CERIA...Ainan bersama ibu dan dua adiknya
KETIKA mengandungkan Ainan Celeste Cawley, 10, dia mengakui tiada apa yang pelik berlaku. Dia juga sama seperti wanita lain, mengalami sedikit alahan, makan makanan biasa dan tidak pernah teringin makanan pelik.
Kemudian, Ainan melanjutkan pengajian dalam bidang kimia peringkat ijazah di Politeknik Singapura. Syahidah dan suaminya, Cawley mengajar Ainan mata pelajaran fizik secara tidak formal di rumah tanpa membabitkan mana-mana sekolah.
Menurut Syahidah, selepas melahirkan Ainan, dia mendapati perkembangan Ainan terlalu cepat, berbeza dengan kanak-kanak lain. Pada usia sebulan dia boleh menyebut perkataan pertamanya, merangkak ketika empat bulan, berjalan ketika enam bulan dan berlari setelah berusia lapan bulan. Malah pada usia setahun, dia sudah boleh membaca dengan lancar tanpa bantuan ibu bapa. Paling mengejutkan ketika mengunjungi nenek (Sabariah) di Johor, dia menunjukkan kebolehan dalam kimia.
"Ketika itu usianya baru enam tahun, tetapi dia sudah menunjukkan minat mendalam dalam bidang sains apabila membaca buku teks kimia yang dijumpai di rumah neneknya. Saya sendiri terkejut selepas ditegur adik saya yang memberitahu Ainan seolah-olah faham apa yang dibacanya. "Kemudian, kami memberi Ainan kertas ujian kimia untuk diselesaikan dan dia menjawab dengan betul semua soalan. "Ketika itu barulah saya mengakui keistimewaan dan kepintaran Ainan dan mahu melakukan sesuatu untuknya," kata Syahidah.
Malah adik Ainan, Fintan Nadym, 6, dan Tiarnan Hasyl, 3, turut menunjukkan perkembangan hampir sama, namun memiliki kekuatan masing-masing dalam bidang berbeza. Fintan memiliki kebolehan dan cenderung dalam seni dan matematik manakala Tiarnan suka berfikir dan personalitinya adakalanya menunjukkan dia seorang pelakon.
Pada usia sembilan tahun, Syahidah memberitahu, Ainan mengambil peperiksaan fizik peringkat O Level yang dikendalikan London Edexcel, Januari lalu di British Council, Singapura dan lulus dengan cemerlang. Sebelum itu, Cawley menghantar Ainan menduduki peperiksaan kimia peringkat sama yang turut dikendalikan London Edexcel pada usia lapan tahun sekali gus meletakkan Ainan sebagai orang paling muda lulus peperiksaan O Level ketika itu.
"Bagi tidak mensia-siakan keupayaan Ainan, kami menghantarnya bersekolah bersama kanak-kanak seusia dengannya selain menjalani pembelajaran intensif di rumah untuk subjek fizik sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang kimia di Politeknik Singapura pada 2008. "Setahun di Politeknik Singapura, kami berasakan perlu mencari pendidikan sesuai untuknya terutama dalam bidang kimia dan fizik supaya keistimewaan Ainan digunakan sepenuhnya. Selain dua subjek teras ini, Ainan juga menunjukkan kecenderungan dalam matematik dan biologi malah dia semakin menyukainya," kata Syahidah. Menurut Syahidah, menjaga Ainan tidaklah sukar kerana sejak kecil dia sudah menunjukkan sifat yang baik dan mendengar kata. Malah dia sangat aktif dan gemar berfikir. Makanan kegemarannya ialah roti canai dan biskut coklat yang dimakan bersama teh panas. Pada waktu lapang, Ainan suka membuat latihan fizik, berenang bersama dua adiknya, menulis dan menonton dokumentari sains menerusi saluran Discovery Channel. Bagaimanapun, keseluruhan masanya digunakan untuk berfikir. "Ainan juga sangat aktif dan tidak boleh duduk diam. Sebab itu dia suka bermain dengan adik-adiknya. Jika tidak, dia suka bermain permainan komputer atau ke pusat bowling bersama keluarga. Kegemaran Ainan adalah bermain dan mengumpul kereta mainan. Kereta kegemaran Ainan ialah Bugatti Veyron. Pada usia 10 tahun, Ainan berazam melawat bangunan tertinggi di Dubai iaitu Burj Khalifa dan berada di puncaknya," katanya. Sebagai ibu, Syahidah berharap suatu hari nanti Ainan membesar sebagai seorang pemikir dan gembira dengan apa yang dia lakukan. Menurut bapa Ainan, dia mencari pendidikan yang terbaik untuk anaknya. Di Singapura, Ainan belajar selama tiga tahun, tetapi akhirnya Cawley berasakan sistem pendidikan di sana terlalu tegas, tidak fleksibel dan tidak sesuai dengan usia Ainan yang masih muda. Katanya, Ainan tidak berhak menjadi seperti dirinya ketika menuntut di Universiti Cambridge iaitu dikelilingi persekitaran yang sentiasa menekan kerana budaya persaingan, selain tidak membantu perkembangan minda kreatif.
"Saya berasakan universiti ternama tidak terbuka kepada orang kreatif, mereka bukannya peramah dan ini dapat dilihat pada peringkat pensyarah serta pelajarnya kerana masing-masing tidak mesra. Jadi, Ainan tidak mungkin dihantar belajar di tempat begini, sebaliknya saya cenderung dia menyambung pengajian di universiti yang persekitarannya kondusif, mesra serta menyokong sama seperti pendidikan di rumah," katanya yang akhirnya memilih Malaysia untuk Ainan melanjutkan pelajaran. Cawley memberitahu pada mulanya dia tidak tahu bagaimana memulakannya. Jadi dia menghubungi Presiden Pertubuhan Kanak-Kanak Pintar Malaysia, Zuhairah Ali yang mencadangkan menghantar Ainan mengikuti pengajian di Kolej Universiti Help.
"Setelah menyelidik, saya memilih Kolej Universiti Help kerana mereka memberi galakan sepenuhnya kepada pelajar pintar seperti Ainan untuk mendapatkan pelajaran. Paling penting Help meletakkan standard yang tinggi, tetapi kos jauh lebih murah berbanding universiti lain. "Tenaga pengajarnya juga sangat membantu dan berusaha menyediakan keperluan pembelajaran untuk Ainan. Saya juga tertarik dengan Help kerana fleksibel daripada segi masa dan pemilihan kursus sesuai dengan minatnya. Sebab terakhir sudah tentu suasana pembelajaran dan persekitaran di Help sangat membina terutama daripada segi sosial yang akan membantu Ainan membentuk peribadi yang tinggi," kata Cawley yang turut bekerja sebagai penyelidik psikologi di Help. Ainan mengambil ijazah kimia dan A Level dalam fizik dan matematik di bawah program Ijazah Amerika. Dia juga akan mengambil kesenian liberal sebagai mata pelajaran tambahan. Cawley akui tidak tahu apa yang akan berlaku kepada Ainan pada masa akan datang, tetapi peluang yang diberikan kolej universiti berkenaan memberi kelebihan kepada Ainan untuk mengembangkan bakat yang ada padanya. "Sebenarnya bukan mudah memastikan Ainan kekal bijak, tetapi kami berusaha sebaik mungkin memberikan yang terbaik kepadanya. Saya berharap Ainan membesar sebagai seorang penyumbang kreatif yang baik kepada masyarakat dan negara amnya," kata Cawley yang memuatkan catatan perkembangan harian anaknya itu dalam laman web www.scientific-child-prodigy.blogspot.com.
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
20 January 2010
Ainan si pintar istimewa
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
budak nie mmg power
:)
Post a Comment