Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






08 January 2010

Perjuangan sifat murni





















GURU boleh memainkan peranan dalam memupuk anak-anak ke arah yang baik. - Gambar hiasan.

ADA sesuatu yang masih segar dalam minda Liu Man San. Lelaki berusia 63 tahun itu masih ingat lagi insiden seorang budak nakal di dalam salah sebuah kelasnya.

"Saya ternampak budak itu sangat senyap di satu sudut. Jadi, saya pun panggilnya ke depan. Tetapi, dengan penuh reaksi, dia berdiri dan menjerit 'APA? APA? Awak nak apa?'"

"Orang lain mungkin anggap dia biadap. Padahal budak itu sebenarnya ada kisahnya sendiri," cerita Man San kepada Kosmo! dalam satu pertemuan di ibu negara baru-baru ini.

Sebenarnya, budak lelaki itu tidak pernah mendapat 'ganjaran' yang baik setiap kali namanya dipanggil guru. Jadi, tidak hairanlah dia sentiasa berpendapat nasib malang akan terus menimpanya.

Sebaliknya, Man San menghadiahkannya seketul batu dari Australia sebagai ganjaran. Ganjaran itu sebagai menghargai kepatuhannya untuk tidak membuat bising.

Cukup terkejut dengan tindakan Man San itu, budak tersebut berkali-kali menundukkan kepalanya sebagai tanda terima kasih.

Insiden itu nyata sangat signifikan bagi golongan pendidik seperti Man San. Sekurang-kurangnya peristiwa itu adalah contoh terbaik yang membuktikan bahawa setiap orang anak sebenarnya memiliki sifat positif.

Berbekalkan ideologi tersebut, Man San dan isterinya, Doreen Liu telah menterjemahkan pengalaman puluhan tahun sebagai pendidik ke dalam sebuah naskhah sulung yang berjudul Footperints in the house (Footprints). Buku setebal 105 muka surat itu diharapkan menjadi satu panduan berguna untuk membantu golongan penjaga menerapkan nilai-nilai murni dalam anak atau pelajar.

Doreen, 63, yang bersara sebagai Guru Kanan Hal-Ehwal Murid, memiliki sekitar 40 tahun pengalaman dalam dunia pendidikan. Ibu kepada seorang anak itu memberitahu, golongan muda menjadi sasaran pembaca buku itu memandangkan karakter mereka lebih mudah dibentuk.

"Pengalaman bekerja dengan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) cukup menyedarkan kami. Kami nampak lambakan masalah sosial hari ini banyak yang berpunca daripada soal karakter atau sifat-sifat murni.

"Lagipun, sukar nak membentuk semula karakter atau pemikiran generasi lama. Sebab itulah kami ingin mulakan daripada golongan muda," jelasnya yang berasal dari Pulau Pinang.

Sebagai salah seorang jurulatih utama bagi sebuah projek yang diiktiraf oleh World Vision Malaysia, The Virtues Project, pasangan suami isteri ini ingin mengajak dunia berbuat baik. Bukan dengan hanya berkata-kata tetapi menterjemahkan konsep kebaikan kepada satu tindakan.

Tambahnya, sifat-sifat murni merupakan asas kepada sesuatu karakter seseorang. Demi membangunkan sifat-sifat murni ini, pengetahuan dan pemikiran seseorang tidak harus hanya dilihat dalam konteks sehala.

"Sebaliknya, pelbagai cabang pengetahuan sepatutnya berintegrasi menjadi satu. Sebab itulah, sebagai contoh, kebanyakan kontraktor pembinaan tidak melihat kepada aspek pemuliharaan persekitaran ketika membina bangunan.

"Apa yang lebih dipentingkan oleh mereka ialah struktur atau reka bentuk bangunan," kata Man San yang banyak terlibat dalam aktiviti-aktiviti amal.

Suka menyelitkan strategi-strategi penting dalam membentuk sifat-sifat murni menerusi programnya, dia berkata, segalanya harus bermula dari rumah.

Footprints yang mengadunkan pengetahuan dari segenap lapisan subjek. Sains, moral, sifat-sifat murni dan prinsip universal yang lain mengajak pembaca khasnya anak menghayati kandungan buku itu.

Terbahagi kepada lapan bab yang membawa pembaca kepada bahagian-bahagian rumah berbeza, Doreen berkata: "Sifat-sifat murni sememangnya satu anugerah untuk sesesuatu karakter."


DOREEN dan Man San bersama Linda Kavelin Popov (dua dari kiri) dan pengasas The Virtues Project, Dr. Don Popov.

--------------------------------------------------------------------------------


Ruang tamu disifatkan sebagai destinasi paling menarik dalam sesebuah rumah. Sebabnya, di dalam bilik inilah pelbagai tindakan seseorang boleh mencerminkan keperibadian dan karakternya. Sebagai contoh, kunjungan tetamu atau kenalan ke rumah kita perlu disambut dengan kemesraan dan kemurahan hati.

Bagi memperkukuhkan pemahaman pembaca tentang topik yang disentuh, latihan-latihan mudah juga diselitkan. Malah, pemilihan subjek sains yang betul boleh memperkuatkan lagi ideologi tentang sesuatu sifat murni. Lebih mustahak lagi, ia mengingatkan pembaca dan mengajar anak bahawa manusia seharusnya hidup sebagai satu keluarga tanpa mengira faktor kaum, bangsa dan warna kulit atau rambut.

Memakan masa kurang sebulan untuk ditulis, Footprints tidak mungkin berjaya dicetak tanpa sumbangan murni seorang kenalan lama. Menggelarkan beliau sebagai seorang 'Samaritan' (orang baik) daripada pengeluar tilam terkemuka King Koil Malaysia, Man San berkata, semua orang mampu menyumbang kepada kehidupan yang lebih baik di dunia.

Setakat temu bual ini berlangsung, 2,500 naskhah cetakan awal buku ini telah berjaya dijual.

Golongan muda khasnya mempunyai potensi yang luas. Menggesa masyarakat mengubah persepsi yang menganggap 'orang muda hanya suka bersuka-ria', pasangan ini percaya golongan muda ibarat emas yang belum diasah.

"Mereka sebenarnya boleh capai banyak impian besar jika diberi peluang. Misalnya, ada seorang anak gadis ini. Dia pernah hadiri seminar sifat-sifat murni kami dan selepas tamat pengajian dia memberitahu, dia telah pergi ke Nepal.

"Untuk apa? Dia telah menyertai sebuah NGO sebagai tenaga pengajar di perkampungan terpencil di Nepal. Itulah antara kejayaan yang ditunjukkan apabila anak ada kesedaran dan sifat murni," cerita Man San.

Malah, pasangan dari Klang ini sendiri sudah menjadi tauladan terbaik. Doreen yang melibatkan diri dalam kegiatan NGO seawal tahun 1970-an banyak melancong bersama suami untuk tujuan-tujuan amal. Bekerja dengan kedaifan kelas-kelas yang tidak dilengkapi dengan peralatan asas adalah antaranya.

Namun, hanya selepas Forum Wanita Sedunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Beijing, China pada tahun 1995, mereka lebih serius untuk komited dalam kerja-kerja sosial.

"Kami mula mempertingkatkan keupayaan dalam aspek pembangunan wanita dan pendidikan untuk kanak-kanak serta golongan muda.

"Saya dan Man San kerap berkunjung ke luar negara untuk menghadiri kursus khas untuk perkembangan sosial. Hanya selepas itu, barulah kami mula mengadakan bengkel serta seminar tentang nilai sesebuah pendidikan," terang Doreen, ibu kepada seorang anak perempuan itu.

















KANAK-KANAK merupakan golongan yang lebih mudah dididik berbanding orang
dewasa. - Gambar hiasan

Antara organisasi yang pernah menerima khidmat mereka sebagai jurulatih sukarelawan termasuk HAWA, majlis perbandaran di Kota Kinabalu dan Sandakan, Sabah, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Yayasan Bhineka di Padang, Indonesia dan kem pemulihan serenti dadah.

Bagaimana pula perancangan jangka panjang pasangan ini? Jelas Man San, dua buah buku daripada siri yang sama akan menyusul. Tetapi, mereka berharap ada individu ataupun syarikat korporat yang berminat menaja penghasilan dua buku tersebut demi kesejahteraan dunia sejagat.

No comments: