Wujudkan kasih sayang sejati tulus dari hati terhadap si anak. - Gambar hiasan
SEORANG rakan penulis yang juga seorang ibu kepada anak perempuan berusia dua tahun pernah mengadu kepada penulis bahawa bayinya tidak menyayanginya.
Dia dapat merasakan bahawa anak perempuannya itu tidak menyayanginya apabila anaknya tidak pernah mahu memeluk atau mengadu kepada dirinya apabila terjatuh atau terjadi sesuatu perkara yang menyakitkan padanya.
Malah menurut ibu tersebut, bayinya akan cenderung mengadu, memeluk atau berlari ke arah pengasuh ataupun si nenek tetapi tidak pada ibunya sendiri apabila terjadi satu hal yang menyakitinya.
Hal ini menyebabkan si ibu terasa bahawa anaknya tidak menyayanginya dan amat risau sekiranya perkara tersebut berlanjutan hinggalah usia anak tersebut menginjak remaja.
Mengimbas sejarah, selepas kelahiran anak tersebut si ibu terpaksa 'berpisah sementara' kerana si ibu perlu menghadapi pembedahan akibat komplikasi bersalin.
Hal tersebut memang menyebabkan si ibu tadi agak trauma dengan keadaan tersebut dan sukar menzahirkan kasih sayangnya kepada bayi yang dilahirkan.
Namun seiring perkembangan masa, perasaan tersebut berubah, namun apa yang dirisaukan ialah si anak pula tidak mahu mendekati dirinya.
Isu ikatan kasih sayang memang rumit
Apabila pakar kanak-kanak berbicara tentang ikatan antara ibu dan anak, mereka selalunya akan merujuk kepada bagaimana cara si ibu membina pertalian kasih sayang tersebut bersama bayi mereka.
Proses tersebut haruslah berlaku sejak dari dalam kandungan lagi.
Pakar juga bersepakat mengatakan ikatan tersebut adalah satu perasaan yang tidak ternilai tentang bagaimana si ibu mahu mencurahkan seluruh kasih sayangnya kepada bayi mereka.
Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kasih sayang si ibu itu ibarat sanggup bergadai nyawa demi anak kesayangan mereka.
Bagi sesetengah ibu bapa, proses mewujudkan ikatan kasih sayang tersebut mungkin mengambil masa selama beberapa hari sahaja.
Tidak mustahil juga selama beberapa minit selepas kelahiran bayi mereka. Tetapi tidak bagi sesetengah ibu bapa lain yang mungkin mengambil masa lebih lama dari itu.
Satu masa dahulu, para penyelidik yang mengkaji tentang proses ikatan antara bayi dan ibu berpendapat bahawa masa yang diperuntukkan antara si ibu dan anak tersebut adalah penentu ikatan kasih sayang antara ibu dan anak.
Tetapi kini kita dapati ikatan kasih sayang antara ibu dan anak tersebut boleh dipupuk seiring perkembangan masa.
Ada juga ibu yang tidak dapat bersama-sama dengan bayi mereka selepas melahirkan kerana masalah kesihatan atau mungkin juga faktor lain.
Perpisahan tersebut berlaku dalam satu jangka masa yang agak lama kerana kedua-dua pihak belum bersedia untuk menerima keadaan tersebut pada masa itu. Namun si ibu jangan khuatir kerana tidak mustahil ikatan kasih sayang tersebut boleh dibentuk semula.
Ada juga ibu yang mengutarakan soalan bagaimana jika mereka tidak boleh memberikan kasih sayang terus kepada bayi yang wujud dalam keluarga mereka.
Hal ini terjadi mungkin kerana mereka kurang bersedia dari segi mental untuk menjaga dan mencurah kasih sayang kepada 'orang baru'. Untuk persoalan tersebut, pakar berpendapat, ibu tidak perlu panik.
Isu ikatan kasih sayang antara ibu dan anak memang satu perkara yang agak rumit dan mengambil masa untuk menjadi subur.
Bagi pakar, paling penting bagi si ibu mengambil berat tentang segala keperluan bayi mereka dan dekati anak sekerap mungkin.
Menurut pakar psikologi kanak-kanak dari Kansas City, Missouri, Edward Christophersen berkata, memang ramai ibu yang rasa bersalah apabila membincangkan tentang ikatan kasih sayang terhadap bayi mereka.
Perasaan tersebut terjadi kerana mereka tidak pasti wujudkan kasih sayang sejati tulus dari hati terhadap si anak itu tadi.
"Ikatan kasih sayang itu sebenarnya perasaan peribadi, ia bukan mudah untuk dibentuk secepat itu dan ia mengambil masa," ujar beliau lagi.
Terdapat juga persolaan "bila saya patut merasa risau?" Ia berlaku bila ikatan kasih sayang dari diri anda susah dibentuk walaupun selepas beberapa minggu anda melahirkannya.
Bila keadaan tersebut berlaku segeralah berjumpa dengan doktor atau bidan anda kembali kerana anda mungkin juga mengalami tekanan selepas bersalin atau postpartum depression.
Dapatkan bantuan secepat mungkin kerana pencegahan awal boleh mengelakkan hubungan antara anak dan anda menjadi semakin teruk. Lebih lama anda membiarkan keadaan tersebut, lebih susah untuk anda memenangi hati serta kepercayaan anak.
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
21 January 2010
Meraih kasih sayang anak
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment