SIASAT...anggota polis mengeluarkan mayat bayi yang ditemui terbenam di tepi pantai
HILANG akal! Itu gambaran sikap melampau remaja yang terjerumus dalam aktiviti seks luar nikah sehingga 'bunting' anak haram lalu membuang atau membunuh zuriat itu tanpa berperikemanusiaan.
SIASAT...anggota polis mengeluarkan mayat bayi yang ditemui terbenam di tepi pantai
TIDAK BERHATI PERUT...bayi yang dibungkus dengan plastik hitam diletakkan di tempat pembuangan sampah di Taman Wahyu, Kepong. Kes pembuangan bayi kian menjadi-jadi dan lebih memalukan, jenayah itu dilakukan remaja Melayu beragama Islam yang dikatakan memiliki adab serta akhlak yang tinggi. Pelik kerana hari ini masyarakat mempunyai tahap pemikiran yang baik, asas agama kuat, tinggal dalam suasana aman dan damai dan penuh ciri ketimuran. Tetapi, mengapa perkara ini masih berlaku? Jika dikaji, memang tidak dinafikan perhubungan seks bebas mendorong gejala pembuangan bayi. Apabila sudah mengandung dan bagi mengelak malu kepada keluarga, cara mudah ialah membuang atau membunuh bayi itu.
Sudahlah melakukan dosa berzina, selepas itu tergamak membunuh zuriat sendiri tanpa rasa bersalah, lebih buruk berbanding haiwan.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat." (Surah Al-Israa' ayat 32) Memang benar manusia secara fitrah memerlukan seks. Justeru, Islam menggalakkan manusia berkahwin supaya hubungan yang sebelumnya haram menjadi halal.
Bayangkan wajah kudus zuriat yang dilahirkan, adakah si ibu sanggup membunuh makhluk itu sedangkan dia bersusah payah mengandung selama sembilan bulan? Bagi setiap wanita yang merasai saat melahirkan bayi, ia ibarat di persimpangan, antara hidup dan mati. Kesakitan ketika bersalin diibaratkan yang kedua tersakit selepas kesakitan Izrail datang mencabut nyawa. Sebagai manusia waras, tentu kita tidak dapat membayangkan bagaimana seorang wanita sanggup melahirkan bayi dan membuang atau membunuh bayi itu dalam masa yang sama.
Sudah terlalu kerap berita penemuan bayi yang menjadi tajuk utama media massa. Tong sampah, kubur, semak, sungai, kaki lima, lubang tandas, malah kawasan masjid juga menjadi sebahagian kawasan pembuangan bayi.
Bayi yang ditemui amat jarang sekali masih bernyawa kerana kebanyakannya sudah meninggal dunia akibat dihurung semut atau hilang anggota badannya kerana 'dimamah' haiwan liar.
Ada juga yang meninggalkan bayi mereka dengan menulis nota seperti 'tolong kebumikan mayat ini.' Hakikatnya, pembuangan dan pembunuhan bayi ketika ini adalah kerana mereka mahu menutup aib serta bimbang diketahui keluarga. Ke mana hilangnya sifat perikemanusiaan dalam diri masyarakat sekarang kerana bayi adalah kurniaan Allah yang tiada nilainya? Jika zaman sebelum Islam, masyarakat sanggup menanam bayi perempuan hidup-hidup, apa bezanya masyarakat hari ini? Perbuatan membuang dan membunuh bayi ibarat perlakuan jahiliyah moden yang tidak boleh dimaafkan.
Al-Quran dan Sunnah mengingatkan kita bahawa setiap ciptaan Allah di muka bumi ini amat berharga. Bukan saja manusia dan haiwan, malah tumbuhan pun dilarang dicabut hidup-hidup. Perbuatan segelintir mereka melakukan perkara terkutuk terbabit turut memberi impak buruk kepada umat Islam. Firman Allah dalam bermaksud: "Tidakkah patut bagi setiap mukmin dan mukminat apabila Allah dan Rasul-Nya memutuskan sesuatu, ada bagi mereka pilihan lain mengenai urusan mereka." (Surah al-Ahzab ayat 36) Justeru, ibu bapa perlu memastikan pembentukan sahsiah anak menepati ciri Islam sejati. Budaya hidup bebas terutama perlu diberi perhatian serius kerana dikhuatiri 'lesen' berkenaan akan merencatkan pembinaan watak dalam diri anak mereka. Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud: "Setiap suami pemimpin keluarganya. Ia akan diminta bertanggungjawab dan setiap isteri adalah pemimpin atas penghuni rumah bagi anak dan suaminya, dia juga akan diminta untuk bertanggungjawab." (Riwayat Bukhari) Manusia yang ditakrifkan sebagai jahil adalah mereka yang tiada hati dan akal fikiran. Mereka tidak berpijak di bumi nyata sehingga berani melakukan sesuatu di luar pertimbangan. Tiada guna jika mereka hanya malu kepada masyarakat, tetapi bukan kepada Allah s.w.t. Remaja perlu segera insaf dan sedar bahawa hidup pada zaman remaja hanya seketika. Maka mereka perlu bijak memilih jalan kehidupan yang sempurna. Pensyarah Jabatan Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Rahimi Saad, berkata tanda manusia hari ini kembali semula ke zaman jahiliah bukan bermakna mereka tidak berilmu, tetapi kerana nilai kemanusiaan sudah hilang.
"Perbuatan membunuh anak mengatasi nilai hidup kebinatangan. Binatang mungkin membunuh anak mereka ketika dilahirkan, tetapi kebanyakannya atas faktor survival (dijadikan makanan).
"Naluri keibubapaan tetap menganggap perbuatan berkenaan salah. Perbuatan itu tetap tidak dapat menghapuskan kesalahan yang mereka lakukan," katanya.
Beliau berkata, Islam amat menekankan aspek pencegahan dan sebab itu Allah melarang mendekati apatah lagi melakukan zina.
"Zina adalah dosa besar. Ia merosakkan sistem keturunan manusia kerana jika sudah terlanjur pasti membawa kepada mengandung anak luar nikah.
"Sebenarnya tiada alasan mereka membunuh dan membuang anak yang tidak berdosa berkenaan," katanya.
Menurutnya, manusia hilang nilai kemanusiaan kerana mereka hidup bertuhankan nafsu. "Imam al-Ghazali menjelaskan kedudukan manusia boleh menjadi lebih mulia daripada malaikat jika akal mereka boleh menundukkan nafsu, tetapi mereka akan menjadi lebih teruk daripada binatang jika hidup bertunjangkan nafsu," katanya.
Allah berfirman yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang yang lalai." (Surah al-A'araf ayat 179)
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
18 March 2010
Nilai kemanusiaan makin hilang
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment