ASYIK...usah biarkan anak-anak menonton televisyen mengikut masa mereka sebaliknya hadkan tempoh menonton. Gambar hiasan.
"ANAK saya baru berusia tiga tahun, tetapi sangat suka menonton televisyen sehingga kami tidak boleh menonton rancangan lain. Kalau tidak membuka rancangan kegemarannya, dia mengamuk.
"ANAK saya baru berusia tiga tahun, tetapi sangat suka menonton televisyen sehingga kami tidak boleh menonton rancangan lain. Kalau tidak membuka rancangan kegemarannya, dia mengamuk. "Malah, sekarang sudah pandai menekan alat kawalan bagi memilih programnya sendiri. "Jika ditukar siaran lain, dia menangis. Kalau boleh, makan pun di hadapan televisyen. Ini sangat merisaukan tambah pula dia sudah pandai meniru aksi yang dilakonkan watak dalam rancangan itu," demikian rungut seorang ibu mengenai anak lelakinya yang terlalu fanatik dengan televisyen. Mungkin bukan ibu ini saja, malah ramai lagi ibu yang bimbang mengenai kesan dan pengaruh televisyen kepada minda serta tingkah laku anak-anak. Jika dulu sebuah rumah hanya memiliki satu televisyen, tetapi kini kebanyakan anak-anak memiliki televisyen sendiri lantaran ibu bapa tidak mahu mendengar pekikan dan tangisan anak-anak yang mahu menonton kartun kegemaran mereka pada saat ibu bapa mahu menonton rancangan lain. Rancangan kartun pula lazimnya bermula seawal pagi sehingga keesokan paginya. Perkara ini berterusan setiap hari sehingga anak itu bercakap, berjalan dan bersekolah. Namun untuk menyekat tabiat anak-anak supaya tidak menonton televisyen memang sukar dan mustahil. Tambah pula pada awal usia dua sehingga enam tahun kerana ketika ini, fikiran mereka masih belum matang dan belum mampu berfikir. Justeru, apa cara terbaik bagi memastikan televisyen membawa kebaikan kepada anak-anak? Menurut pembimbing keluarga, Zaid Mohamad, yang juga penulis buku, Ibu Bapa Bijak Anak Hebat, kanak-kanak adalah kain putih dan ibu bapa yang bertanggungjawab mencorakkan kain putih itu. Berdasarkan kata-kata itu, Zaid mencipta strategi sendiri yang dikenali sebagai 7S bagi memanfaatkan televisyen kepada ibu bapa dan anak-anak seterusnya melahirkan insan cemerlang.
Strategi ini dimanfaatkan kepada empat anaknya dan terbukti berkesan apabila mereka dianugerahkan pelajar terbaik serta pemimpin pelajar di sekolah. Strategi 7S itu ialah sayang-menyayangi, sekatan, studi secara bijak, santai bersama keluarga, semaikan bakat kepimpinan, sumbangan kepada masyarakat dan serahkan kepada Tuhan. Zaid yang juga pengurus kanan sebuah syarikat multinasional ingin menerapkan strategi 7S kepada ibu bapa bagi membantu menangani masalah anak-anak yang gemar menonton televisyen, sekali gus menjadikan televisyen sebagai medium yang lebih interaktif.
"Mengatakan televisyen itu baik atau buruk tidaklah tepat kerana televisyen hanyalah alat. Apa yang penting, ibu bapa harus bersama-sama memilih program sesuai untuk anak-anak dan sentiasa di sisi mereka ketika menonton," kata pembimbing yang dilantik menjadi pakar ibu bapa oleh CyberSAFE Malaysia, sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
Perkara pertama yang penting diambil perhatian ialah tunjukkan kasih sayang ketika menonton televisyen bersama anak-anak. Jangan jadikan televisyen sebagai 'pengasuh' supaya ibu bapa mudah melakukan kerja.
"Kini kebanyakan ibu bapa bekerja, namun ini bukan halangan supaya mereka tidak membabitkan diri bersama anak-anak ketika menonton televisyen. "Biasanya masa menonton kira-kira 10 sehingga 15 minit saja sehari. Jadi masa yang singkat ini wajar dimanfaatkan sebaik mungkin," katanya.
Perkara kedua yang sering diabaikan ibu bapa ialah menyediakan tempoh masa menonton. Biasanya ibu bapa membiarkan anak-anak menonton televisyen seberapa lama yang mereka mahu supaya ibu bapa sendiri dapat berehat.
Selain menetapkan masa, pilih program tertentu misalnya beberapa siaran di saluran Astro seperti Playhouse Disney's, Handy Manny dan Special Agent OSO.
"Semua program ini sangat baik untuk perkembangan minda kanak-kanak kerana kanak-kanak boleh berinteraksi dengan ibu bapa ketika menonton. "Rancang waktu menonton bersama anak-anak dan sentiasa berkomunikasi dengan mereka menerusi soalan dan jawapan. Jika boleh masukkan unsur positif dalam setiap interaksi itu," jelasnya.
Secara tidak langsung, menurut Zaid, televisyen boleh dijadikan alat pembelajaran dan perkembangan minda kepada anak-anak dengan pembabitan seisi keluarga secara langsung dalam setiap program yang ditayangkan di televisyen. Tanyakan anak mengenai watak yang paling disukai, apa yang berlaku pada permulaan cerita dan pentingnya sifat tolong-menolong antara satu sama lain. "Apabila ibu bapa menganggap televisyen sebagai alat pembelajaran maka masa menonton televisyen akan menjadi waktu yang sangat penting serta menggembirakan. "Minta mereka menari dan menyanyi mengikut aksi watak. Sentiasa memberikan tindak balas dalam setiap aktiviti dilakukan," katanya.
Menonton televisyen juga boleh membentuk semangat kepimpinan kepada anak-anak. Apabila mereka melihat watak dalam rancangan itu, mereka akan menjadikan watak itu sebagai idola. Apabila watak menampilkan tingkah laku kurang baik, ibu bapa harus bertanya baik buruk perlakuan itu. Kemudian anak-anak diberitahu penyelesaiannya. Dengan cara ini anak-anak mampu menilai perkara baik dan buruk, seterusnya sikap ini akan diteruskan ketika mereka belajar atau bermain bersama kawan. Selain televisyen, Internet dan permainan video juga bagus untuk merangsang perkembangan minda kanak-kanak, tetapi ibu bapa harus memantau selain hadkan masa.
"Saya sendiri menetapkan hanya enam jam seminggu untuk menonton televisyen, selebihnya masa itu digunakan membuat kerja sekolah, mengulang kaji pelajaran dan bermain bersama kawan. Biarkan mereka sendiri membuat jadual dan memilih untuk menonton televisyen. "Bagi anak yang dihantar ke rumah pengasuh, pilih pengasuh yang mempunyai aktiviti seharian. Sebagai ibu, cadangkan aktiviti yang boleh mereka lakukan di rumah pengasuh. "Begitu juga dengan pembantu rumah, pastikan anda membuat jadual waktu dan meminta pembantu rumah mengikut jadual itu. "Biarkan dia melakukan kerja rumah pada waktu pagi. Selepas anak-anak pulang dari sekolah, pembantu rumah harus menemankan anak-anak menonton televisyen atau bermain," jelasnya.
Zaid berkata, paling penting ibu bapa perlu memahami peringkat perkembangan anak-anak supaya lebih memahami setiap perubahan tingkah laku mereka. Misalnya ketika bayi, perkembangan otak berlaku terlalu cepat, kemudian kanak-kanak mula memberi tindak balas apabila usia meningkat dua sehingga enam tahun. Pada usia remaja, barulah mereka menunjukkan emosi dan boleh berfikiran rasional apabila dewasa. "Dengan memahami peringkat perkembangan usia anak-anak, ibu bapa akan lebih memahami mengapa anak remaja sering melakukan perkara yang tidak sepatutnya. Pada peringkat ini, pentingnya menunjukkan kasih sayang bukannya kemarahan kepada anak-anak," jelasnya.
Tulisan Zaid berjudul Smart Parents, Brighter Kids, memasuki senarai jualan terlaris kedai buku terkenal Ogos tahun lalu. Hasil kerja pembimbing ini boleh dilayari menerusi www.SmartParents.com.my.
Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
27 January 2010
Anak asyik tonton TV
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment