Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






25 May 2010

Cabaran bahasa di pedalaman


















SEORANG guru sedang mengajar murid-murid daripada etnik Iban di Song, Sarawak
MALAYSIA kaya dengan pelbagai bangsa, agama dan budaya yang unik. Bahasa adalah salah satu cabang yang memperlihatkan kepelbagaian budaya masyarakat majmuk Malaysia.

Yang menariknya, bahasa bukan sahaja divariasikan mengikut bangsa, bahkan adakalanya dibezakan menerusi loghat mengikut daerah.

Sabah dan Sarawak yang terdiri daripada pelbagai etnik juga mempunyai bahasa mereka mengikut suku kaum masing-masing.

Penggunaan loghat mengikut negeri dan etnik itu melambangkan identiti sesebuah masyarakat yang membolehkan seseorang individu itu dikenali apabila berkomunikasi dengan orang lain.

Namun, penggunaannya yang agak keterlaluan termasuk sewaktu mengikut kelas formal di sekolah amat membimbangkan.

Ini kerana keadaan itu menyebabkan segelintir pelajar sekolah tidak tahu menggunakan bahasa Melayu yang standard, bahkan menyukarkan proses pengajaran.

Perkara itu lazimnya berlaku kepada masyarakat yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Bagi guru-guru dari Semenanjung Malaysia (Semenanjung) yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak, bahasa merupakan salah satu cabaran yang perlu ditempuhi kerana penguasaan bahasa berlainan mengehadkan proses pembelajaran antara murid dan guru.

Jika di Semenanjung, masalah komunikasi mungkin tidak begitu ketara, namun kepelbagaian etnik di Bumi Kenyalang contohnya membuatkan guru-guru di sana mengalami sedikit kesukaran untuk berinteraksi apabila para pelajar lebih selesa menggunakan bahasa ibunda mereka di sekolah.

Murid-murid dari kaum Iban umpamanya menggunakan bahasa ibunda mereka yang belum pernah didengar oleh guru-guru dari Semenanjung, apatah lagi untuk memahaminya.

Ini menyebabkan murid-murid gagal menguasai bahasa Melayu dengan baik kerana mereka sentiasa bercakap dalam bahasa Iban di rumah dan sekolah.

Hakikat itu diakui oleh guru-guru dari Semenanjung yang sedang bertugas di Sarawak terutama mereka yang baru berkhidmat di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Ditertawakan pelajar


Menceritakan masalah komunikasi itu, seorang guru dari Kedah, Azuad Chek Morat, 32, berkata, sejak tinggal di Song, Sarawak beliau seolah-olah berada di bumi asing kerana budaya hidup yang berlainan.

"Minggu pertama saya bertugas di sini, saya rasa agak janggal kerana tidak faham apa yang ditanya murid.

"Mereka bertanya dalam bahasa Iban, saya tidak faham tetapi saya cuba jelaskan dalam bahasa Melayu, namun saya ditertawakan kerana tidak menjawab soalan murid," katanya yang telah berkhidmat empat tahun di daerah terpencil itu.

Menurutnya, murid-murid tahap satu (tahun satu hingga tiga) kebiasaannya adalah kelompok yang tidak dapat berinteraksi dalam bahasa Melayu dengan baik.

Lebih teruk apabila ada ibu bapa yang datang ke sekolah untuk sesuatu urusan bertanya dalam bahasa Iban kepada guru-guru dari Semenanjung.

Bagi guru Sains, Norasyikin Dasuki, 26, masalah lain yang turut memberi cabaran kepada para guru termasuklah apabila berinteraksi dalam bahasa Inggeris.

"Saya tunjukkan gambar pepatung kepada murid tetapi mereka memberi jawapan chechawil (pepatung dalam bahasa Iban).

"Selepas menjelaskan dalam bahasa Inggeris, saya terpaksa memberi penerangan dalam bahasa Malaysia pula. Itu pun masih ada murid yang menghadapi masalah untuk memahaminya," kongsi Norasyikin.

Beliau berkata, guru-guru dari Semenanjung juga terpaksa meminta bantuan guru-guru tempatan atau pembantu pembangunan murid untuk menjelaskannya dalam bahasa Iban agar murid memahami apa yang diajar.

Sementara itu, Mohd. Yusoff Ibrahim, 27, memberitahu, masalah penggunaan bahasa ibunda di sekolah sukar dibendung kerana kebanyakan murid menetap di rumah panjang.

"Penduduk rumah panjang tidak menggunakan bahasa Melayu standard dalam pertuturan mereka, jadi ia memberi kesan kepada murid-murid sekolah," jelas beliau.

Walaupun dihambat dengan banyak cabaran sewaktu bertugas di pedalaman, namun ujar Mohd. Yusoff, ia tidak melemahkan semangat mereka untuk mendidik anak bangsa.

Apatah lagi sempena sambutan Hari Guru yang disambut pada 16 Mei setiap tahun, semangat mereka tetap berkobar-kobar.

"Lantaran tidak mahu terlalu terikut-ikut membiarkan pelajar larut dengan bahasa ibunda masing-masing di kelas, seboleh-bolehnya kami menekankan interaksi dalam bahasa Melayu di sekolah," katanya.

No comments: