SIKAP agresif kanak-kanak turut disumbangkan keadaan persekitarannya, sama ada melalui perbuatan atau percakapan orang lain.
MEMBESARKAN anak-anak adalah cabaran besar yang perlu dilalui oleh ibu bapa. Cabaran itu lebih hebat jika berhadapan dengan perilaku anak-anak yang nakal, degil, sukar dikawal dan agresif.
Tidak semua ibu bapa dapat bersabar apabila berhadapan dengan anak-anak sebegini. Ada antara mereka yang mengambil jalan mudah dengan memukul anak bagi memberikan pengajaran, namun tindakan tersebut bukanlah pendekatan terbaik.
Malah, tindakan tersebut memburukkan lagi keadaan dan mendatangkan masalah baru. Pendekatan sedemikian boleh mempengaruhi kehidupan anak itu kerana anak-anak yang dilayan sebegitu cenderung menjadi lebih agresif. Jangan terkejut kalau satu hari nanti mereka menggunakan kekerasan untuk menyelesaikan masalah.
Jangan salahkan anak apabila mereka menjadi seperti itu kerana secara tidak langsung ia berpunca daripada ibu bapa sendiri yang kurang mengawal anak dan jarang melibatkan diri dalam kegiatan harian anak-anak.
Pencegahan adalah perkara terbaik dalam menangani masalah ini. Berikut adalah tip bagi mengatasi anak agresif daripada Pusat Psikologi Malaysia.
Tunjuk kelakuan baik
Anak-anak cenderung meniru apa yang mereka lihat dan dengar. Pada tahap membesar, mereka lebih rentan terhadap pengaruh negatif. Mereka menyerap sifar-sifat negatif orang lain jauh lebih cepat daripada sifat yang positif.
Pengalaman buruk seperti gangguan lisan dan fizikal ketika mengharungi fasa perkembangan kanak-kanak akan kekal di fikiran mereka. Jadi, pastikan bahawa mereka membesar dalam satu persekitaran yang mendedahkan mereka pada perbuatan dan percakapan yang baik.
Disiplin cara tegas
Ketika anak-anak dimarahi atau disogokkan dengan disiplin yang ketat, mereka cenderung membalas balik dengan lebih agresif. Mereka mungkin akan menunjukkan sikap agresif tanpa henti, jika anda melayan mereka dengan cara yang salah. Ibu bapa perlu berlembut namun tegas.
Ajar kawal kemarahan
Menzahirkan kekerasan bukanlah perkara yang disenangi orang lain. Ibu bapa perlu bijak menenangkan anak-anak secara rasional setiap kali berlaku konflik kehendak yang mencetuskan kemarahan si kecil.
Tunjukkan pada anak-anak itu kesan atau akibat yang berlakun sekiranya sesuatu pilihan itu dibuat dengan salah. Didiklah mereka tentang cara yang baik untuk berhadapan dengan sesuatu situasi dengan menunjukkan contoh yang baik.
Tenangkan diri
Setiap kali anak menjadi agresif, berikannya cukup masa untuk menenangkan diri. Cari waktu yang sesuai untuk menjelaskan bahawa sikap agresif bukanlah satu cara untuk menyelesaikan masalah.
Hormati perasaan
Ibu bapa sering berfikir bahawa kemarahan yang tiba-tiba merupakan masalah serius kepada anak-anak yang agresif.
Jangan sesekali menganggap anak tersebut kerap membawa masalah kepada orang di sekelilingnya. Sebaliknya, anggap ia sebagai rintangan untuk memperbaiki tingkah laku anak yang agresif. Anda sebagai ibu bapa perlu untuk mendidik mereka bagaimana melepaskan atau mengungkapkan perasaan mereka dengan cara yang betul. - NURUL IZZA ROSLY
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
13 May 2010
Lembut lawan agresif
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment