"Kucing juga perlu dilatih dan diajar untuk lebih disiplin, mendengar kata dan menyesuaikan diri dengan yang lain," kata Pn.Norhayati,pemilik kucing.
"UPIN! Berapa kali mama cakap jangan nakal-nakal, kenapa tak nak dengar cakap mama ni?"
Kedengaran Norhayati Zakaria, 50, menegur tingkah laku 'anak terunanya' supaya tidak bergaduh dengan 'anak-anak' Norhayati yang lain.
Akhirnya, Norhayati mengambil keputusan mengurung Upin selama 15 minit di dalam bilik sebagai pengajaran kepada Upin supaya tidak mengulangi perbuatannya lagi.
"Upin memang macam ni, buat perangai dan nakal sikit berbanding kucing-kucing yang lain. Selepas 'dihukum' dia akan tahu kesalahannya dan akan berkelakuan baik.
"Kucing juga perlu dilatih dan diajar untuk lebih disiplin, mendengar kata dan menyesuaikan diri dengan yang lain," katanya.
Saat menjejakkan kaki ke rumah wanita yang lebih mesra dipanggil Kak Yati, terdetik bagaimana wanita ini sanggup memelihara hampir 50 ekor kucing daripada baka terbaik seperti anak-anaknya sendiri.
Menurutnya, minat memelihara kucing dan haiwan peliharaan lain timbul ketika masih kecil lagi sebelum dia mula serius memelihara kucing baka baik pelbagai jenis pada 1993.
KUCING-KUCING peliharaan Norhayati bukan saja mendengar kata, bahkan faham jika dimarahi.
"Saya mula memelihara seekor kucing jenis Domestic Long Hair iaitu kacukan daripada baka Parsi dan baka lain pemberian seorang rakan.
"Kini, Kak Yati ada 48 ekor kucing daripada lapan jenis baka yang berlainan iaitu Sphynx, Mine Coon, Parsi, Exotic, Ame rican Curl, American Short Hair, Oriental dan Somali," katanya.
Tambahnya, apabila sudah banyak kucing, dia sudah masak dengan ragam dan perangai kesemua kucing kesayangannya itu. Ada yang suka menyendiri, lincah, nakal dan tidak kurang yang suka mengusik.
"Ini pula namanya Jebat Arjuna, suka panjat almari dan yang ini pula Exora, seekor kucing betina yang bijak daripada jenis American Curl.
"Exora gemar menutup dan memasang televisyen selain pandai membuka sangkarnya sendiri untuk keluar tetapi sebab ada orang lain hari ini, dia jadi baik," kata Kak Yati yang memiliki kucing paling tua berusia 16 tahun.
Nama unik
Setiap kucing mempunyai cara penjagaan dan perapian yang berlainan. Contohnya, kucing jenis Sphinx. Kucing yang tidak mempunyai bulu itu sepatutnya lebih mudah diurus jika dibandingkan dengan jenis Mine Coon dan Parsi, sebaliknya kulit kucing Sphinx cukup sensitif dan memerlukan penjagaan rapi.
NORHAYATI akan memastikan makanan kucing-kucingnya tidak berminyak dan bergaram bagi mengelakkan bulu kucing gugur.
Apabila digigit nyamuk dan mengalami luka akibat digaru sendiri, kesannya mengambil masa berbulan-bulan untuk hilang. Malah, kucing jenis itu tidak boleh sejuk dan panas sangat jika tidak ia akan jatuh sakit.
Apa yang mengagumkan, Kak Yati mengingati nama kesemua kucingnya yang mempunyai nama-nama unik.
Antaranya ialah Gelangi, McD, Jebat Arjuna, Ronggeng, Kersani, Kesatria, Sirsila, Illusions, Aman Putra dan Aroma.
Walaupun nama kucing-kucingnya diberikan berdasarkan apa yang terlintas di fikirannya, namun pemberian nama dilakukan berpandukan jantina dan warna kucing.
"Perkara yang sangat penting apabila memelihara kucing ialah kita perlu membelainya setiap hari. Kita juga perlu memahami mereka kerana setiap kucing mempunyai keperluan yang berlainan.
"Kita juga perlu peka dengan keadaan kucing peliharaan. Jika ada yang selesema dan tidak sihat, kucing tersebut perlu diasingkan segera supaya penyakitnya tidak berjangkit dengan kucing lain sebelum di bawa berjumpa veterinar," jelasnya.
Kata Kak Yati, aspek kebersihan sangat penting dalam penjagaan kucing. Rumah perlu dibersihkan dan dicuci seminggu sekali bagi memastikan tiada bau kurang menyenangkan yang boleh menimbulkan rasa kurang selesa jiran-jiran.
Sepanjang 15 tahun tinggal di kawasan tersebut tiada sebarang aduan daripada jiran berhampiran kerana Kak Yati akan memastikan rumahnya dibersih dan diurus dengan baik.
--------------------------------------------------------------------------------
"Saya tak kisah kalau ada kawan-kawan dan saudara-mara nak datang, tapi jangan suruh saya simpan kucing-kucing ini.
"Pernah sekali ada kenalan meminta saya menyimpan kesemua kucing kerana dia mahu datang ke rumah dan saya cakap pada dia, 'sorry, I takkan simpan kucing-kucing I, you tak datang pun tak apa'," ceritanya.
Menyentuh mengenai pemakanan pula, Kak Yati memberitahu, untuk mendapatkan kucing yang cantik dan sihat, makanan kucing perlu bebas garam dan minyak. Jika tidak ia akan menjejaskan bulu kucing selain menyebabkan kucing kehilangan berat badan.
Ujarnya, setiap bulan beliau berhabis hampir RM2,000 untuk perbelanjaan makanan kucing seperti biskut, makanan dalam tin, daging, ayam, suplemen, vitamin dan ubat cacing yang perlu diberikan tiga bulan sekali.
Walaupun membela hampir 50 ekor kucing, beliau langsung tidak menganggapnya sebagai suatu bebanan. Bagi Kak Yati, minat mengatasi segala-galanya.
Biakkan kucing
"Kerana minat yang mendalam untuk memiliki kucing-kucing yang jarang dimiliki oleh orang lain, saya sanggup buat apa sahaja.
"Pada masa yang sama, saya akan membiakkan kucing mengikut jenis masing-masing mengikut etika dan peraturan yang telah ditetapkan oleh badan dunia.
"Setiap jenis kucing ada induknya. Anak kucing yang berusia tiga bulan ke atas akan dijual dan harganya mengikut jenis," kata Kak Yati.
Jelasnya, anak kucing hanya dijual pada usia tiga bulan kerana sudah bercerai susu dengan ibunya dan mampu makan sendiri.
"Untuk membiakkan kucing ada etikanya. Ibu kucing hanya boleh beranak tiga kali dalam tempoh dua tahun berbanding empat kali setahun mengikut kebiasaan dan tempoh buntingnya di antara 63 hari hingga 65 hari," ujarnya.
Mengulas mengenai isu buang kucing, Kak Yati memberitahu, pernah ada orang meletakkan anak kucing dalam peti suratnya gara-gara mengetahui dirinya amat sukakan kucing.
MENGEMBIRIKAN kucing salah satu kaedah untuk menyelamatkan kucing daripada terus membiak dan hidup tanpa tuan.
Pada mulanya hanya dua ekor dan kemudian bilangannya semakin banyak sehingga mencecah 18 ekor.
"Bukan tak mahu ambil dan bela tetapi rumah ini sudah dijadikan macam pusat pembuangan kucing pula. Jika tidak mahukan anak kucing, kembirikan sahaja kucing itu, itu lebih baik daripada membiarkan anak-anak kucing dibuang dan tidak terjaga," jelasnya.
Sementara itu, Presiden Kelab Kucing Malaysia, Khalid Rashid memberitahu, sesiapa yang mahu membela kucing sebagai haiwan peliharaan perlu ada minat yang mendalam selain dapat memperuntukkan masa untuk membelai dan bermain dengan haiwan tersebut.
"Kucing juga ada perasaan. Ia perlu dibelai seperti bayi. Jika tidak mereka akan merajuk dan buat dek sahaja dengan kita.
"Kalau nak mudah, pelihara sahaja kucing yang berbulu pendek kerana penjagaannya tidak renyah seperti kucing berbulu panjang seperti kucing Parsi yang perlu disikat setiap hari," katanya yang pernah mempunyai hingga 30 ekor kucing tetapi kini hanya tinggal enam ekor sahaja.
Khalid juga menasihatkan kepada mereka yang tidak sanggup memelihara kucing supaya tidak membuang haiwan tersebut di merata-rata tempat tetapi sebaliknya diserahkan kepada Kelab Kucing Malaysia.
"Kelab akan cuba carikan ibu bapa angkat kepada kucing itu atau berikan kepada mana-mana ahli yang berminat melalui program kucing angkat yang diperkenalkan sejak setahun lalu.
"Jika ada pertunjukan kucing, kita akan sediakan satu sudut untuk ruangan kucing angkat. Di situ orang ramai boleh melihat kucing-kucing yang mereka mahukan dan tiada sebarang bayaran dikenakan cuma bagi kucing yang mendapat vaksinasi kita caj sebanyak RM30," ujarnya.
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
03 March 2010
Ingat nama 50 ekor kucing
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment