MOURINHO (kanan) sentiasa menjadi perhatian pengamal media antarabangsa.
MENJULANG trofi Liga Juara-Juara bersama kelab Inter Milan berjaya memahat nama Jose Mario dos Santos Felix Mourinho sebagai antara jurulatih elit bola sepak dunia yang disegani.
Kejayaan tersebut menjadikan Mourinho, 47, jurulatih ketiga di dunia yang berjaya membawa dua kelab berbeza menjulang trofi Liga Juara-Juara bersama dua kelab berbeza iaitu FC Porto dan Inter Milan.
Lebih membanggakan, lelaki kelahiran Setubal, Portugal itu berjaya melakukan sejarah tersebut kurang daripada sedekad pembabitannya sebagai jurulatih.
Dalam sejarah bola sepak dunia hanya dua jurulatih yang berjaya menjuarai Liga Juara-Juara bersama dua kelab berbeza iaitu Ernst Happel dan Ottmar Hitzfeld. Masing-masing bersama kelab Feyenoord, Hamburger SV, BV Borussia Dortmund dan FC Bayern Munchen.
Ini menjadikan Mourinho sebagai seorang individu dan antara ahli strategi terbaik dalam dunia bola sepak moden kini bersesuaian dengan gelaran The Special One.
Jurulatih yang menggelarkan dirinya sebagai The Special One itu telah mencetuskan pelbagai kontroversi dan spekulasi tentang kewibawaannya.
Situasi tersebut berlaku mungkin kerana penglibatannya sebagai jurulatih bola sepak dianggap masih 'hijau'.
Bahkan, ada yang menyifatkan anak kepada pasangan Felix Mourinho dan Maria Julia Mourinho itu seorang yang ego, angkuh dan lantang bersuara sehingga menimbulkan rasa kurang senang kepada banyak pihak.
KEPUASAN jelas terbayang pada raut wajah Mourinho apabila memenangi Liga Juara-Juara.
--------------------------------------------------------------------------------
Apakah rahsia kejayaan beliau? Pendekatan dan perwatakan yang dimiliki oleh Jose Mourinho antara ramuan kejayaan beliau.
Kelebihan itu sedikit pun tidak mengejutkan ibu bapanya kerana personaliti dan darah bola sepak telah mengalir dalam dirinya sejak kecil.
Felix Mourinho yang juga bekas penjaga gol kebangsaan Portugal, berkata: "Semasa kecil dia hanya inginkan bola. Bola adalah segala-galanya bagi Mourinho."
"Ketika sambutan Hari Natal atau hari lahir, jika kami tidak memberikannya bola baru seolah-olah dia tidak mendapat hadiah.
"Dia juga ada meminta hadiah lain tetapi ia adalah bola. Dia akan memegang bola tersebut dan tidak akan melepaskannya," kata Felix yang juga bekas pengendali pasukan Rio Ave FC, Belenenses dan Vitoria Setubal.
Ibunya, Maria Julia menambah :"Mourinho seorang yang mementingkan kesempurnaan. Semasa berusia lima tahun dia akan memastikan semua pen, pewarna krayon dan pembaris disusun rapi di dalam beg galas sebelum pergi ke sekolah."
"Dia juga mudah mesra dengan sesiapa saja. Mereka tertarik dengan personaliti yang dimiliki Mourinho dan dia akan menjadi ketua kepada kawan-kawannya," ujarnya yang merupakan seorang guru.
Ketika Felix berpindah ke Belenenses, Mourinho ketika itu berusia enam tahun menangis kerana terpaksa berpisah dengan bapanya.
Pada usia Mourinho mencecah 13 tahun, Felix telah menjadi pengurus pasukan bola sepak. Mourinho akan mencari jalan dengan menaiki kenderaan awam seperti lori ikan khususnya pada hujung minggu untuk menyaksikan perlawanan yang melibatkan pasukan kendalian Felix.
Mourinho mula rapat dengan pemain-pemain bola sepak kendalian bapanya dan membesar bersama mereka. Dia juga menjadi pengurus kepada pengutip-pengutip bola di kelab berkenaan.
Berterus-terang
"Dia akan berdiri di belakang bangku tempat duduk kami pada setiap perlawanan. Saya akan memberi arahan kepada Mourinho untuk diberikan kepada pemain-pemain.
"Jadi, Mourinho sebenarnya mula didedahkan dan mempelajari taktik serta sistem bola sepak sejak kecil. Dia juga ada memberitahu ingin menjadi pengurus bola sepak pada usia 15 atau 16 tahun," ujarnya.
Semasa Felix menjadi pengurus Uniao de Madeira, pihaknya memerlukan keputusan seri untuk memastikan tempat dalam pusingan play-off agar dapat bersaing dalam Liga Utama Portugal.
MOURINHO sentiasa disenangi pemain-pemain ketika menjalani latihan.
--------------------------------------------------------------------------------
Mourinho yang memerhatikan sesi latihan pasukan berkenaan selama seminggu telah memberi nasihat kepada bapanya.
Pendekatan yang dilakukan oleh Mourinho sebagai jurulatih cukup berbeza berbanding bapanya. Beliau dikatakan sedikit angkuh dan suka berterus-terang.
Mungkin kerana sikapnya itulah, beliau berjaya menawan tiga buah negara di benua Eropah iaitu Portugal, Britain dan Itali dengan menjuarai liga domestik dan kejuaraan utama di negara berkenaan.
Mourinho mula dikenali selepas dia bertindak sebagai jurubahasa kepada bekas jurulatih England, Bobby Robson di Sporting Lisbon dan Porto dari tahun 1992 hingga 1996. Bahkan beliau juga digelar The Translator.
Keakraban mereka begitu terserlah sehingga pada tahun 1996 beliau turut mengikuti Robson ke Barcelona.
Selepas keberangkatan Robson dari pasukan Catalan, Mourinho terus membantu Louis Van Gaal. Beliau kemudian menjadi jurulatih pasukan remaja Barcelona sebelum berhijrah ke Benfica yang hanya kekal bertahan untuk sembilan perlawanan sahaja gara-gara masalah kontrak.
Beliau kemudian menyertai Uniao de Leiria sebelum kembali semula ke Porto pada tahun 2002. Mourinho berjaya mengemudi FC Porto sehingga muncul juara Piala UEFA 2003 dan Liga Juara-Juara 2003 malah memenangi kesemua kejuaraan ditawarkan di Portugal pada masa itu.
Kebijaksanaannya merencana strategi telah membantu kelab Britain, Chelsea menjuarai gelaran Liga Perdana pada musim 2004-2005 dan 2005-2006, sekali gus memecah kegersangan pasukan yang dikenali The Blues itu selama lima dekad mengecapi kejayaan.
Bagaimanapun, khidmat Mourinho tidak lama kerana sering bertelagah dengan pemilik kelab berkenaan, Roman Abramovich. Beliau meninggalkan Chelsea pada tahun 2007.
Pada tahun 2008, Mourinho dilantik sebagai jurulatih pasukan Inter Milan menggantikan Roberto Mancini.
Peminat Inter Milan tidak menunggu lama untuk melihat sentuhan ajaib Mourinho apabila berjaya merangkul kejuaraan domestik berganda pada tahun yang sama dia menerajui kelab Itali itu.
Sentuhan dan strategi Mourinho terus menjadi pada tahun ini apabila melengkapkan sejarah gergasi bola sepak Itali yang buat julung-julung kalinya menjulang tiga gelaran dalam satu musim selepas turut menjuarai Liga Itali dan Piala Itali.
Formula Mourinho
Sementara itu, pengendali pasukan bola sepak kebangsaan Argentina, Diego Maradona menyifatkan Mourinho seorang jurulatih terbaik dunia.
Legenda bola sepak dunia itu berkata, Mourinho mempunyai segala-gala yang diperlukan untuk menjadi seorang jurulatih berwibawa.
"Mourinho merupakan jurulatih yang mungkin akan saya lantik apabila saya dipilih menjadi presiden kepada mana-mana kelab suatu hari nanti.
"Beliau tahu apa yang perlu dikatakan kepada pemain-pemain, kepada media dan ketika berada dalam bilik persalinan. Bagi saya, beliau merupakan seorang jurulatih yang terbaik" ujarnya.
Bagi penyerang Inter Milan, Samuel Eto'o, Mourinho seorang jurulatih dan insan unik.
"Dia akan bercakap apa yang difikirkannya. Formula tersebut memberi keputusan yang hebat.
"Ia membentuk perhubungan yang baik di kalangan pemain-pemain sekali gus memberi keputusan terbaik semasa perlawanan," katanya.
Rakan pasukannya Wesley Sneijder pula menambah, namanya semakin dikenali dan memberi impak di Eropah disebabkan Mourinho.
"Mourinho mereka taktik dan kami sebagai pemain akan melaksanakan taktik berkenaan dengan baik untuk meraih kejayaan," ujarnya.
Bekas penyerang Porto, Benni McCarthy pula menyifatkan Mourinho sebagai jurulatih terbaik di Eropah dan dunia.
Kejayaan menamatkan kemarau 45 tahun Liga Juara-Juara Bersama Inter Milan tidak kekal apabila Mourinho akan meninggalkan mereka untuk menyahut cabaran baru.
Mourinho dilaporkan akan bertemu dengan pengurusan Real Madrid untuk memuktamadkan rundingan perpindahan yang mencecah sehingga 10 juta euro (RM40.05 juta).
Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
amir.azam@kosmo.com.my
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
28 May 2010
Sentuhan ajaib Mourinho
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment