Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






04 August 2009

'Semuanya bagus-bagus'



















Walaupun semakin dihimpit arus pemodenan bandar raya Melaka, Kampung Jawa tetap berdiri megah bersama peninggalan sejarahnya.

DARI jauh, deretan kedai papan yang kelihatan usang, sepi tanpa sebarang tarikan. Malah, ketika itu tidak banyak kedai yang beroperasi, sebaliknya hanya ada tiga empat buah yang dibuka sambil setia menanti kunjungan pelanggan.

Sejurus kaki melangkah memasuki kawasan tersebut, seorang wanita Cina dalam lingkungan usia 60-an mendekati penulis. Mulutnya ramah menegur sambil bertanyakan barang yang mahu dicari di sana.

"Cari apa amoi? Baju semua ada, murah-murah punya. Jangan takut, semuanya bagus-bagus!!" ayat-ayat itu meluncur laju daripada mulut Koh Lian Neo.

Bila ditanya kembali khabar perniagaannya sekarang, dia menjawab:

"Biasalah zaman sekarang mana ada untung. Susah juga nak cari makan. Lagipun, di Melaka sudah banyak pasar raya dan gedung beli-belah dibuka. Jadi, tak ramai lagi orang datang berbelanja di Kampung Jawa ini," luah wanita itu.

Sedar atau tidak, itulah antara realiti yang kini dihadapi oleh golongan peniaga di Kampung Jawa, Melaka yang dulunya pernah dikenali sebagai syurga beli-belah dalam kalangan penduduk setempat. Kampung Jawa suatu ketika ibarat 'Petaling Street Melaka'.

Namun, dek arus pemodenan yang semakin menghimpit, rezeki yang dahulunya melimpah-ruah bagi mereka, kini hanya sekadar cukup untuk menyara kehidupan seharian keluarga.














Kawasan Dataran Kampung Jawa bersebelahan Sungai Melaka yang lapang dan bersih


Bagaimanapun, dalam kepesatan pembangunan Melaka, Kampung Jawa masih mampu bertahan sebagai sebuah destinasi yang mesti dikunjungi.

Jika tidak, mustahil untuk sesebuah perniagaan itu bertahan sehingga berpuluh-puluh tahun lamanya sejak ia dimulakan pada tahun 1950-an.

Bagi Lian Neo yang mewarisi perniagaan menjual pakaian siap untuk semua peringkat usia itu daripada ibu mentuanya, dia sudah menjadi peniaga di sana selama lebih 25 tahun. Walaupun bisnes yang dijalankan ada pasang surutnya, namun dia tetap tegar menghadapi cabaran yang datang.

"Kalau diikutkan, memanglah susah untuk dapatkan pelanggan sekarang. Persaingan sangat hebat.

"Tapi, sebenarnya Kampung Jawa ada pelanggannya sendiri. Contohnya, golongan keluarga yang berpendapatan sederhana.

"Bayangkan kalau mereka bawa RM100 sahaja, ia sudah dapat membeli baju untuk satu keluarga yang mempunyai tiga orang anak berbanding berbelanja di pasar raya.

"Selain boleh tawar-menawar, kualiti barang yang dijual juga ada nilainya," jelas Lian Neo.













PENGUNJUNG boleh membeli pakaian siap di Kampung Jawa dengan harga yang berpatutan.
Berdasarkan tahun pembinaan (1953) yang tertera di Madrasah Al-Hidayah yang terletak di kawasan itu, terbukti Kampung Jawa sudah dibangunkan sejak sebelum merdeka lagi.

Ini bermakna, sudah 56 tahun perniagaan bertapak di tempat tersebut. Menurut salah seorang peniaga terawal di Kampung Jawa, Omar Ismail, 75, seingat beliau sebelum merdeka lagi, sudah ada beberapa orang peniaga kecil mencari rezeki di sana.

"Kalau tidak silap, tahun 1952 lagi sudah ada yang berniaga. Saya pula memulakan perniagaan pada tahun 1956, iaitu setahun sebelum negara mencapai kemerdekaan. Bermula dengan perniagaan kecil-kecilan menjual pakaian siap, akhirnya saya berjaya sampai ke tahap ini.

"Malah, dengan duit berniaga inilah saya menyara isteri dan anak-anak seramai sembilan orang. Alhamdulillah, itu satu kebanggaan bagi saya sebagai seorang ketua keluarga," ujar Omar yang kini dibantu oleh anak-anaknya dalam menguruskan perniagaan pakaian.











PENIAGA terompah, Tham Fong Ling tekun menyiapkan kerjanya di dalam sebuah pondok kayu kecil
Hakikatnya, tambah Omar, situasi 50 tahun dahulu amat berbeza dengan sekarang. Dalam tempoh 30 tahun pertama, proses jual-beli memang berjalan lancar dengan kehadiran ramai pengunjung.

"Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pendapatan kami agak berkurangan. Cuma, ia tidaklah sampai membuatkan golongan peniaga tutup kedai. Kami harap nasib kami akan terbela apabila kerajaan bakal membangunkan kawasan ini kelak," kata Omar penuh pengharapan.





















DERETAN terompah tergantung menunggu untuk dijual.
Harapan Omar itu merupakan rentetan daripada kebimbangan sekumpulan penduduk dan peniaga di situ mengenai rancangan kerajaan negeri untuk mewujudkan perkampungan Arab di tiga lokasi termasuk Kampung Jawa. Dua lokasi lain ialah di Klebang dan Pulau Melaka.

Projek yang diusahakan salah sebuah syarikat hartanah dari Arab Saudi itu kini dalam peringkat perundingan pengambilan tanah oleh kerajaan negeri daripada penduduk terbabit. Ia melibatkan kos sebanyak RM200 juta.

Seorang lagi peniaga, Abdullah Omar, 59, turut melahirkan harapan supaya peniaga asal tidak dipindahkan dari lokasi tersebut jika sudah dibangunkan kelak.

"Sebagai rakyat, kami memang menyambut baik cadangan tersebut. Tetapi, banyak perkara perlu diambil kira terutama nasib golongan peniaga lama di sini.

"Maklumlah, setiap projek pembangunan itu, pasti ada kesannya kepada golongan tertentu. Begitu juga kami," tutur Abdullah yang mula menjalankan perniagaan pada tahun 1980.

Kebanyakan peniaga biasanya mendapatkan bekalan barang yang dijual dari serata tempat. Antaranya Kelantan, Thailand, China, Indonesia dan sebagainya.

Selain deretan kedai papan, ada juga kedai bangunan batu lama yang beroperasi. Mereka menjual pelbagai jenis barangan keperluan seperti terompah, pinggan mangkuk, peralatan dapur dan perkakasan.

















kampung jawa masih bertahan meskipun semakin terpinggir oleh arus pemodenan.

Bagi kedai yang menawarkan perkhidmatan pula termasuklah kedai gunting rambut dan kedai pajakan emas.

Tidak ketinggalan, terdapat juga kedai-kedai yang menjual haiwan ternakan seperti itik, ayam, ikan, kucing, arnab dan lain-lain, sekali gus membuatkan semua yang dikehendaki ada di sana.

Bila sudah puas membeli-belah dengan harga yang berpatutan, pengunjung juga boleh menikmati keenakan aneka jenis makanan yang dijual menerusi gerai-gerai. Menu paling diminati dan sering diminta pastinya rojak, sate dan cendol.


Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my



No comments: