Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






18 May 2010

Fraser untuk pencinta alam



















PELBAGAI spesies burung hijrah menjadikan Bukit Fraser sebagai tempat persinggahan.

NAMA Louis James Fraser mungkin asing bagi rakyat Malaysia tetapi tiada siapa akan melupakan nama sebuah pusat pelancongan yang diambil sempena namanya iaitu Bukit Fraser yang terletak di daerah Raub, Pahang.

Masakan tidak, pengunjung akan merasakan seolah-olah kembali ke zaman silam kerana suasana Bukit Fraser yang seakan-akan perkampungan di pedalaman negara Scotland yang gah dengan binaan bangunan dan banglo mengikut cita rasa kolonial British.

Bukit Fraser terletak di atas Banjaran Titiwangsa, Malaysia dan merupakan kawasan pelancongan pergunungan yang menarik dan berbeza kerana suhunya sejuk iaitu 17 hingga 24 darjah selsius.

Puncak tertinggi Bukit Fraser ialah 1,524 meter dari aras laut dan kira-kira 104 kilometer dari bandar raya Kuala Lumpur.

Di sebalik pembangunan kawasan pelancongan, barangkali ramai yang tidak mengetahui bahawa pekan kecil Bukit Fraser dikelilingi hutan hujan negeri Pahang.

Ia merupakan tempat tumpuan para penggemar alam semula jadi kerana hutan di sini mengandungi pelbagai jenis tumbuhan, burung dan spesies haiwan yang lain.





BUKIT Fraser lengkap dengan resort penginapan untuk pelancong.




Pusat peranginan itu dianggap sebagai tempat terbaik untuk aktiviti memerhati burung dan sering menjadi tuan rumah acara tahunan pertandingan memerhati burung antarabangsa.

Menurut Ketua Jabatan Komunikasi, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Andrew J. Sebastian, Bukit Fraser kini dilindungi sebagai hutan simpan kekal selain dikenali sebagai kawasan burung penting (IBA).

"MNS amat menghargai komitmen kerajaan negeri Pahang terutama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob bagi memelihara khazanah dan kekayaan Bukit Fraser dengan menetapkan bahawa tiada tanah baru akan dibuka untuk pembangunan di sini.

"Tindakan ini adalah susulan arahan kerajaan Persekutuan yang menetapkan sebarang pembangunan di setiap negeri mestilah memastikan perlindungan dan pemeliharaan kawasan hutan yang berada 1,000 meter di atas paras laut," katanya.

Jelas Andrew, pemeliharaan Bukit Fraser amat penting kerana ia adalah syurga botani yang mengandungi lebih 900 spesies tumbuhan benih, 36 tumbuhan endemik di bawah pergunungan hutan dan menjadi rumah kepada pohon primitif.




PEMINAT menggunakan teropong untuk melihat pelbagai jenis burung berwarna-warni.




"Dianggarkan 37 daripada tumbuhan di hutan Bukit Fraser diancam kepupusan manakala 66 lagi adalah spesies yang jarang ditemui. Spesies fauna di sini termasuklah mamalia besar seperti Siamang selain kaya dengan burung-burung.

"Burung-burung di sini terdiri daripada 260 spesies merangkumi 41 peratus spesies burung di seluruh Semenanjung Malaysia dan sekurang-kurangnya 64 spesies hijrah. Ia juga habitat pelbagai serangga seperti kumbang, rama-rama, kupu-kupu dan kunang-kunang," tambahnya.

Mengimbas pembangunan Bukit Fraser, Sebastian memberitahu, sejak zaman kolonial, pembangunan pesat berlaku di Bukit Fraser termasuk pembangunan kelab golf pada tahun 1970-an.

"Pemaju yang ingin mempromosikan resort bukit mestilah memastikan bahawa peraturan khas ditetapkan supaya jumlah pokok yang ditebang dihadkan, tanaman pokok-pokok di sepanjang jalan dikekalkan dan tidak membina bangunan tinggi.

"Selain keindahan pemandangan, sistem pembuangan sisa yang sepatutnya, bangunan hijau, penjimatan tenaga dan penjimatan air harus diletakkan di dalam renovasi serta pembangunan semula," katanya.



Katanya lagi, ladang-ladang dan tarikan pertanian di Bukit Fraser harus terlebih dahulu mempertimbangkan flora dan fauna di kawasan berkenaan kerana ia adalah habitat kepada banyak endemik yang tidak dapat ditemui di tempat lain.

"Rakyat Malaysia pasti tidak mahu wujud satu lagi Cameron Highlands. Walaupun Cameron Highlands masih boleh dipulihkan, tetapi harga pemulihan bukanlah sesuatu yang murah dan mudah dilakukan," katanya.

Justeru katanya, MNS berharap dengan peraturan baru yang ditetapkan, kerajaan negeri Pahang akan menilai maklum balas dan bekerjasama dengan pelbagai agensi persekitaran bukan kerajaan (NGO) dan orang awam bagi terus memulihara Bukit Fraser.

No comments: