Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






17 May 2010

Dasar inovatif, insentif dorong guru beri khidmat cemerlang


















MUHYIDDIN bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob (lima dari kiri) dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom bergambar dengan penerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan di UMP, Kuantan, semalam.

Ucapan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Majlis Pelancaran Sambutan Hari Guru 2010 Peringkat Kebangsaan Ke-39
di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang
SESUNGGUHNYA guru memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan individu dan pencapaian matlamat pendidikan negara. Setiap insan yang pernah mendapat suluhan ilmu daripada seorang guru pasti akan menghargai betapa besar sumbangan guru dalam setiap kejayaan yang dilakar. Hari ini saya ingin merekodkan penghargaan kepada warga guru yang sentiasa komited dalam menggalas amanah mendidik anak bangsa dan mendokong matlamat dasar pendidikan kebangsaan iaitu untuk memupuk perpaduan, memacu kemajuan dan membentuk keperibadian insan yang mulia. Alhamdulillah, berkat komitmen warga guru, kita berjaya mencipta pelbagai kejayaan dalam bidang pendidikan. Hari ini dengan pemeluasan akses kepada pendidikan baik pada peringkat rendah, menengah mahupun pengajian tinggi, kita telah berjaya menyediakan peluang pendidikan formal kepada setiap warga negara. Ini adalah satu pencapaian penting dalam proses pendemokrasian pendidikan di negara kita. Kemajuan yang dicapai dalam bidang pendidikan selama lebih lima dekad lalu juga telah menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan peningkatan taraf hidup rakyat tanpa mengira kaum. Pencapaian ini sekali gus membantu menjayakan agenda pembasmian kemiskinan, penyusunan semula masyarakat, pembangunan negara dan pengukuhan perpaduan.
Pada peringkat antarabangsa, negara kita juga diiktiraf sebagai antara negara yang paling berjaya dalam mencapai matlamat pendidikan untuk semua. Saya percaya, segala kejayaan ini tidak akan terlakar tanpa komitmen dan kesungguhan guru dalam melaksanakan tugas dengan penuh amanah dan dedikasi, dengan penuh rasa tanggungjawab untuk berbakti kepada pertiwi.

Namun, segala kejayaan ini tidak seharusnya melekakan kita. Benar kita telah mencipta banyak kejayaan, tetapi ini tidak bermakna bahawa kita boleh selesa berpeluk tubuh mengharapkan setiap kejayaan yang dicipta pada masa lalu akan berulang dengan sendirinya di masa hadapan. Hakikatnya, kita menghadapi pelbagai cabaran baru yang menuntut supaya kita sentiasa meneroka pendekatan terkini, melakukan inovasi dan berusaha untuk melangkaui sempadan kecemerlangan.

Cabaran Pendidikan Negara
Cabaran pertama ialah meningkatkan kualiti dan ekuiti dalam pendidikan. Dalam sebuah negara yang menjanjikan kemakmuran untuk semua, komitmen kerajaan ialah untuk memastikan setiap warga negara berhak untuk mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti. Ini bermakna usaha berterusan mesti dilakukan untuk menambah baik kualiti pengajaran dan pembelajaran, meningkatkan prestasi setiap sekolah serta merapatkan jurang pencapaian murid tanpa mengira lokasi dan wilayah.

Kedua, meraikan kepelbagaian dan pada masa yang sama memperkukuhkan perpaduan dalam sebuah masyarakat majmuk yang sedang melalui proses perubahan nilai sosial dan politik yang ketara. Adalah menjadi hasrat dasar pendidikan kebangsaan untuk memupuk perpaduan rakyat berbilang kaum melalui sistem pendidikan yang mengutamakan perkongsian nilai, budaya dan cita-cita bersama. Sementara kita melihat kepelbagaian sebagai sumber kekuatan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk, kita juga perlu memperkuhkan perpaduan melalui sistem pendidikan kebangsaan yang inklusif dan dinamik.

Justeru, cabaran besar bagi setiap guru ialah untuk muncul sebagai kuasa pemersatu yang jitu (the binding force of unity) yang berperanan mendidik murid tanpa mengira kaum menghargai sejarah pembinaan negara bangsa, memahami kepelbagaian dan menjunjung aspirasi perpaduan selaras dengan semangat dan cita-cita 1Malaysia.

Ketiga, meningkatkan daya saing negara pada persada antarabangsa dalam iklim persaingan global yang semakin sengit. Berhadapan dengan cabaran ini, keutamaan kita ialah untuk mempersiapkan generasi muda dengan kualiti yang diperlukan supaya mereka boleh bersaing di persada antarabangsa. Di samping itu, jangan kita lupa bahawa usaha untuk meningkatkan prestasi dan kualiti sistem pendidikan kita perlu dilakukan secara berterusan kerana pada masa yang sama kita juga menghadapi persaingan dengan sistem pendidikan berprestasi tinggi di negara maju yang meletakkan penanda aras baru kecemerlangan pendidikan. Pendek kata, pada era globalisasi kini kita harus menerima hakikat bahawa pendidikan tidak lagi berfungsi sekadar untuk mengisi keperluan lokal, tetapi memenuhi tuntutan global.

Strategi Pemantapan Kualiti Pendidikan

Dalam mengharungi cabaran ini, kita perlu bersedia melakukan pembaharuan dan pemugaran dalam sistem pendidikan melalui inovasi dasar dan strategi yang berterusan. Dasar dan strategi yang telah terbukti berjaya pada masa lampau, tidak semestinya berkesan untuk masa kini dan masa hadapan. Justeru, sistem pendidikan kita mestilah sentiasa dinamik dan progresif serta bersedia untuk melalui proses perubahan dan pembaharuan seiring dengan peredaran zaman.
Dengan semangat melakukan pembaharuan yang bermatlamatkan peningkatan kualiti pendidikan secara berganda, tumpuan segera perlu diberikan kepada usaha meningkatkan prestasi sekolah, memantapkan kualiti guru dan melonjakkan keberhasilan murid. Inilah fokus utama inisiatif penting yang sedang dilaksanakan kerajaan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi sektor pendidikan.

Kementerian Pelajaran telah menyediakan satu kerangka pelaksanaan yang menetapkan strategi penyampaian dan pencapaian sasaran NKRA. Usaha ini mencakupi empat sub-NKRA iaitu peluasan penyertaan prasekolah; Program Literasi dan Numerasi (LINUS) murid; mewujudkan Sekolah Berprestasi Tinggi, termasuk meningkatkan prestasi setiap sekolah menerusi mekanisme Program Pembangunan Prestasi Sekolah (School Improvement Programme); dan pemberian insentif berasaskan pencapaian kepada guru besar, pengetua dan guru-guru yang berjaya melonjakkan prestasi sekolah. Dalam konteks ini, NKRA itu sendiri merupakan satu inovasi dasar dan strategi yang ampuh dalam merealisasikan hasrat untuk memantapkan kualiti pendidikan negara.

Dalam menjamin kejayaan proses pemantapan kualiti pendidikan negara, beberapa dimensi penting pengurusan pendidikan perlu diberikan perhatian. Pertama, pengukuhan kepemimpinan pendidikan dengan memberi keutamaan kepada usaha untuk meningkatkan mutu penyampaian pendidikan dan melonjakkan prestasi dari peringkat prasekolah sehingga pengajian tinggi.

Pada peringkat sekolah, matlamat kita ialah membangunkan ciri kepemimpinan sekolah yang profesional, progresif dan dinamik dengan disokong oleh tenaga guru yang mempunyai kekuatan minda, ketangkasan daya fikir dan daya cipta, kemantapan idealisme dan kekuatan jati diri. Kualiti dan profesionalisme kepemimpinan pendidikan ini pula perlu dibangunkan dalam persekitaran budaya kecemerlangan yang berpaksikan kepada etos masyarakat berpengetahuan.

Kedua, kepemimpinan sekolah perlu memacu penghasilan daya kreativiti dan inovasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran secara berterusan. Bagi menghasilkan pendidikan yang bermutu, guru perlu melakukan anjakan paradigma dalam melaksanakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang menggalakkan murid untuk berfikir secara kreatif dan inovatif. Kita perlu berganjak daripada pendekatan model kilang penghasilan pendidikan (factory model of producing education) kepada model penciptaan pengajaran dan pembelajaran yang memberangsangkan minda, yang menguji daya kreativiti dan inovasi, yang mencungkil keupayaan menyelesaikan masalah dan yang mengasah katajaman penakulan (reasoning) murid. Ertinya, orientasi pengajaran dan pembelajaran mesti berganjak daripada pembelajaran berbentuk hafalan (rote learning) kepada pembelajaran yang memberangsangkan akal (mind stimulating learning).

Saya berharap aspek penting ini akan diberikan penekanan oleh guru dalam pelaksanaan transformasi kurikulum di sekolah. Kejayaan pelaksanaan transformasi kurikulum ini amat bergantung kepada keupayaan guru untuk memperbaiki kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah agar matlamat menggalakkan budaya berfikir di kalangan murid dapat dicapai.

Melangkah ke hadapan, saya percaya sudah sampai masanya kita memberikan autonomi profesional kepada guru-guru untuk merancang dan merangka kaedah pengajaran dan pembelajaran yang terbaik berdasarkan keperluan murid dan situasi setempat dengan berpandukan garis panduan kurikulum standard.

Dengan ini, kita akan berjaya menzahirkan peranan sebenar guru sebagai pemangkin masyarakat berpengetahuan yang menggalas amanah besar untuk mentransformasi sekolah sebagai sebuah organisasi pembelajaran (learning organization) yang mana proses pemerolehan ilmu, pengkayaan pengalaman dan pembentukan sikap serta nilai positif berlaku secara dinamis dan progresif.

Ketiga, dalam kesungguhan kita untuk melahirkan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, jangan kita lupa kepada satu lagi matlamat penting pendidikan iaitu untuk membentuk keperibadian insan yang mulia.

Matlamat pembangunan insan yang sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini perlu dimantapkan dengan pemugaran nilai agama, moral dan etika dalam pendidikan. Kita tidak mahu melahirkan manusia yang hebat pengetahuannya, tinggi kemahirannya, tetapi rendah akal budinya. Kece-merlangan pendidikan yang kita maksudkan merangkumi aspek pemurnian jiwa, ketinggian budi dan kejituan rohani. Dalam konteks ini guru seharusnya mampu menjadi pendidik dan role model yang mempamerkan pekerti mulia pada setiap masa untuk diteladani oleh murid.

Insentif Kepada Guru

Menyelami setiap cabaran yang mesti diharungi oleh guru dalam memenuhi tuntutan kemajuan negara dan membentuk keperibadian insan yang mulia, saya memahami bahawa guru sebenarnya memikul amanah yang besar. Melaksanakan amanah ini pula bukanlah satu tugas yang mudah. Harapan masyarakat terhadap guru amat tinggi dan cabaran yang dihadapi bukannya sedikit.

Pada masa yang sama, saya juga mendengar pelbagai keluhan dan rintihan guru. Saya diberitahu guru banyak dibebani dengan tugas sampingan di sekolah; proses kenaikan pangkat juga mengambil masa lama; tiada insentif khusus menghargai dan mengiktiraf jasa guru dalam meningkatkan pencapaian murid; dan masalah penempatan serta pertukaran guru terutama di luar bandar dan pedalaman yang menimbulkan keresahan di kalangan guru.

Saya ingin mengambil kesempatan pada majlis sambutan Hari Guru ini untuk mengumumkan beberapa inisiatif yang telah dan akan diambil oleh Kementerian Pelajaran. Mengenai isu beban tugas guru yang telah dikemukakan oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) ketika sesi pertemuan dengan saya pada Mac lalu, saya telah mengarahkan satu Jawatankuasa Khas Mengkaji Beban Tugas Guru yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia ditubuhkan bagi meneliti isu yang dibangkitkan. Jawatankuasa ini yang turut dianggotai beberapa orang wakil kesatuan guru telahpun mengadakan mesyuarat bagi meneliti syor-syor yang dikemukakan serta mencadangkan penambahbaikan.

Antara beberapa syor jawatankuasa ini yang boleh dilaksanakan dengan segera untuk meringankan beban tugas guru ialah:

Pertama, mengurangkan bilangan jawatankuasa pada peringkat sekolah kepada jumlah lebih wajar. Pada masa ini, ada sekolah yang mempunyai hampir 40 jawatankuasa dalam bidang pengurusan dan pentadbiran, kurikulum, hal ehwal murid serta kebersihan, keceriaan dan keselamatan murid yang memerlukan curahan masa dan tenaga guru yang bukan sedikit.

Pengecilan jumlah jawatankuasa melalui penggabungan atau pemansuhan bukan saja akan mengurangkan bebanan tugas guru tetapi juga memberi peluang kepada guru untuk menumpukan perhatian kepada tugas hakiki. Di samping itu, perlu dipastikan pembahagian tugas di sekolah diagih secara adil untuk mengelakkan bebanan tugas tertumpu kepada-guru tertentu saja.

Kedua, mengkaji semula bilangan peperiksaan dan ujian pada peringkat sekolah yang merupakan salah satu daripada punca pertambahan bebanan tugas guru. Saya dapati ada sekolah yang jumlah peperiksaan dalamannya saja mencecah hampir 20 tidak termasuk peperiksaan awam. Jumlah peperiksaan dalaman ini perlu dikaji semula bukan saja untuk meringankan bebanan guru tetapi mengelakkan sistem persekolahan kita daripada menjadi terlalu berorientasikan peperiksaan.

Ketiga, menyusun semula tugas-tugas perkeranian di sekolah. Saya tahu bahawa ini adalah antara keluhan utama guru. Saya bersetuju guru tidak perlu dibebankan dengan tugas perkeranian yang terlalu banyak sehingga mengganggu tugas hakiki yang lebih penting, iaitu pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Apatah lagi, dalam usaha kita untuk melonjakkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, guru perlu diberikan lebih banyak masa untuk merancang pengajaran yang lebih berkesan dan membuat persiapan mengajar.

Justeru, Jawatankuasa Mengkaji Bebanan Tugas Guru akan menyediakan Garis Panduan yang lebih terperinci bagi membezakan antara tanggungjawab hakiki guru dengan beban tugas perkeranian yang tidak sepatutnya dilakukan oleh guru. Garis panduan terperinci ini akan diumumkan setelah pihak jawatankuasa selesai mengkaji isu ini dan mengemukakan laporan akhir.

Keempat, kursus penting yang perlu dihadiri oleh guru juga akan diselaraskan di peringkat Kementerian Pelajaran supaya tidak wujud pertindihan kursus atau keadaan di mana guru yang sama terpaksa mengikuti pelbagai jenis kursus yang dianjurkan di peringkat Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran.

Dengan adanya penyelarasan yang lebih sistematik, bukan saja guru dapat mengurus masa dengan lebih cekap, malah merancang untuk mengikuti program pembangunan profesionalisme dengan lebih baik.

Saya juga ingin mengumumkan inisiatif yang telah diambil oleh Kementerian Pelajaran untuk menyediakan laluan kerjaya yang lebih baik kepada guru. Buat permulaan, Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan (LKPPP) telah meluluskan sebanyak 25,289 kenaikan pangkat bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma atau Bukan Siswazah (PPPLD) sehingga April 2010.

Daripada jumlah itu, 15,320 jawatan adalah bagi PPPS, manakala seramai 9,969 jawatan bagi PPPLD. Pecahan Kenaikan pangkat ini meliputi tiga kategori iaitu Time-based, Guru Cemerlang dan kenaikan secara hakiki kategori DGA32, DGA34, DG44, DG48, DG52 dan DG54.

Kenaikan pangkat ini merangkumi pegawai perkhidmatan pendidikan yang bertugas di Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah, pensyarah Institut Pendidikan Guru Malaysia dan guru-guru. Selain itu, LKPPP juga meluluskan 3,205 jawatan pemangkuan gred DG44, DG48, DG52 bagi PPPS.

Untuk mempercepatkan proses kenaikan pangkat, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga bersetuju urusan kenaikan pangkat secara Time-based Gred DG44 dan DG48 bagi Pegawai Perkhidmatan Siswazah dilaksanakan Kementerian Pelajaran. Di samping itu, sejajar dengan matlamat Kementerian meningkatkan kualiti guru, pegawai perkhidmatan siswazah yang memperoleh ijazah Doktor Falsafah akan menikmati kenaikan satu gred jika memenuhi kriteria dan syarat yang akan ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran.

Pelaksanaan kenaikan gred bagi pemegang ijazah Doktor Falsafah dilaksanakan pada tahun ini. Saya berharap agar proses kenaikan pangkat dan pengesahan pemangkuan bagi mereka yang telah memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan dapat diurus dengan kadar segera.

Selaras dengan konsep mengutamakan pencapaian dan keberhasilan, sukacita saya mengumumkan new deals atau Tawaran Baru kepada pengetua, guru besar dan guru. Di bawah Tawaran Baru ini, ganjaran kewangan akan diberikan kepada pengetua, guru besar dan guru yang berjaya melonjakkan prestasi sekolah masing-masing melepasi sasaran Skor Komposit 92 peratus bagi sekolah menengah dan 84 peratus bagi sekolah rendah.

Ganjaran juga akan diberikan kepada pengetua, guru besar dan guru-guru yang berjaya melonjakkan kedudukan sekolah dalam ranking Skor Komposit, iaitu lonjakan sebanyak 2,500 tempat bagi sekolah rendah dan 300 tempat bagi sekolah menengah. Skor Komposit ini dikira berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS) dan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM). Pengetua dan Guru Besar yang mencapai sasaran KPI ini akan menerima ganjaran kewangan sebanyak RM7,500.

Guru di sekolah berkenaan yang berada dalam kumpulan lima peratus teratas berdasarkan tahap penilaian prestasi tahunan juga akan menerima ganjaran RM1,800 dan 95 peratus guru berikutnya akan menerima ganjaran RM900.

Tawaran Baru yang merupakan satu bentuk insentif berasaskan pencapaian ini diharap akan dapat menyuntik semangat baru kepada guru-guru untuk bekerja dengan lebih gigih bagi meningkatkan prestasi sekolah dan keberhasilan murid.

Kerajaan juga sedang menimbang pelaksanaan beberapa inisiatif kenaikan pangkat berasaskan pencapaian lebih cepat kepada mereka yang benar-benar menunjukkan kebolehan. Mewujudkan laluan kerjaya yang lebih baik untuk guru adalah satu daripada langkah kerajaan memartabatkan profesion keguruan di samping menarik lebih ramai best brain untuk menyertai kerjaya ini.

Untuk mengatasi masalah penempatan di pedalaman yang sering menimbulkan keresahan guru, saya telah mengarahkan sistem pemantauan penempatan guru yang lebih cekap dan adil diwujudkan. Maklumat mengenai tempoh perkhidmatan guru di kawasan pedalaman perlu dikemas kini secara online untuk memastikan mereka yang telah lama berkhidmat di kawasan pedalaman diberi peluang untuk berkhidmat di bandar pula. Dengan adanya sistem pemantauan yang lebih cekap dan adil ini, kita akan dapat menjamin bahawa guru-guru yang ditempatkan di luar bandar tidak akan disisih dan diabaikan.

Sempena majlis yang penuh bermakna ini, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada bekas pendidik yang dinobatkan sebagai Tokoh Guru Kebangsaan dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan bagi tahun ini. Anugerah ini adalah tanda penghargaan dan pengiktirafan negara terhadap jasa serta pengorbanan tokoh guru yang tidak ternilai.

Guru itu umpama lautan luas,
Menghampar ilmu tak terbatas;
Bagai hempasan keras
gelombang,
Kepada murid mendamai tenang.

Guru itu laksana gunung agung,
Tinggi berbukit sabar iktibar;
Persis batu dan pasir terdampar,
Tugasnya mulia mendidik
mengajar.

Akhirnya, saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan majlis sambutan Hari Guru pada tahun ini, terutamanya kepada warga Jabatan Pelajaran Negeri Pahang selaku Urusetia Pelaksana. Marilah kita bersama menadah tangan memohon keizinan dan keredaan Allah SWT supaya segala cita-cita dan usaha kita dalam meningkatkan kualiti pendidikan dan membina negara bangsa yang sejahtera dan harmoni diberkati dan dipermudahkan oleh-Nya.
“Selamat Hari Guru, terima kasih cikgu.”

No comments: