PIALA DUNIA boleh merapatkan hubungan sesama ahli keluarga dan rakan sekerja
ANDA kaki bola? Serba salah nak ambil cuti sakit atau cuti tahunan? Selepas sahaja menyaksikan perlawanan Afrika Selatan menentang Mexico, ada temu janji pula bersama rakan-rakan di kedai makan. Perlawanan yang sepatutnya tamat pada pukul 12 tengah malam, berlanjutan hingga lewat pagi. Balik rumah, si isteri pula merajuk. Pening dengan situasi ini, suami masuk bilik dan tidur. Beginilah dilema yang sering dialami oleh peminat-peminat Piala Dunia tanah air. Kehadirannya selepas empat tahun mengundang keresahan seisi keluarga. Minggu ini, Pakar Perunding Psikiatri Hospital Pantai Ampang, Dr. Daniel Zainal Abdul Rahman berkongsi pengalamannya tentang kesan demam Piala Dunia.
Menurut Dr. Daniel, Piala Dunia tidak memberi kesan negatif terhadap kesihatan seseorang sama ada fizikal atau mental. Faktor yang menyebabkan tanggapan ini terjadi ialah persekitaran dan tingkah laku peminat bola sepak itu sendiri.
Tambah beliau, pernah terjadi seorang peminat fanatik Piala Dunia tiba-tiba diserang sakit jantung akibat terkejut dengan kekalahan pasukan kegemarannya. Namun, Dr. Daniel menambah, mereka yang berisiko tinggi seperti pesakit jantung dan darah tinggi perlu mengawal emosi.
"Emosi mempunyai istilah yang luas. Berkaitan dengan kemudaratan menonton Piala Dunia kepada pesakit jantung, ia sebenarnya perlu dikawal oleh pesakit itu sendiri. Apabila kita menonton perlawanan selama lebih dua jam sama ada seorang atau berkumpulan, kita sering menjamu makanan yang mengandungi gula, garam dan karbohidrat yang tinggi. Terasa seronok mengunyah makanan ringan sambil menonton. Itulah senario yang berlaku. Ia bukan sahaja memberi kesan kepada emosi malah, ia memburukkan keadaan kesihatan," ujarnya.
Dr. Daniel memberitahu, ramai peminat fanatik yang akan meningkatkan kadar merokok dengan alasan tidak mahu mengantuk. Umum dah tahu, rokok itu sendiri memberi kesan buruk kepada kesihatan.
Untuk keselamatan, mereka yang menghidap penyakit kronik boleh menonton secara berkumpulan. Dengan itu, mereka boleh berkongsi emosi dan mengurangkan risiko serangan penyakit secara mengejut.
Di samping itu, terdapat kes pesakit jantung yang meningkatkan kadar pengambilan arak pada musim Piala Dunia. Tidak dinafikan arak boleh mengurangkan masalah ngantuk tetapi ia tidak baik untuk kesihatan.
Mengulas tentang sikap fanatik atau sangat minat memberi masalah kepada kesihatan, Dr. Daniel menjelaskan ia tidak ada kaitan dengan perubatan. Situasi ini hanya menjejaskan fungsi seseorang sebagai ayah, ibu, anak atau pekerja.
"Ia bukan gangguan psikologi kerana fanatik hanya menunjukkan sikap minat yang melampau," jelas beliau.
Dr. Daniel menambah, secara amnya, masalah mengantuk akan timbul pada musim Piala Dunia khususnya mereka yang tinggal di negara-negara Asia kerana perbezaan masa.
Beliau mencadangkan, peminat bola perlu bijak mengurus masa menonton. Misalnya, orang ramai boleh memilih siaran berulang pada pukul 6.30 pagi seperti yang dilakukan salah sebuah saluran televisyen swasta.
"Terpulang pada setengah orang, ada yang minum kafein atau lebih kopi untuk mengelak daripada mengantuk. Apa yang penting, peminat bola perlu mengamalkan disiplin terutamanya pada dua minggu awal Piala Dunia. Perkara ini menjadi masalah kerana orang ramai terlalu gelojoh menonton bola sepak hingga ingin.
Kesimpulannya, Piala Dunia itu tidak memudaratkan tetapi tingkah laku dan persekitaran peminat yang memberi kesan negatif," katanya.
Menyentuh kesan terhadap hubungan intim atau kekeluargaan, Dr. Daniel berkata, ia terpulang kepada budi bicara suami, isteri dan keluarga.
Bagi beliau, ia bukan penyebab kerenggangan hubungan. Jika ada berlaku perkara ini, ia sudah pun bermula sebelum Piala Dunia lagi.
"Terdapat fenomena janda golf iaitu isteri-isteri diibaratkan menjadi janda apabila suami sibuk bermain golf pada hujung minggu. Mungkin orang ramai menyamakan keadaan ini sepanjang Piala Dunia berlangsung. Jika sebuah keluarga atau organisasi bijak mengurus keadaan, ia sebenarnya boleh mengeratkan silaturahim," katanya.
Erat
Di Eropah, keluarga atau suasana pejabat lebih erat kerana wujudnya suasana menonton bersama.
Dr. Daniel menasihatkan orang ramai perlu mengubah suai tingkah laku mengikut keperluan ketika menonton perlawanan.
"Piala Dunia tidak ada kesan buruk. Selepas sahaja perlawanan selesai, peminat bola seharusnya berehat dan tidak perlu mengadakan parti atau lepak di kedai makan hingga lewat pagi. Bagi mereka yang ingin bercuti, ambil sahaja cuti tahunan. Jangan jadikan alasan cuti sakit kerana ia akan memburukkan keadaan.
"Ada sesetengah kes, lelaki takut ambil cuti kerana tidak mahu isteri ungkit di kemudian hari. Dalam hal ini, majikan juga perlu bijak menguruskan pekerja. Sebaiknya, pengagihan tugas yang cekap perlu dilaksana," katanya.
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
15 June 2010
Psikologi peminat bola
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment