Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






16 May 2010

Pengorbanan guru

























Terpaksa naik perahu, meredah ombak untuk ke sekolah.

Pelbagai insentif bukti jasa golongan pendidik dihargai

SUKAR mengukur nilai pengorbanan seorang guru terutama bagi mereka yang diamanahkan bertugas di luar bandar apatah lagi di kawasan pedalaman. Pengorbanan mereka yang sedia mengajar di kawasan berkenaan tiada tolok bandingnya kerana masing-masing sanggup berkorban bagi memastikan anak bangsa di sana turut mendapat hak sama rata dengan rakan mereka di bandar. Sejajar tema Hari Guru 2010, `Guru Pembina Negara Bangsa’, guru di kawasan luar bandar dan pedalaman menjadi harapan negara dan rakyat untuk melahirkan generasi berilmu, bermaruah dan berdaya saing.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata peranan guru membentuk insan berkualiti berpaksikan tiga fokus iaitu memberi ilmu, mendidik dan membimbing.

Justeru itu, katanya, ketika menerima amanah mengajar, mereka harus sedia berkorban dan sanggup berkhidmat di mana saja termasuk di pedalaman.

“Merujuk tema yang disifatkan relevan dengan tugas utama guru sebagai pendidik, apatah lagi dalam konteks membentuk keharmonian dalam negara yang terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan keturunan.
“Alasan bertugas di pedalaman yang serba kekurangan tidak wajar dijadikan alasan mereka hilang semangat dan motivasi mengajar. Sebaliknya, kekurangan ini perlu dilihat sebagai cabaran untuk terus berjuang,” katanya ketika ditemui di Putrajaya, baru-baru ini.

Mohd Puad berkata, pelbagai pembaharuan dan penambahbaikan dilaksanakan bagi keselesaan dan kemudahan guru berkenaan.

Beliau berkata, satu demi satu insentif dan keistimewaan disalurkan kepada mereka termasuk berusaha menaik taraf dan membina kuarters guru di kawasan pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak.

Kementerian katanya, akan memastikan kemudahan penginapan guru selamat diduduki. Kemudahan itu penting bagi memastikan guru terutama wanita mendapat perhatian dan kemudahan wajar sejajar pengorbanannya sebagai pendidik anak bangsa.

“Selain itu, Elaun Khas Mengikut Lokasi Dan Tahap Kesusahan (EKMLTK) diberikan. Sehingga kini, sejumlah 12,687 guru menikmati elaun ini dengan kos pembiayaan bernilai RM116.4 juta setahun.

“Pemberian Bayaran Insentif Pedalaman (BIP) turut disalurkan, selain peluang kenaikan pangkat dan tawaran pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“BIP contohnya diberikan kepada guru mengikut kawasan dikategorikan sebagai pedalaman 1 (P1) dengan bayaran berjumlah RM500, pedalaman 2 (RM1,000) dan pedalaman 3 (RM1,500),” katanya.

Puad berkata, beberapa pendekatan baru bagi mengatasi masalah kekurangan guru di pedalaman akan dilaksanakan tahun ini. Pendekatan itu termasuk menetapkan kuota pengambilan 40 peratus guru Semenanjung dan masing-masing 30 peratus guru dari Sabah dan Sarawak.

Katanya, pelaksanaan itu bertujuan mengelakkan masalah pertukaran atau penghijrahan guru secara berterusan. Penetapan kuota sekali gus memenuhi keperluan guru di negeri berkenaan.

Selain itu, Mohd Puad berkata, usaha pengagihan semula penempatan guru mengikut opsyen dilaksanakan khususnya guru bahasa Inggeris, Sejarah dan Kemahiran Hidup. Beberapa sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman berhadapan masalah guru daripada opsyen berkenaan.

“Usaha menyeimbangkan pengambilan guru lelaki dan perempuan dengan menetapkan nisbah 50:50 juga akan dilaksanakan tidak lama lagi bagi memastikan lebih ramai guru lelaki ditempatkan di kawasan pedalaman.

“Tidak timbul soal kita mengenepikan kualiti calon guru semata-mata ingin memenuhi nisbah ini kerana setiap tahun, bilangan pemohon lelaki yang memenuhi merit kelayakan mencukupi dan mereka bersaing,” katanya.


No comments: