuan Nazlina, Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Mohamad dari Fakulti Sains dan Teknologi UKM berpendapat, kajian mendalam perlu dilakukan untuk memastikan bunga Rafflesia berbahaya kepada orang ramai.

Beliau yang berpengalaman selama lebih 10 tahun dalam kajian terhadap bunga pakma memberitahu, belum ada laporan pengguna mendapat penyakit kronik atau mati akibat memakan jus Rafflesia.

“Jika ada yang meninggal dunia akibat memakan ramuan bunga Rafflesia mungkin kita boleh terima kajian tersebut tetapi setakat ini saya tidak pernah mendengarnya.

“Kita tidak pernah dengar (kesan negatif ubatan herba) kecuali ubat-ubat haram yang mana kandungan dadah terlalu tinggi selain kesan campuran ubat sintetik,” katanya.

Namun, beliau menyarankan supaya ibu yang baru bersalin mengelak daripada menggunakan Rafflesia.

“Kita khuatir bunga ini akan pupus satu hari nanti jika dikomersialkan. Bunga ini hanya hidup di hutan sekunder.

“Banyak alternatif perubatan lain, contohnya tongkat ali dan juga kacip fatimah yang terbukti keberkesanannya,” ujarnya.

Komersial

Pengarah Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari, Dr. Ramli Abd. Ghani pula berpendapat, kesan ujian ke atas tikus dan manusia mungkin berbeza.

“Saya tidak menolak sepenuhnya hasil ujian makmal tersebut kerana ujian terhadap haiwan tersebut masih boleh dijadikan panduan supaya orang awam, terutama wanita yang baru bersalin lebih berhati-hati dalam menggunakan bahan herba,” katanya.




BAHAN aktif bunga pakma mampu mengecutkan limpa daripada saiz asal.

--------------------------------------------------------------------------------



Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman berkata, kajian menyeluruh perlu dilakukan sebelum membenarkan bunga Rafflesia digunakan sebagai mekanisme perubatan kepada wanita selepas bersalin.

“Kerajaan perlu maklumkan kepada pengguna sama ada ia selamat ataupun tidak.

“Selain itu, banyak lagi tumbuhan dan herba tradisional lain yang boleh dikomersialkan untuk perubatan.

“Negara kita mempunyai banyak sumber yang boleh dioptimumkan untuk perubatan tetapi kita kurang melakukan kajian dan penyelidikan secara menyeluruh,” katanya.
Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
lutfi.abdulrahim@kosmo.com.my

No comments: