Adakah anak-anak anda didedahkan tentang konsep pengurusan kewangan, baik di rumah atau di sekolah?
KANAK-KANAK sering meminta itu dan ini daripada ibu bapa. Apa yang terlintas dalam hati, baik sebatang aiskrim, sebuah buku mahupun pek permainan, mudah sungguh mulut si kecil itu akan merengek minta dibelikan. Kalau bukan dengan cara merayu, ada pula yang menggunakan taktik wajah yang muram dan kecewa.
Jika kena pada kemampuan dan tujuannya, ibu bapa tidak teragak-agak untuk menunaikannya. Namun, dalam kebanyakan situasi lain, anak-anak sebenarnya perlu diajar tentang nilai dan pengurusan wang.
Melihatkan perkara itu dalam konteks yang lebih menyeluruh, pelaksanaan program HSBC Junior Achievement (JA) More Than Money diharap dapat mencetus minat anak muda terutamanya pelajar-pelajar sekolah terhadap pengurusan wang di masa hadapan.
Program itu merupakan satu inisiatif pendidikan kewangan yang diwujudkan oleh JA Worldwide yang bertujuan mengajar kemahiran kewangan asas kepada pelajar berumur tujuh hingga 11 tahun.
Program tersebut disasarkan kepada kira-kira 750 murid dari lima buah sekolah yang terpilih di sekitar Lembah Klang.
Antara sekolah-sekolah yang terpilih ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Bukit Nanas 1, SK Convent Bukit Nanas 2, Kuala Lumpur; SK Methodist 1, Kuala Lumpur; Sekolah Sri Sedaya, Subang Jaya dan SK Vivek Ananda, Petaling Jaya, Selangor.
Sepanjang program itu dijalankan, pelajar akan diberi latihan oleh 85 orang pekerja HSBC mengenai pendapatan, perbelanjaan, perkongsian dan simpanan wang.
Program yang melibatkan enam sesi itu merangkumi modul bimbingan seperti Money in the Bank (wang di dalam bank), A Sense of Worth (pemahaman nilai), Balancing Art (seni timbang tara), Building a Business (membina bisnes), Get Smart (bertindak bijak) dan What's the Catch (mengetahui pulangan nilai).
"Pada program sesi pertama, pelajar-pelajar akan diajar bagaimana menguruskan wang. Mereka akan bermain permainan komuniti untuk mengukuhkan kemahiran pengurusan wang dan memahami pentingnya wang dalam kehidupan mereka.
"Pada akhir sesi keenam pula, pelajar-pelajar akan dilengkapi dengan pendidikan kewangan seperti cara-cara membuat keputusan perniagaan dengan bijak," kata Pengarah Eksekutif & Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, HSBC Bank Malaysia Berhad, Jon Addis ketika ditemui di majlis pelancaran program tersebut di Bangunan HSBC, Kuala Lumpur.
Permainan komuniti ini antara lain mengajar para pelajar tentang nilai simpanan dan nilai perbelanjaan.
Menariknya, program tersebut bukan sahaja dijalankan di Malaysia tetapi di 32 buah negara termasuk Amerika Syarikat, India, Hong Kong dan Mesir.
Rangka strategik itu dirancang oleh pendidikan kewangan HSBC dan disokong oleh organisasi terbesar dunia iaitu JA Worldwide. Tujuannya, untuk memberi peluang dan inspirasi kepada anak-anak muda supaya berjaya di dalam ekonomi global.
Sementara itu, menurut Timbalan Presiden Kanan Asia Pasifik dan Daerah Amerika JA Worldwide, Linda Rimer, pelaburan HSBC dalam JA More Than Money bukan hanya untuk menyokong perkembangan program.
"Ia turut memanfaatkan modal intelektual pekerja HSBC untuk membantu mengukuhkan program dan meningkatkan kesedaran kepada golongan muda mengenai kepentingan wang," ujar Rimer.
Dalam pada itu, menurut seorang guru matematik SK Convent Bukit Nanas 2, Safaralinda Sabri, 29, beliau menyatakan kegembiraan kerana terpilih menjadi antara lima buah sekolah yang menyertai program tersebut.
JON ADDIS
--------------------------------------------------------------------------------
"Program ini sememangnya bagus bagi memupuk minat pelajar-pelajar menabung dan menguruskan kewangan ketika usia muda. Bukan itu sahaja, melalui program ini juga, ia dapat membuka minda pelajar selain mampu meningkatkan pemahaman subjek matematik mereka," tambahnya.
Pengalaman menabung
Sebanyak tiga orang pelajar dari SK Convent Bukit Nanas 2 yang terpilih. Pemilihan ketiga-tiga pelajar tersebut adalah berpandukan pencapaian akademik dan juga penglibatan mereka di dalam aktiviti kokurikulum.
Salah seorang daripada mereka ialah Afrina Syakira Shofian, 11, yang jujur mengakui bahawa dahulu dia pernah menabung namun semangat itu hanya separuh jalan. Selepas mengikuti program HSBC tersebut, Afrina berharap dia akan segera menabung semula.
"Lepas ini saya akan menabung dengan lebih bersungguh-sungguh. Apabila saya sudah dewasa pun ia perlu diteruskan," katanya.
Rakannya, Nur Amirah Jasmi, 11, pula memberitahu bahawa dia sudah mula menabung sejak mengenal wang dan tahu mengira.
Amirah yang bercita-cita menyambung pengajian di Universiti Malaya (UM) memberitahu, program HSBC bukan sahaja menggalakkan pelajar menabung tetapi juga mengalakkan pelajar menyimpan wang di dalam bank.
"Saya menabung tetapi tidak pernah menyimpan wang di dalam bank. Selepas ini saya akan menyimpan wang di dalam bank kerana saya percaya ia dapat menyenangkan saya pada masa hadapan," katanya.
Sementara itu, Reena Iffatul Camelia Reezal Merican, 11, memberitahu, pekerja HSBC akan memberi mereka latihan dan tunjuk ajar mengenai cara menabung yang bijak.
"Peluang yang saya peroleh ini tidak akan disia-siakan," katanya yang ingin menyimpan wang membeli hadiah rantai untuk ibunya sempena Hari Ibu nanti.
Tambahnya, tabiat menabung di rumah perlu menunjukkan hasil kerana dia tidak mahu terus 'tertipu' dengan amalannya sebelum ini
"Saya sering menabung, tetapi akhirnya apa yang saya simpan itu akan diguanakan juga, lebih-lebih lagi kalau saya sangat berkehendakkan sesuatu.
"Kadang-kadang saya pinjam duit kakak saya dan kemudian ia perlu dipulangkan. Dari mana lagi hendak didapatkan duit untuk membayar semula ka kak saya kalau tidak dari tabung saya itu," ujarnya tersengih.
Adakah anak-anak anda didedahkan tentang konsep pengurusan kewangan, baik di rumah atau di sekolah?
--------------------------------------------------------------------------------
Pengalaman para pelajar sekolah ini tentang pengurusan wang dan kisah menabung mereka pasti dapat difahami oleh golongan ibu bapa.
Mungkin juga selepas ini, topik pengurusan wang bukan sahaja dibincangkan di organisasi besar. Nasihat, teguran dan galakan tentangnya perlu disampaikan di meja makan atau di sisi katil untuk difahami anak-anak.
Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
saphilla.isa@kosmo.com.my
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
10 March 2010
Cerdik belanja sejak kecil
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment