Orang ramai tidak melepaskan peluang menyaksikan gerhana matahari separa dengan menggunakan teleskop,kaca mata suria,skop solar dan projektor lubang jarum di Dataran Planetarium negara di Kuala Lumpur.
GAMBARAN lintasan gerhana matahari separa.
Rakyat berpeluang lihat fenomena bulan menutupi matahari, petang Jumaat depan
AMARAN: Jangan lihat gerhana matahari dengan mata kasarSELEPAS kali terakhir fenomena gerhana matahari berlaku pada 26 Januari 2009 dan disusuli gerhana bulan pada malam tahun baru lalu, kali ini penduduk Malaysia bakal melihat pula bagaimana kekuasaan Allah SWT menerusi kejadian gerhana matahari separa pada Jumaat ini.
Gerhana matahari terbahagi kepada tiga jenis iaitu gerhana penuh, gerhana separa dan gerhana anulus. Gerhana penuh berlaku apabila matahari diliputi sepenuhnya oleh bulan akibat kedudukan bulan yang berada dekat dengan bumi dalam orbit bujurnya. Gerhana separa pula merujuk kedudukan bulan yang hanya menutup sebahagian matahari.
Gerhana analus pula berlaku apabila bulan hanya menutup sebahagian matahari dan cahaya matahari selebihnya membentuk cincin bercahaya di sekeliling bayangan bulan yang dikenali 'corona.' Gerhana matahari anulus akan kelihatan dengan lintasan selebar 300 kilometer merentasi Afrika Tengah, Lautan Hindi dan Asia Timur. Fenomena ini terjadi apabila bulan merentas di hadapan matahari, namun tidak menutup matahari sepenuhnya kerana saiz ketara bulan adalah lebih kecil daripada saiz matahari. Oleh itu, matahari kelihatan seperti gelungan cincin yang terang atau Anulus di sekeliling luar cakera bulan.
Lintasan bayang umbra bulan (bahagian bayang yang amat gelap) bermula di Afrika dan melalui Chad, Republik Afrika Tengah, Republik Demokratik Congo, Uganda, Kenya dan Somalia. Manakala selepas melepasi Afrika, lintasan itu melalui Lautan Hindi yang mana tempoh maksimum anulus mencapai sehingga kira-kira 11 minit 8 saat. Lintasan itu kemudian melintasi Asia melalui Bangladesh, India Myanmar dan China. Fenomena ini pernah berlaku pada 26 Januari 2009, sewaktu Tahun Baru Cina.
Gerhana matahari separa pula akan kelihatan dalam lingkungan bayangan penumbra bulan (bahagian luar bayang yang relatifnya lebih cerah)
yang lebih luas meliputi Eropah Timur, Afrika dan Asia.
Pegawai Penyelidik Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Lau Chen Chen, berkata di Malaysia, fenomena ini paling jelas disaksikan penduduk di utara Semenanjung dan Langkawi, menjadi lokasi strategik dengan liputan maksimum di Malaysia sebanyak 40 peratus dan bahagian pantainya yang menghala ke arah barat begitu sesuai dengan 'sentuhan terakhir' ketika matahari terbenam.
"Matahari terlindung oleh bulan sehingga mencapai kegelapan maksimum kira-kira 40 peratus di bahagian utara Semenanjung Malaysia pada waktu petang. Peratus matahari dilindungi oleh bulan semakin mengurang ke bahagian tengah Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. "Sehubungan itu, rakyat negara ini akan berpeluang menyaksikan gerhana matahari separa mulai jam 3 petang hingga 5.45 petang pada Jumaat ini," katanya.
Lau berkata, secara amnya, gerhana matahari akan berlaku ketika fasa bulan baru yang berlaku serentak dan selari dengan bulan melintasi laluannya di antara matahari dan bumi. Ini menyebabkan matahari tertutup sebahagian atau secara keseluruhannya.
Oleh itu, katanya, gerhana matahari separa yang berlaku kira-kira jam 3 petang bakal kelihatan apabila bulan mula menyentuh cakera matahari.
"Keadaan ini dikenali 'sentuhan pertama' iaitu permulaan fenomena gerhana matahari separa berkenaan. Bagaimanapun, kebanyakan pemerhati tidak berupaya mengesan 'sentuhan pertama' gerhana pada masa ini disebabkan cahaya matahari yang terlalu terang," katanya.
Tambah Lau, gerhana hanya akan dapat dilihat apabila bulan menutupi matahari secara perlahan dan membentuk sabit tua (gerhana matahari separa) sehingga liputan maksimum dicapai kira-kira jam 4.25 petang. Sentuhan akhir iaitu pada kira-kira jam 5.40 petang, bayangan bulan mula hilang secara beransur-ansur.
Lau turut mengingatkan, fenomena itu tidak dapat dilihat terus menerusi mata kasar kerana boleh memudaratkan dan membutakan mata manusia.
"Untuk melihat gerhana matahari secara selamat, Angkasa mencadangkan beberapa cara seperti penggunaan Projektor Pinhole dengan kotak panjang, Projektor Pinhole dengan kadbod, solarscope, kaca mata khas gerhana matahari dan teleskop dengan penapis matahari," katanya.
Selain Gerhana Matahari Separa pada 15 Januari, satu lagi fenomena gerhana akan datang ialah Gerhana Bulan Penuh di Sabah dan Sarawak pada 21 Disember 2010.
INFO: Program Cerap Gerhana
•Angkasa akan mengadakan program pencerapan gerhana matahari separa mulai jam 2.30 hingga 6 petang di Planetarium Negara Kuala Lumpur, Jumaat ini. Bagi yang tidak berkesempatan, boleh layari www.angkasa.gov.my untuk menyaksikan siaran langsung mulai 3 hingga 5.40 petang pada tarikh sama.
•Program pencerapan itu turut diadakan di tempat letak kereta, Kompleks Pekan Rabu, Langkawi di Kedah, pada jam 3 hingga 6 petang pada tarikh sama.
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
16 January 2010
Gerhana matahari separa
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment