Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






21 March 2010

Akademik, sukan sama penting


















SIHAT...sukan berupaya melahirkan pelajar yang sihat dan cemerlang - Gambar Hiasan
SATU Pelajar Satu Sukan...Mungkin itulah tema paling sesuai menggambarkan hasrat Kementerian Pelajaran yang mahu mewajibkan semua pelajar menyertai satu jenis sukan mulai tahun depan.


















SEIMBANG...akademik dan sukan perlu diseimbangkan untuk menjamin masa depan yang cerah - Gambar Hiasan

Laporan akhbar menyatakan, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu semua pelajar sekolah rendah dan menengah wajib menyertai satu jenis sukan.

Beliau berkata, sebuah jawatankuasa sementara akan ditubuhkan bagi mengkaji untuk memberikan kredit kepada pelajar yang menyertai sukan.


Kajian untuk memberikan kredit atau markah kepada pelajar yang terbabit sukan adalah bagi mengubah persepsi ibu bapa sebelum ini melihat aktiviti sukan tidak memberi makna, sebaliknya lebih menekankan pencapaian akademik anak mereka.


Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menjelaskan sebenarnya penyertaan pelajar dalam sukan sudah diwajibkan dalam kokurikulum sebelum ini cuma tidak diberikan penekanan.


“Kita mahu terapkan nilai sukan di sekolah dan mengembalikan sekolah sebagai institusi utama untuk melahirkan bakat sukan di peringkat akar umbi,” katanya.




Selain itu, kajian juga akan dilakukan bagi membolehkan aktiviti sukan di sekolah dijalankan sepanjang tahun bagi menyemarakkan budaya bersukan dan tidak hanya bertumpu pada tiga bulan pertama sesi persekolahan seperti mana sekarang.


Kalau konsep ini sememangnya sudah lama dilaksanakan di sekolah, kenapa kini ia perlu diwajibkan sehingga akan ada jawatankuasa yang akan memantau?

Di mana silapnya dan adakah ia datang dari pihak sekolah atau sebenarnya sukan ini dipandang enteng oleh sesetengah sekolah?

Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pengetua Malaysia, Azam Md Atan, berkata konsep ini sememangnya sudah mana wujud di sekolah terutama di sekolah berasrama penuh (SBP).


Justeru, katanya saranan kementerian itu memang kena pada masanya.


“Memang konsep ini sudah lama wujud di sekolah, tetapi selama ini tidak banyak sekolah yang mewajibkan pelajarnya mengambil mengikuti satu jenis sukan.


“Jadi, bila arahan ini sudah dikeluarkan, sekolah tidak akan mementingkan akademik semata sebaliknya turut menitikberatkan sukan,” katanya.


Kata Azam yang juga Pengetua baru Sekolah Menengah Sains Rembau, Negeri Sembilan, konsep satu pelajar satu sukan masih tidak berjalan seperti mana yang diinginkan pihak berkenaan kerana guru terlatih dalam bidang sukan tidak ada.


“Ketiadaan guru sukan berkelayakan dan berkebolehan adalah faktor utama kenapa perkara ini masih sukar dilaksanakan.


“Kebanyakan guru yang mengajar subjek sukan tidak berkelayakan, tetapi terpaksa juga melakukannya dan akhirnya aktiviti sukan itu tidak rancak,” katanya.


Mengulas mengenai arah kementerian untuk mewajibkan pelajar menyertai satu jenis sukan, menurut Azam, dia sangat bersetuju dengan langkah itu.


“Sukan adalah sangat penting terutama dalam membentuk pelbagai kemahiran insaniah terutama dalam berkomunikasi, bekerjasama dan sebagainya.


“Seperti di SBP, kita tahu pelajar memang bijak. Tetapi kalau kita membiarkan mereka menjadi ulat buku, susah nanti.


“Ini kerana sukan atau aktiviti kokurikulum dapat melahirkan pelajar berkebolehan dalam pelbagai kemahiran dan bukannya akademik semata-mata,” katanya.


Menurut Azam lagi, sekiranya pelajar bijak dibiarkan tanpa aktiviti lain seperti sukan, tidak mustahil mereka akan menjadi pelajar yang sombong apabila menamatkan persekolahan kerana tidak punya kemahiran berkomunikasi.


“Bagi mengelak perkara ini berlaku, pengetua dan guru besar harus optimis dalam hal ini kerana sukan boleh membentuk peribadi seseorang pelajar.


“Ini tidak, ada sekolah yang menukar subjek pendidikan jasmani dengan subjek dianggap lebih penting seperti sains, matematik atau subjek lain.


“Jadi, pengetua patut mengubah sikap dan memastikan pelaksanaan mewajibkan pelajar menyertai satu sukan yang akan dilaksanakan bermula tahun hadapan berjaya,” katanya.


Selain mengubah sikap, Azam berkata pengetua dan guru besar perlu menyamaratakan sukan dan akademik kerana jika ia tidak seimbang, ini bermakna Falsafah Pendidikan Kebangsaan tidak mencapai matlamat yang di kehendaki.


“Falsafah Pendidikan Kebangsaan mahu sekolah dapat melahirkan pelajar yang terbaik dalam empat aspek iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelek.


“Jasmani yang dimaksudkan dalam falsafah pendidikan negara itu adalah sukan. Justeru, jika sukan tidak dititik beratkan, maka cacatlah falsafah itu.


“Selain itu, kalau tidak ada sukan, tidak sihatlah pelajar-pelajar kita,” katanya.


Sebagai pengetua dan juga Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pengetua Malaysia, saya berharap guru besar dan pengetua perlu berubah.


“Kita perlu sedar akademik tidak semestinya menjamin masa depan pelajar walaupun mereka memperoleh 10A dalam peperiksaan.


“Sebagai ketua, wajibkan sukan kerana ia adalah salah satu komponen penting dalam pendidikan.


“Memang tidak dinafikan akademik penting tapi sukan pun sama penting dan ia perlu diseimbangkan,” katanya yang baru bertugas di Sekolah Sains Rembau itu

No comments: