TRACY Caldwell Dyson sedar tidak ada tempat lain yang lebih selesa selain di rumah, ketika dia menjenguk bumi di bawah dari angkasa.
Sambil memerhatikan ke luar menerusi tingkap Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), angkasawan itu dapat menikmati keindahan planet itu.
Dari tingkap ISS itu,Tracy dapat menyaksikan awan di bumi yang memutih serta atmosfera dan lautan yang membiru.
ISS mengelilingi bumi setiap 90 minit dan tidak sukar untuk manusia di bawah melihat kedudukannya di langit jika mereka memerhatikan dengan teliti.
Ia dapat dilihat seperti cahaya terang yang bergerak dengan jelas, terutama selepas matahari terbenam. Malah, kita dapat melihat struktur keseluruhan ISS jika menggunakan teleskop.
Tarikh 2 November lalu ialah ulang tahun ke-10 manusia menetap dan bekerja secara kekal di stesen angkasa lepas itu.
Ia sekali gus memecahkan rekod kehadiran manusia tanpa gangguan dalam mengelilingi bumi, mengatasi rekod yang dicatatkan oleh kompleks stesen angkasa lepas Russia Mir yang mengelilingi bumi dari 1986 hingga 2001.
“Apabila anda menyedari apa yang anda lakukan, anda akan rasa terkejut dengan hakikat bahawa anda adalah seorang daripada enam orang di angkasa lepas. Kadangkala ia akan membuat anda terharu,” kata Tracy yang tinggal selama 188 hari di ISS.
Krew pertama yang menghuni stesen itu ialah dua warga Russia dan seorang rakyat Amerika Syarikat, bermula pada 2 November 2000, sekali gus memulakan operasi manusia yang berterusan hingga ke hari ini meskipun terjejas sedikit kerana kegagalan sistem dan sifat semula jadi manusia: perasaan rindu.
Tiga bulan pertama daripada misi empat bulan pada ekspedisi pertama, Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik (Nasa) Amerika Syarikat menyedari mereka perlu membuat pengubahsuaian: lebih banyak masa untuk bercakap dengan anggota keluarga. Di samping itu, angkasawan digalak menonton filem dan mendengar muzik kegemaran mereka.
Sehingga ini, 64 orang mendiami stesen itu untuk jangka masa panjang. Selain itu, 196 orang mengunjunginya untuk waktu singkat, tidak termasuk tujuh pelancong angkasawan yang menaiki pesawat angkasa lepas Russia, angkasawan.
Di situ, angkasawan menjalankan kajian saintifik, tujuan utama stesen berkenaan. Mereka juga perlu bersedia membaiki apa juga kerosakan, termasuk tandas dan panel solar yang patah.
“Sama seperti di rumah, kami mempunyai sesuatu untuk dibaiki,” kata pengerusi Pasukan Pengurusan misi angkasawan, Dan Hartman.
Kru stesen juga bertindak seperti diplomat, bekerjasama dengan angkasawan dari seluruh dunia. Mereka juga menjadi tuan rumah, menyambut dan menyediakan ruang untuk kru kapal angkasa yang datang melawat.
Ketibaan kapal angkasa Discovery minggu lalu meningkatkan jumlah penghuni di stesen berkenaan daripada enam kepada 12.
Pada asalnya, stesen itu disediakan untuk tiga kru pada satu masa. Namun pada Mei 2008, kerja-kerja menaik taraf membolehkan enam orang tinggal untuk tempoh masa lebih lama.
Nasa merancang menghentikan stesen itu daripada mengelilingi bumi pada 2016. Bagaimanapun, Presiden Barack Obama mengumumkan beberapa bulan lalu, stesen berharga AS$100 bilion (RM320 bilion) itu akan mempunyai jangka hayat sehingga 2020.
Di ISS, krunya bekerja 16 jam sehari. Meskipun sebahagian besar kerja itu dihabiskan untuk kajian, kru perlu mengambil bahagian dalam sesi berjalan di angkasa atau melakukan tugas pentadbiran.
Nasa turut mengambil kira masa bersenam dan berkomunikasi dengan anggota keluarga.
Kru bekerja dari Isnin hingga Jumaat dan setengah hari pada Sabtu. Ahad ialah hari cuti. Jika ada kapal angkasa melawat, kru akan membuat penyesuaian dengan jadual mereka.
Bagaimana bersenam penting di bumi, ia lebih penting di angkasa.
Angkasawan disyaratkan bersenam sekurang-kurangnya dua jam sehari kerana mereka terdedah kepada keadaan yang dinamakan ‘osteoporosis yang tidak digunakan’, sejenis penyakit reput tulang yang biasa dialami pesakit yang kurang bergerak.
Mengenai makan, semua makanan ditinkan atau dibungkus supaya ia tidak perlu disimpan dalam ruang beku.
Sebahagian buah-buahan, sayur dan makanan kegemaran diperoleh apabila kapal bekalan tiba. Untuk minum, mereka terpaksa menggunakan penyedut.
Tidur dalam keadaan tegak dalam beg tidur yang dilekatkan pada dinding sudah pasti tidak menyelesakan. Namun bagi angkasawan di stesen berkenaan, mereka menikmati suasana tidur paling baik dalam hidup apabila tidur dalam posisi itu.
Setiap penghuni stesen itu diberikan ruang peribadi yang bersaiz sebuah pondok telefon. Di situlah terletak beg tidur dan barangan peribadi mereka.
Waktu tidur biasanya ialah selama lapan setengah jam sehari. Kru stesen berkenaan juga tidak ketinggalan menyambut perayaan tertentu seperti yang mereka lakukan di bumi, termasuk hari jadi.
“Kami menggantung belon dan setiap orang akan mengeluarkan makanan kegemaran masing-masing. Dan jika ada kapal angkasa yang singgah, mungkin mereka membawa hadiah bersama.
“Anda pasti teruja untuk menyambut ulang tahun kelahiran anda di angkasa lepas,” kata Tracy.
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
24 November 2010
Dunia angkasa ISS
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment