Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






26 August 2009

Cabaran lelaki harungi Ramadan






















BASAHKAN lidah dengan bacaan ayat suci pada Ramadan yang mulia.

Tip raikan bulan suci, penuhi tuntutan ibadat
MULAI hari ini, rutin harian umat Islam berubah. Ramadan yang penuh keberkatan menjengah lagi. Waktu inilah umat Islam, tidak kira lelaki atau wanita gigih melaksanakan tuntutan agama. Masing-masing menahan diri daripada makan dan minum dari terbit fajar hingga terbenamnya matahari serta mengerjakan ibadat sunat seperti zikir, tadarus, tarawih dan sedekah yang menjanjikan pahala berganda.

Mungkin ada antara kita merasakan cepatnya masa berlalu. Kenangan Ramadan tahun lalu masih segar dalam ingatan, kini kita bertemu sekali dengan bulan mulia ini. Bersedia atau tidak, sebagai hambaNya, rukun Islam ketiga ini wajib dilaksanakan.



Semua tahu Ramadan ialah bulan untuk umat Islam menambahkan ketakwaan diri serta berusaha memperoleh keampunan daripada dosa lalu.

Dilihat dari aspek fizikal pula, ibadat puasa memberi kebaikan kepada tubuh badan. Sepanjang tempoh berlapar pada siang hari, organ penghadaman badan dapat berehat. Bukan itu saja, melalui ibadat puasa, badan dapat menyingkirkan lebihan toksin yang terkumpul menjadikan tubuh lebih sihat dan cergas.

Semangat ukhwah umat Islam juga terjalin erat melalui aktiviti yang dilakukan sepanjang bulan ini. Tidak dilupakan, golongan kurang bernasib baik di mana umat Islam digalak menggembirakan mereka dengan bersedekah.



Bagi mereka yang sudah lama merindui kedatangan Ramadan, pastinya saat ini hati paling gembira. Awal-awal lagi mental dan fizikal sudah dipersiapkan demi mendapat kualiti ibadat puasa yang diidamkan. Bagai sudah ditanam dalam diri mereka niat menjadikan Ramadan kali ini lebih baik.

Malangnya, bagi segelintir individu tidak terkecuali lelaki, kehadiran Ramadan tidak memberi erti besar dalam hidup mereka. Ada yang menganggap puasa sekadar puasa, sebaliknya hati lebih memikirkan soal juadah berbuka dan bazar Ramadan. Ada juga yang terlajak lebih jauh, merencana persiapan menyambut Aidilfitri. Jangan terperanjat, mungkin ada juga sering menjadikan puasa sebagai alasan bermalas-malas melakukan kerja.

Ini belum lagi disentuh soal individu yang enggan berpuasa malah tidak menghormati orang lain yang berpuasa. Perhatian masyarakat sering tertumpu kepada kes lelaki yang dicekup kerana tidak berpuasa. Apabila ditahan, macam-macam alasan terpancul dari mulut bagi menutup kesalahan mereka itu.

Hakikatnya, rugilah mereka kerana tidak mengambil peluang Ramadan untuk meningkatkan keimanan. Barangkali golongan ini tidak mempunyai pengetahuan atau sengaja tidak mahu mengambil tahu mengenai fadilat Ramadan sebaliknya tewas kepada nafsu.

Bagi menyingkap isu lelaki tidak berpuasa, puasa tidak berkualiti dan kaedah terbaik meraikan Ramadan, XY - Ikon Lelaki mendapatkan pandangan pendakwah yang juga Perunding Motivasi Human-Touch Consultant Sdn Bhd, Ustaz Zawawi Yusoh.

Ustaz Zawawi berkata, lelaki sepatutnya menjadi imej umat Islam. Menurutnya, lelaki tidak sepatutnya menjejaskan status itu dengan perbuatan seperti tidak berpuasa, makan di khalayak ramai pada siang hari, malas bekerja atau sebagainya.

“Perbuatan tidak berpuasa ini datangnya dari keinginan yang ada dalam diri golongan ini untuk tidak berpuasa. Puasa adalah perbuatan yang harus bermula dengan keinginan. Disebabkan itulah kita disuruh bersahur. Ia ‘perjanjian’ yang memberitahu otak, mata, mulut dan anggota badan kita yang lain bahawa kita ingin berpuasa. Itulah sebabnya kalau kita tak berniat, tiadalah keinginan dan perjanjian.

“Sebab itulah, sebelum hadirnya Ramadan, kita disunatkan berpuasa bulan Rejab dan Syaaban sebagai cara mempersiapkan diri menghadapi bulan Ramadan. Sebelum Ramadan, kita sepatutnya sudah menghidupkan suasana bulan penuh keberkatan ini.

“Antaranya dengan bercakap mengenainya dalam ceramah, mengqada ibadat yang tertinggal dan menggiatkan lagi pembelajaran ilmu fiqah. Secara tidak langsung, ia dapat menghangatkan keinginan melaksanakan ibadat puasa,” katanya.

Ustaz Zawawi menerangkan pula soal hikmah bersahur. Katanya, sahur adalah sunat dan sunnah. Sunat bermakna, jika kita melakukannya, akan beroleh pahala yang banyak manakala sunnah pula merujuk kepada perbuatan yang diamalkan Nabi Muhammad SAW.

Tambahnya, amalan sahur lah yang membezakan puasa umat Islam dengan puasa orang bukan Islam.

“Islam menyuruh umatnya berpuasa, bukannya berlapar. Maka kita perlulah bersahur kerana esoknya kita harus bekerja. Ini menunjukkan Islam agama penyayang. Umatnya disuruh bersahur supaya kuat dan mempunyai tenaga berpuasa.

“Jika dibandingkan cabaran puasa zaman kini dengan zaman dulu, umat Islam dulu terpaksa berperang sambil berpuasa pada Ramadan sedangkan kebanyakan kita bekerja di pejabat berhawa dingin. Tidak wajarlah untuk kita memberikan 1,001 alasan untuk tidak berpuasa,” katanya.

Ustaz Zawawi juga menegur golongan yang liat bersahur.

“Ada yang tidak mahu bangun sahur kerana enggan mengorbankan waktu tidur. Sebenarnya, sekali kita buat perkara baik, ia akan mendorong kita membuat lebih banyak lagi perkara baik lain.

“Dalam konteks bersahur, apabila kita bangun awal pagi untuk bersahur, diikuti solat subuh. Ramai yang tidak bangun sahur, solat subuh nya juga tidak dilaksanakan. Disebabkan itulah kita disunatkan melewatkan sahur iaitu menghampiri waktu subuh supaya kita boleh terus bersolat,” katanya.

Ustaz Zawawi berkata, waktu bersahur paling mustajab untuk berdoa kepada Allah.

“Bukan saja solat Subuh, kita juga boleh membuat solat sunat tahajud dan lain-lain. Ia ibarat suatu pakej dan pahala serta keampunan dijanjikan bagi mereka yang melakukannya. Bagi yang tidak mahu bangun sahur, maknanya mereka menolak pakej ini,” katanya.

Selain itu, beliau turut menegur segelintir umat Islam yang cuma berpuasa tetapi mengabaikan ibadat lain.

Ustaz Zawawi berkata, ini sedikit sebanyak berpunca daripada tanggapan segelintir masyarakat kononnya Ramadan hanyalah bulan untuk berpuasa semata-mata.

“Hakikatnya, masyarakat harus melihat bulan ini sebagai Ramadan yang bukan hanya tempoh kita melakukan ibadat puasa saja tapi ia juga bulan untuk qiyam (tarawih), witir, sedekah. Di dalamnya juga ada nuzul Quran (peristiwa turunnya Al-Quran buat kali pertama) serta malam lailatul-qadar.

“Apabila pemahaman salah, maka pelaksanaannya juga tidak betul. Dalam bulan Ramadan, kita bukan hanya perlu menjaga supaya tidak batal puasa, bahkan perlu juga memastikan tidak hilang pahala puasa.

“Solat sunat dalam bulan Ramadan sebenarnya menyempurnakan lagi ibadat puasa yang kita lakukan... Supaya puasa lebih berkualiti. Cari peluang melakukan ibadat sunat. Solat tarawih misalnya, jika tidak buat 20 rakaat, boleh buat lapan rakaat,” kata beliau.

Tuntutan berpuasa, menurut Ustaz Zawawi tidak sepatutnya dijadikan alasan bersikap malas di tempat kerja. Ketika berpuasa lah, kita sepatutnya lebih kuat bekerja kerana waktu makan selalunya mengganggu kerja. Soal tidak bertenaga atau tidak larat, tidak seharusnya timbul kerana umat Islam sudah digalakkan bangun bersahur.

“Memanglah, kadang-kadang kita terasa letih tetapi rasanya, tidak ada orang yang mati sebab berpuasa. Orang yang mati sebab terlebih makan adalah. Semua ini bergantung kepada paradigma (batasan pemikiran) seseorang. Jika fikirannya mengatakan letih, letihlah jadinya.

“Pekerjaan juga suatu ibadat seperti puasa. Jangan sampai satu ibadat menghilangkan ibadat yang lain. Lebih-lebih lagi dengan keselesaan ruang pekerjaan yang dinikmati kita. Lainlah jika buruh kasar yang terpaksa melakukan kerja berat dan itu sajalah punca rezeki mereka. Golongan ini ada kelonggaran tertentu,” katanya yang turut berkongsi tanggungjawab yang sepatutnya dilaksanakan lelaki sebagai ketua keluarga sepanjang Ramadan.

INFO: 8 tip lelaki meraikan Ramadan dan pikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga sepanjang bulan suci ini.



Kaedah pertama ialah menimba ilmu. Sebelum menempuh Ramadan, belajarlah ilmu fiqah. Apabila kita berpuasa dengan ilmu dan falsafah betul, barulah dapat dirasai kelebihan Ramadan. Silapnya, apabila kita jadikan ibadat berpuasa sebagai ‘adat’ dan kerana itulah ia dilakukan atas faktor ikut-ikut saja.


Sambutlah Ramadan dengan hati. Anggaplah Ramadan sebagai kursus rohani serta mencapai kemuncak hati apabila melaksanakan ibadat Ramadan.


Pupuk dalam fikiran bahawa Ramadan itu akan berjaya jika kita berjaya merebut keberkatan bulan ini. Ini dinyatakan dalam tiga peringkat iaitu hari pertama hingga ke-10 yang memberikan limpahan rahmat; hari ke-11 hingga ke-20 dikurniakan keampunan manakala hari ke 21 hingga hari terakhir terhindar daripada seksaan api neraka.


Lelaki sebagai ketua keluarga perlu melaksanakan tanggungjawab mengajak seisi keluarga berpuasa. Bagi anak-anak yang masih kecil, pujuk mereka untuk berpuasa, bukannya memaksa mereka.


Lahirkan budaya bersedekah dalam keluarga. Memberi makan dan minum juga adalah cara untuk menyempurnakan nafkah kepada isteri, anak-anak dan keluarga.


Berbuka bersama-sama - ini dapat menyuburkan kasih sayang antara ahli keluarga. Sebagai bapa, bawa keluarga menunaikan solat tarawih kerana ibadat ini dapat melahirkan jiwa hamba dalam diri kita semua.


Sepanjang bulan berkat ini, elak pembaziran terutama ketika membeli juadah berbuka. Seperti yang kita maklum, tidak elok makan berlebihan. Boleh makan dengan banyak, tapi biarlah berperingkat-peringkat.


Apabila berbuka puasa, jamah sedikit makanan dan terus menunaikan solat Maghrib. Selepas solat Maghrib, bolehlah menikmati makanan yang agak berat tapi usah terlalu berlebihan hingga menghalang kita melakukan solat Tarawih. Selesai tarawih, bolehlah menikmati makanan seperlunya. Harus diingatkan, makan berlebihan juga boleh memudaratkan.




No comments: