NYAMUK berkaki belang ini aktif mencari mangsa pada pada waktu pagi dan senja.
KESEDARAN untuk menghapuskan aedes perlu dipupuk sejak kecil.
DI sebalik ketinggian ilmu pendidikan dan kemajuan hidup lantaran menjadi masyarakat yang menghuni bandar-bandar besar, realitinya warga urban kini sedang diancam dengan sejenis penyakit maut yang dibawa oleh sejenis nyamuk.
Dengan hampir setiap hari negara mencatatkan kes demam denggi yang disebarkan melalui gigitan nyamuk aedes, realiti pahitnya denggi menjadi satu pandemik yang membimbangkan dalam kalangan warga kota.
Apa tidaknya dengan peningkatan kes dari tahun ke tahun contohnya 30,285 pada tahun 2006, 48,846 (2007) dan 49,335 (2008) tiga negeri teratas yang menjadi penyumbang utama denggi terdiri daripada negeri-negeri pesat membangun di Malaysia seperti Selangor, Kuala Lumpur dan Johor.
Sebagai contoh untuk statistik sehingga Februari 2010, daripada 6,293 kes denggi di seluruh negara 3,381 kes atau lebih tepat 50 peratus daripada kes tersebut disumbangkan oleh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sahaja.
Statistik tersebut membawa kepada satu kesimpulan pahit bahawa hakikatnya denggi hari ini adalah penyakit yang membelenggu orang bandar.
Berikutan kebimbangan terhadap masalah yang semakin merumitkan, satu sesi dialog anjuran jenama racun serangga, Ridsect diadakan sebagai langkah menangani wabak denggi itu.
Dengan tema Transformasi Minda Dalam Memerangi Denggi, dialog itu disertai tokoh dalam bidang masing-masing seperti Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Hasan Abdul Rahman, Pengarah Kesihatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Dr. Salehuddin Abu Bakar dan Ketua Program Komunikasi dan Dasar Awam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Mohd. Yusof Abdullah.
Aznil terkenang Din Beramboi
Ikon kempen antidenggi, Aznil Nawawi memikul tanggungjawab mengendalikan sesi dialog tersebut.
Memulakan majlis dengan menyentuh banyak hati hadirin yang datang, Aznil mengimbau kesedihannya apabila kehilangan seorang rakan karib, Allahyarham Din Beramboi, 44, April lalu akibat demam denggi berdarah.
“Saya sendiri sebak dan sedih apabila mendapat tahu allahyarham meninggal dunia disebabkan penyakit disebarkan oleh seekor nyamuk. Kematian allahyarham itulah membangkit semangat saya untuk menentang denggi habis-habisan khususnya untuk mencegah kematian yang sia-sia,” ulas Aznil membuka sesi dialog.
Bahaya demam denggi dan nyamuk aedes yang dipandang ringan antara penyebab mengapa penyakit itu masih bermaharajalela dalam kalangan penduduk, khususnya penduduk bandar.
Tanggungjawab orang bandar
Mengambil kira sudut itu, Salehuddin berkata, bandar raya-bandar raya umum seperti Kuala Lumpur sering kali dipersalahkan sebagai tidak mencapai tahap kebersihan atau pengendalian yang sepatutnya kerana beberapa sebab yang sebenarnya boleh diatasi.
“Sebagai bandar raya global, kita kesal apabila Kuala Lumpur masih dibelenggu masalah demam denggi. Antara punca denggi tidak dapat diatasi secara besar-besaran di sini adalah kerana tiga sebab utama,” ungkap Salehuddin.
Katanya, antara sebab utama ialah tahap kemampuan DBKL mengendalikan masalah kebersihan.
Beliau mengakui DBKL sendiri mempunyai banyak kekurangan khususnya dalam pengurusan perparitan berikutan rangkaian perparitan yang sangat panjang menyukarkan usaha pengurusan.
“Di samping itu, DBKL juga menghadapi masalah besar apabila kami mendapati sistem pengurusan sampah yang diswastakan dilihat tidak dinaik taraf sejak beberapa tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian kerana syarikat pengurusan sampah, Alam Flora masih menggunakan sistem pengurusan yang lama dengan bilangan pekerja dan kenderaan seperti lori sampah yang sama tanpa tidak dinaik taraf walaupun keperluan semasa banyak berubah.
“Kami mendapati kualiti pengurusan sampah sama sekali menurun, tidak sejajar dengan keperluan semasa terutama sekali dari aspek tempat pembiakan nyamuk aedes,” katanya.
Selain itu, Salehuddin juga menuding jari kepada sistem pengurusan perumahan di sekitar bandar raya termasuk Kuala Lumpur yang dilihat tidak sistematik atau berasaskan sistem kelompok yang memberi ruang kepada orang ramai mengambil sikap lepas tangan.
“Rupa bentuk rumah di bandar besar seperti Kuala Lumpur ialah bangunan tinggi dan berkelompok. Ini menyebabkan penduduk sering bersikap tidak peduli dan menyalahkan pihak lain selain diri sendiri apabila isu kebersihan dibangkitkan,” kata Salehddin yang bagaimanapun percaya sikap warga kota sebagai punca paling besar masalah itu berleluasa.
“Kalau rumah sendiri pun tidak dijaga, siapa yang perlu dipersalahkan? Kerana asas kes demam denggi ini berpunca daripada sikap warga kota yang tidak menjaga kebersihan walaupun pelbagai kempen diadakan untuk menjaga rumah dan persekitaran sendiri,” katanya bernada serius.
Bersetuju dengan kenyataan Salehuddin, Yusof memberitahu, walaupun masyarakat sedar denggi yang mempunyai kaitan rapat dengan sikap menjaga kebersihan, mereka menghadapi kesukaran dalam menterjemah kesedaran itu dalam perlakuan.
“Sikap ialah sesuatu yang diwarisi. Jika tiada orang yang memulakan perlakuan positif membersih rumah, membuang air menakung atau menggunakan ubat jentik-jentik, maka ia tidak akan diikuti,” kata pensyarah itu.
Justeru itu, Yusof percaya kempen-kempen akar umbi perlu diteruskan sebagai menyuntik strategi mencegah kerana proses pencegahan hanya boleh berlaku melalui komunikasi yang berkesan.
Tindakan tegas
Aznil sebagai mediator mengakui kenyataan itu berkata, sebagai anak jati Kuala Lumpur dia sendiri banyak melihat kediaman yang dihuni penyewa yang tidak konsisten terhadap kebersihan.
“Malangnya yang menjadi mangsa nyamuk aedes adalah sesiapa sahaja yang berada sekitar 200 meter dari kawasan pembiakan. Lebih parah apabila kawasan pembiakan ini bukan satu atau dua tetapi hampir di semua tempat takungan air!” kata Aznil.
Mengulas kenyataan peserta dialog, Hasan dari Kementerian Kesihatan berkata, kini sudah tiba masanya untuk memberitahu masyarakat hakikat sebenar demam denggi.
“Masyarakat hanya sedar apabila mereka ditakutkan. Misalnya kempen iklan yang dijalankan sekarang, dihubung kait dengan kematian seorang kanak-kanak perempuan, mampu meningkatkan kesedaran. Kami terpaksa mengambil aspek itu kerana ia realiti sebenar,” kata Hasan.
Tambah beliau lagi, mereka yang terdedah kepada demam denggi rata-rata adalah golongan produktif yang boleh menyumbang kepada ekonomi keluarga dan negara.
Oleh itu tiada sebab untuk masyarakat terus memandang ringan kerana kes demam denggi boleh dikesan di mana-mana sahaja.
Penguatkuasaan yang lebih serius tanpa belas kasihan akan diguna pakai mulai tahun 2011 sebagai satu lagi langkah memerangi denggi.
Itu jaminan yang diberikan oleh kedua-dua orang kuat KKM dan DBKL.
Salehuddin percaya tindakan tanpa belas kasihan itu juga akan lebih berkesan apabila pihaknya bercadang meningkatkan kompaun menjelang tahun hadapan.
“Kami bercadang meningkatkan kompaun dua kali ganda supaya orang ramai tidak lagi memandang ringan kes denggi. Tiada lagi timbang rasa atau belas kasihan dan ia akan dilaksanakan di semua peringkat,” kata Salehuddin lagi.
Mohd. Yosof mengakui penguatkuasaan undang-undang sebagai salah satu cara yang paling berkesan untuk memerangi kes denggi. “Sementara kempen, pendidikan dan teknologi yang boleh membantu mencegah denggi, undang-undang memainkan peranan untuk menyedarkan masyarakat,” katanya.
Mengambil contoh bandar besar seperti Kuala Lumpur penguatkuasaan undang-undang dilihat penting apabila ia bukan sekadar membabitkan penghuni rumah malah tapak pembinaan sama ada aktif atau terbiar yang menjadi penyumbang utama masalah denggi.
Oleh NIZHA PERIASWAMY
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
16 November 2010
Orang bandar pembiak aedes
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment