Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






30 August 2009

Penyesalan budak paling jahat



















SEKOLAH 'penjara' ini mencatatkan 100 peratus lulus dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia 2008

AHMAD JAFRI (bukan nama sebenar) bertubuh gempal dan berkulit gelap. Namun, wajahnya manis dan pandangannya jujur. “Saya kalau boleh tak mahu ingat masa lampau,” pintanya seraya melemparkan pandangan ke lantai. Bergenang air di kelopak matanya. Tangan kanannya menggenggam tangan kirinya.

Khilaf yang dilakukan ketika berumur 11 tahun itu ternyata belum menjadi parut dalam hidupnya. Sebaliknya ia umpama luka yang sedang bernanah.

Biarpun sudah hampir 10 tahun menerima hukuman, Jafri masih hidup dalam lingkungan pagar kerawat penjara. Selagi dia berada di dalam tahanan, selagi itu jugalah dia akan ‘diingatkan’ tentang kesalahannya.

“Saya tidak ada tempoh hukuman. Semuanya bergantung kepada persetujuan Sultan untuk memberi pengampunan.

“Tahun ini saya masih menunggu jawapan untuk permohonan pengampunan kali kedua,” kongsi Jafri yang merupakan Tahanan Limpah Sultan (TLS) di Sekolah Henry Gurney, Teluk Mas, Melaka.

Selepas setahun ditahan reman di Penjara Kajang atas kesalahan rogol dan bunuh pada 1998, dia dimasukkan ke Sekolah Tunas Bakti, Sungai Besi, Kuala Lumpur untuk menjalani pemulihan. Apabila usianya mencecah 14 tahun, Jafri menghuni Sekolah Henry Gurney pula sehingga sekarang.

“Kalau saya tidak masuk ke sini, tak tahulah apa akan jadi dengan hidup saya. Sebelum masuk ke sini, hidup saya terumbang-ambing. Mak dan ayah bercerai. Masing-masing kahwin lain. Mak tinggal di Kuala Lumpur, ayah di Kedah. Saya tinggal dengan nenek di Perak.

“Tetapi adik-beradik mak saya tidak suka saya tinggal dengan nenek. Walaupun sayalah yang mencari nafkah untuk menanggung kami berdua,” luahnya yang mengambil upah menebas rumput dan melakukan kerja-kerja kampung pada waktu itu.

Sorok mayat

Meninggalkan nenek di kampung untuk tinggal dengan ibunya di Kuala Lumpur, Jafri yang baru berumur lapan tahun ketika itu bagaimanapun dihambat kehampaan apabila bapa tirinya pula tidak merestui kehadirannya di rumah mereka.

“Saya bawa diri dan menyewa di sebuah rumah bujang. Rata-rata teman serumah berumur di antara 19 hingga 24 tahun.

“Untuk menanggung sewa rumah, saya bekerja sebagai kelindan lori dan melakukan kerja seperti mengangkat barang,” kata Jafri yang sudah tidak bersekolah, tidak tahu membaca, menulis, apa lagi mengira pada usia itu.

Dalam keadaan tidak menentu dan keseorangan itulah, Jafri terlibat dalam jenayah berat - merogol, membunuh dan menyembunyikan mayat kenalan perempuannya.

“Mula-mula selepas menyorokkan mayatnya, saya buat tidak tahu saja. Tetapi pada keesokan harinya saya berasa tidak betul. Saya tidak tahu apa yang hendak dilakukan lalu menyerah diri saja kepada polis,” dedahnya.

Jafri tidak terus berkongsi. Baginya, cukuplah kenangan hitam itu terkambus tanpa diulang tayang.

Harap diampun Sultan Selangor

Namun, di bumi Sekolah Henry Gurney yang seluas 13 hektar itu kata Jafri, dia menemukan ketenangan.

“Kehidupan di sini membuatkan saya berasa seperti mempunyai keluarga. Apa yang saya makan, itulah yang penghuni lain makan.

“Daripada tidak tahu membaca, menulis dan mengira, sekarang saya dapat menyertai teman-teman yang lain menulis surat kepada ibu bapa kami setiap minggu.

“Di sini, saya diberi peluang untuk belajar menjahit. Sekarang, dalam masa 45 minit saya dapat menyiapkan sepasang baju uniform polis. Kerja-kerja bengkel inilah yang dapat membuatkan saya lupa kepada kesalahan saya yang dulu,” ujarnya.

Benar-benar mengharapkan pengampunan daripada Sultan Selangor, penghuni paling lama Sekolah Henry Gurney dengan kesalahan paling berat, yang kehilangan bapanya pada bulan puasa tahun lalu kini mengharapkan peluang untuk menjaga dan menyara ibunya melalui wang upah menjahit yang direncana akan dilakukan sebaik saja dibebaskan.

Pada hari ini, Kapten untuk sekolah pemulihan itu sudah dijadualkan untuk menyambung tempoh hukumannya di Penjara Kajang pada ulang tahun kelahirannya yang ke-21 pada 27 Oktober nanti.

“Saya tak takut. Sebelum masuk ke sini, saya terlebih dulu merasa tinggal di Penjara Kajang. Saya sudah tahu rasanya tinggal di penjara yang sebenar,” ujarnya tentang persediaan masuk ke penjara yang dihuni golongan dewasa.

Sekolah Henry Gurney ialah sebuah institusi pemulihan untuk juvana berumur di antara 14 hingga 21 tahun di bawah Jabatan Penjara Malaysia. Ia pertama kali ditubuhkan pada 1949 dengan nama Sekolah Akhlak Tertinggi.

Nama Sekolah Henry Gurney diguna pakai pada tahun 1950 sempena pembukaan rasminya oleh mendiang Sir Henry Gurney.

Tidak terhad kepada ilmu akademik, sekolah itu turut menawarkan peluang kepada pelajar untuk aktif dalam sukan dan belajar kemahiran.

“Ada antara pelajar kami yang memenangi pingat emas di peringkat kebangsaan dan menjadi olahragawan MSSM 2009. Pasukan tinju kami contohnya, bakal mewakili Melaka untuk Sukan Malaysia (Sukma) yang akan datang,” ujar Pengarah Sekolah Henry Gurney, Penguasa Penjara (PP) Samihan Misdi.



SEKOLAH 'penjara' ini mencatatkan 100 peratus lulus dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia 2008.


Tulis surat kepada ibu setiap minggu

Dalam bidang kemahiran, Ahmad Jafri menunjukkan potensi yang tinggi untuk menguasai bidang jahitan dan fesyen.

“Dia pernah mendapat anugerah Pelajar Cemerlang daripada Kolej Yayasan Mara pada tahun 2004 untuk kemahiran menjahit.

“Pelajar ini, yang berhenti sekolah sejak darjah dua juga asalnya tidak tahu membaca, menulis dan mengira. Tetapi sekarang dia sudah dapat menulis sendiri surat kepada ibunya,” kongsi Samihan.

Tahun 2008 membuka lembaran baru buat Sekolah Henry Gurney apabila mereka mencatatkan 100 peratus lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Lebih menarik, mereka turut berjaya melahirkan beberapa pelajar cemerlang.

Antara mereka ialah pelajar yang masuk ke situ dengan pendidikan sehingga darjah enam saja tetapi berjaya meraih enam A - satu pencapaian yang tidak disangkakan terutama dari sekolah berstatus ‘sekolah budak jahat’ itu.

“Pencapaian akademik pelajar mula menunjukkan perubahan apabila kami menerima 10 guru berkelulusan ijazah sarjana muda dan tujuh lagi dengan kelulusan diploma.

“Kehadiran mereka membuatkan pelajar menjadi lebih bermotivasi untuk belajar,” ujar Samihan.

Tidak meletakkan pencapaian akademik sebagai sasaran utama, sekolah yang berpegang kepada moto Resurgam yang bermaksud ‘Saya akan bangkit kembali’ itu sebenarnya, kata Samihan, berazam untuk melahirkan ‘graduan’ yang mampu berjaya dalam hidup apabila mereka keluar dari sekolah itu kelak.

Salah satu cara yang diamalkan sekolah berasrama penuh itu untuk membangunkan semula sahsiah pelajar ialah dengan mewajibkan setiap pelajar menulis surat kepada keluarga mereka setiap minggu.

Apabila aktiviti seperti itu diwajibkan, pelajar yang masuk dengan status buta huruf juga mendapat kebaikannya.

“Kami ada kira-kira lima peratus pelajar yang masuk dengan status buta huruf. Di sini mereka diajar membaca, menulis dan mengira.

“Jadi semua ‘graduan’ sekolah ini akan keluar dengan sekurang-kurangnya kebolehan membaca, mengira, menulis dan memiliki satu sijil kemahiran atau akademik,” katanya.

Terima kasih bahagian pentadbiran Sekolah Henry Gurney dan Jabatan Penjara Malaysia.


Oleh FATIMI NADIAH ZAINUDEEN


No comments: