Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






30 January 2010

Meredah hutan mencari herba




























BUAH kecil ini dikatakan berfungsi memutuskan susu ibu.

Ekspedisi selama tiga jam mencari tumbuhan herba di hutan yang terletak berhampiran Perkampungan Orang Asli Sungai Rengsak, Batu 7, Tapah, Perak memberi satu pengalaman bahawa bukan mudah untuk mendapatkan penawar dari hutan.AWAN mendung pagi itu membuatkan rombongan Jabatan Muzium Malaysia bersama wakil media dari Kuala Lumpur agak khuatir. Jika hujan, aktiviti meredah hutan untuk mencari tumbuhan herba berhampiran Perkampungan Orang Asli Sungai Rengsak, Tapah, Perak pasti tergendala.

Ini kerana ekspedisi tersebut bukan sekadar menguji ketahanan fizikal dan mental, bahkan bertujuan mengenali pokok herba tradisional yang sering digunakan Orang Asli bagi tujuan perubatan.

Mujurlah nasib menyebelahi kami. Awan mendung itu beransur cerah ketika rombongan memulakan perjalanan yang turut ditemani oleh beberapa pegawai Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dan penduduk kampung.

Ekspedisi itu diketuai oleh seorang lelaki kaum Semai yang sangat berpengalaman, Bah Dom Bah Hap, 80. Beliau disertai kira-kira 30 orang dari Jabatan Muzium Malaysia, selain beberapa kanak-kanak dari perkampungan itu.

Perjalanan bermula pada pukul 9 pagi. Semua peserta dimaklumkan bahawa mereka bakal menemui 20 jenis pokok herba sepanjang perjalanan yang mengambil masa kira-kira tiga jam itu.

Bagi kebanyakan rakan media, meredah hutan untuk mencari tumbuhan herba merupakan pengalaman pertama masing-masing. Tidak banyak gambaran awal atau jangkaan yang terbayang di fikiran sewaktu kaki mula melangkah memasuki hutan.


Tidak sampai 30 minit berjalan, semua peserta berhenti di sebuah lokasi. Kami menemui pokok senduduk yang merupakan antara ramuan yang akan digunakan untuk mengubat pesakit.

Hati kami terdetik, mungkin perjalanan tidaklah sesukar mana memandangkan kami sudah menemui pokok herba yang dicari walaupun belum jauh memasuki hutan.

Tetapi keadaan sebaliknya yang berlaku. Selepas hentian itu, Bah Dom memberi arahan: "Kita naik ikut sini!"




Para peserta tergamam seketika apabila melihat laluan yang ditunjukkan oleh Bah Dom tadi. Kami semua perlu mendaki denai curam yang tidak ada tanda-tanda ada pernah dilalui orang sebelum ini. Malah laluan itu pula hanya muat-muat mereka yang bertubuh sederhana.

Ada yang yang sempat mencelah: "Redah sahaja. Janji boleh sampai." Dari situlah bermulanya kerjasama lebih erat antara peserta. Dengan keadaan permukaan tanah yang licin dan dikelilingi dahan-dahan kayu berduri, masing-masing saling mengharapkan bantuan untuk mendaki laluan yang agak berbahaya itu.

Jika seorang peserta mengambil masa lebih 10 minit untuk sampai ke sana, lain pula ceritanya dengan kanak-kanak Orang Asli yang mengambil masa tidak sampai lima minit.

Ketika kami masih terkial-kial untuk mendaki, sempat pula seorang kanak-kanak itu mengusik: "Ada banyak pacat di situ." Dengar sahaja perkataan pacat, para peserta semakin bersungguh-sungguh untuk sampai ke atas secepat mungkin.

Menuruni bukit

Di atas, Bah Dom sudah menunggu. Kami mesti meneruskan perjalanan yang masih berbaki kira-kira dua setengah jam itu.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Ibrahim Ismail yang sudah berusia lebih 50 tahun itu kelihatan masih gagah mendaki bukit curam.

Beliau sangat teruja untuk mengetahui semua jenis tumbuhan yang dilihat sambil bercerita mengenai pengalaman zaman remajanya di kampung.

Bah Dom membawa kami melalui jalan yang belum pernah diteroka. Keadaan itu menyebabkan kami terpaksa menebas belukar dan pokok berduri untuk meneruskan pencarian pokok herba.

Mungkin kasihan melihat ada peserta yang lelah berjalan, kanak-kanak tadi menyanyi bagi menghiburkan kami.

Salah seorang kanak-kanak itu, Sam, 12, berkata beliau sudah biasa dengan selok-belok hutan itu.

Beliau akan masuk ke hutan untuk mencari makanan dan bermain. Sam mendakwa beliau mengenali hampir kesemua pokok di situ.



"Saya biasa ikut bapa dan kawan-kawan masuk hutan sejak kecil lagi. Jadi tiada apa yang hendak ditakutkan.

"Semua di dalam hutan adalah makanan dan ia baik untuk kehidupan kami," ujar Sam yang berkaki ayam.

Selepas mendaki curaman tadi, laluan berikutnya ialah menuruni bukit. Itulah antara saat yang paling getir. Ada peserta yang tergelincir walaupun sudah berhati-hati semasa menuruninya.

Paling sukar pastinya rakan media yang membawa kamera dan kakitangan Jabatan Muzium Malaysia yang perlu membawa pulang sampel pokok herba untuk dijadikan rujukan.

Selepas hampir dua jam berjalan, terdengar bunyi deruan air sungai. Riak lega terpancar di wajah kami yang sudah kepenatan. Langkah diatur semakin laju menuju ke arah sungai.




Tiba di anak sungai, kami terus mambasahkan muka dengan air sungai yang sejuk dan menyegarkan bagi mengumpul semula kekuatan untuk meneruskan perjalanan selama kira-kira sejam lagi.

Rawat pesakit

Bah Dom kemudiannya mengajak kami menyeberangi sungai yang cetek itu. Ia nyata satu pengalaman yang cukup menarik. Malah kami menemui banyak spesies pokok yang cantik dijadikan tanaman hiasan di rumah.

"Tolong petik untuk saya. Kalau tanam di laman rumah memang cantik. Kalau hendak dapatkan pokok macam ini di Kuala Lumpur, kena beli di kedai landskap," kata Pengurus Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Muzium Malaysia, Mahani Muhammad sambil jarinya menunjuk ke arah pokok-pokok orkid hutan.

Tamat sesi orkid, peserta seakan-akan sudah tidak sabar lagi untuk keluar kerana sudah terlalu letih.

Untuk pulang, kami terpaksa mendaki sekali lagi. Laluan itu begitu licin kerana hujan turun pada sebelah malamnya.



Ramai juga yang tergelincir. Mujurlah tiada yang mengalami kecederaan serius.

Hampir setengah jam mendaki, kami berehat kira-kira 15 minit sambil merakamkan gambar.

Kemudian, kami terus kembali ke tempat memulakan ekspedisi tadi sebelum menuju ke rumah Tok Batin untuk memproses tumbuhan herba yang dipetik untuk merawat pesakit pada sebelah malam nanti.

Kira-kira pukul 4 petang, kami diberi penerangan mengenai tumbuhan yang diproses untuk dijadikan ubat. Sementara itu, Bah Dom sudah pun merebus tumbuhan herba tadi di sebuah pondok buluh berhampiran rumah Tok Batin.




Pada malam itu, Tok Khalaq mengetuai tarian sewang bagi tujuan berubat. Tok Khalaq kedengaran membaca mentera tertentu untuk menyembuhkan penyakit.

Untuk mengubati pesakit, waktu rawatan hanyalah pada waktu malam dan mestilah dalam keadaan gelap. Penari pula akan menari hingga masing-masing berada dalam keadaan tidak sedar.

Cukup sejam, mentera habis dibaca dan upacara mengubat pesakit dengan tumbuhan herba itu juga selesai.

No comments: