BELAJAR...pelatih perlu membiasakan diri dengan butang dan suis dalam kokpit
KAGUM dan teruja. Begitulah perasaan penulis ketika diberi kesempatan merasai mengikuti latihan simulator penerbangan bersama juruterbang dan pelatih Syarikat Penerbangan Malaysia (Mas) di Pusat Latihan Kru Penerbangan (Flight Crew Training Centre), Bangunan Simulator Penerbangan, Kompleks A Syarikat Penerbangan Malaysia (Mas) di Subang, Selangor.
Walaupun pengalaman menaiki pesawat sebenarnya banyak kali dirasai, tetapi mengikuti simulator penerbangan bersama Kapten Hamdan Che Ismail dan Mohd Shafiq Zainal Amir menghadirkan satu pengalaman baru, terutama berada di kokpit sewaktu berlepas dan mendarat. Ia sungguh mengujakan.
Berada di kokpit 'pesawat' A330-300, Kapten Hamzah sempat memberi penerangan serba ringkas mengenai fungsi dan keperluan memahami segala suis atau butang serta skrin paparannya.
Kami juga dibawa merasai penerbangan dalam pelbagai bentuk cuaca serta dalam keadaan siang dan malam. Kapten Hamdan turut menerangkan tindakan yang wajar diambil ketika berselisih dengan pesawat lain di udara serta kawalan automatik penerbangan yang banyak membantu seseorang juruterbang ketika bertugas.
Kapten Hamdan turut menekankan pentingnya seseorang juruterbang dan pembantu juruterbang mengikuti serta memahami buku manual yang disediakan dalam setiap pesawat.
Sungguhpun pengalaman dilalui itu terlalu singkat dan dirasakan tidak puas, ia menjadi satu detik yang sangat berharga, terutama dapat berkongsi latihan dilalui juruterbang muda dalam menguasai ilmu mengendalikan sesebuah pesawat yang sememangnya bukan mudah.
Kini, simulator penerbangan yang disediakan Mas itu turut dibuka kepada orang ramai yang berminat dengan mendapat tunjuk ajar daripada jurulatih berkelayakan syarikat berkenaan.
Ketika ini Mas mempunyai enam simulator pesawat di pusat latihannya iaitu daripada jenis kapal terbang B747-400, B777-200, A330-300 dan dua unit jenis B737-400 serta Fokker 50.
MENJADI JURUTERBANG MAS
Ketibaan kami di pusat latihan penerbangan disambut kakitangan Unit Perhubungan Media Mas, Ismadi Mohd Yusoff, dan dibawa bertemu Pengurus Besar Operasi Penerbangan Mas, Kapten Kamarudin Kamilin bersama Kapten Hamzah dan dua juruterbang muda, Mohd Shafiq serta Mohd Azmir Zulkarnain yang menanti di bilik taklimat.
Kemudian, penulis diberi taklimat oleh Kapten Kamarudin mengenai pengambilan juruterbang dan latihan dijalankan Mas bagi memantapkan operasi serta kemahiran seseorang juruterbang.
Beliau yang memiliki 30 tahun pengalaman menjadi juruterbang berkata, Mas mempunyai program latihan kadet juruterbang yang menawarkan bantuan pinjaman kepada yang berminat dan berusia antara 18 hingga 26 tahun.
Menurutnya, untuk menyertai pengambilan bagi program berkenaan, seseorang itu harus memenuhi syarat ditetapkan iaitu warga Malaysia, lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan kredit enam mata pelajaran termasuk Bahasa Malaysia serta lulus minimum B4/C4 bagi Matematik, Fizik dan Bahasa Inggeris.
Katanya, syarat lain juga adalah seseorang itu mampu berkomunikasi dan menulis dengan baik dalam Bahasa Malaysia serta Inggeris. Mempunyai tahap fizikal dan mental yang baik dan memiliki ketinggian minimum 163 sentimeter (cm).
"Setiap pemohon yang mahu menyertai program kadet juruterbang bersama kami juga harus bersedia untuk mengikuti latihan komprehensif sehingga 26 bulan mengikut tahap dan peringkat ditetapkan," katanya.
Menurutnya, banyak juga ujian perlu dilalui seseorang itu sebelum dapat diserapkan menjadi juruterbang bersama Mas, termasuk ujian kemahiran Psychomotor yang dikendalikan oleh Bahagian Latihan Operasi Penerbangan dan Piawaian.
Katanya, pemohon yang disaring juga akan menjalani ujian Psychometric dan temuduga, seterusnya dikehendaki membuat pemeriksaan kesihatan sebelum terpilih dan dihantar menjalani latihan di pusat latihan penerbangan bertauliah dan mendapat pengiktirafan Jabatan Penerbangan Awam.
"Di sekolah latihan penerbangan itu, pelatih didedahkan kepada teori yang berkaitan, termasuk perlu melepasi ujian Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAA) bagi mendapatkan Lesen Juruterbang Penerbangan Pengangkutan (ATPL).
"Ada pelbagai lagi kurus dan latihan yang diperlukan bagi memahirkan diri mereka mengendalikan pesawat, tambahan pula pengeluar pesawat sentiasa meningkatkan keupayaan sesebuah kapal terbang," katanya.
PENGALAMAN JURUTERBANG
Bagi seseorang juruterbang itu, terutama yang berkhidmat dengan syarikat penerbangan komersial, sememangnya mempunyai tanggungjawab besar kerana keselamatan penumpang dipikulnya supaya setiap perjalanan itu selamat tiba ke destinasi dengan selamat.
Ia diakui oleh juruterbang berpengalaman seperti Kapten Hamdan kerana tidak kurang juga cabarannya, terutama dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada penumpang yang sentiasa diutamakan oleh Mas.
Menurutnya, di sebalik terpaksa menanggung risiko, yang pasti kerjaya ini sangat menarik dan mempunyai kelebihan tersendiri, terutama daripada segi pendapatan kerana menawarkan gaji lumayan serta berpeluang melihat negara luar.
"Seperkara lagi, bidang ini juga memerlukan juruterbang sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan sebab itu kita sentiasa mengatur ujian atau latihan lanjutan kerana teknologi mengenai pesawat sentiasa berubah setiap masa.
"Kebanyakan teknologi ini berkembang semata-mata untuk memantapkan tahap keselamatan setiap pesawat dan Mas yang mementingkan keselesaan serta keselamatan penumpang tentu mahukan setiap juruterbangnya mampu memberi perkhidmatan terbaik," katanya.
Mohd Syafiq pula berkata, tahap disiplin, pengorbanan dan komitmen tinggi terhadap tugasan harus ada pada seseorang juruterbang itu kerana tanggungjawab dipikulnya sangat besar.
Menurutnya, menjadi juruterbang tidak mudah seperti dilihat kerana dari saat menjalani latihan dan ketika bertugas ia memerlukan kesungguhan serta sentiasa fokus terhadap apa yang diajar serta menjalankan tugas.
"Saat pertama dapat 'terbang' memang menakutkan tetapi hasil pengalaman sejak di sekolah penerbangan membuatkan saya dapat mengawal diri, sekali gus memberi perkhidmatan seperti ditetapkan syarikat.
"Tidak ramai mampu meraih pengalaman seperti saya dan berasa sungguh bertuah dapat menjadikan bidang ini sebagai kerjaya," katanya.
Bagi Mohd Azmir, dia mula terdedah kepada bidang itu selepas mendapat galakan dan dorongan bapanya yang berkhidmat sebagai kru kabin dengan Mas.
Menurutnya, sejak kecil dia kerap dibawa menaiki pesawat oleh bapanya dan mula menyimpan hasrat untuk menjadi juruterbang yang berkelayakan.
"Kesempatan menyertai program kadet juruterbang bersama Mas tidak saya lepaskan hinggalah berjaya menamatkan latihan di sekolah penerbangan. Ketika ini saya mengikuti beberapa program latihan lanjutan di pusat latihan ini mengikut fasa ditetapkan syarikat sebelum dibenarkan bertugas.
"Walaupun masih muda untuk menggalas tanggungjawab besar nanti, saya dan rakan kadet lain sememangnya mendapat latihan secukupnya serta menjadikan saya lebih cepat matang," katanya.
INFO
> Orang ramai boleh merasai pengalaman simulator penerbangan dengan RM500 untuk tempoh minimum 20 minit
> Boleh buat tempahan dengan menghantar e-mel kepada simexperience@malaysiaairlines.com
> Untuk keterangan lanjut boleh layari www.malaysiaairlines.com/MHFlightSimulator
PROFIL
NAMA: Hamdan Che Ismail
UMUR: 33 tahun
LAHIR: 4 Jun 1972 di Kota Bharu, Kelantan
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
JAWATAN: Pengurus Operasi Penerbangan Malaysia (Mas)
HOBI: Bersukan
PENGALAMAN: Pembantu juruterbang - B737 (empat tahun); Pembantu Juruterbang - B747 (empat tahun); Kapten - B737 (lapan tahun) dan Kapten - A330 (tiga tahun)
NAMA: Mohd Syafiq Zainal Azmir
UMUR: 23 tahun
LAHIR: 19 Ogos 1987 di Banting, Selangor
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
HOBI: Bermain futsal dan skuasy
PENGALAMAN: Pembantu juruterbang
NAMA: Mohd Azmir Zulkarnain
UMUR: 21 tahun
LAHIR: 21 September 1988 di Kuching, Sarawak
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
HOBI: Bermain futsal
PENGALAMAN: Kadet juruterbang
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
30 May 2010
Rasai suasana dalam kokpit
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment