HASIL karya Jaja bukan sahaja bereksperimentasi dengan lukisan dan warna tetapi sarat dengan tema tertentu dalam kehidupan.
IMPIAN terbesar bagi kebanyakan pelukis muda adalah untuk melihat hasil-hasil karya mereka terpampang dalam pameran solo. Sejujurnya, tempoh perjalanan untuk mencapai impian itu tidak selalunya mudah. Lebih-lebih lagi dalam industri seni lukis tempatan yang tidak kurang sengit.
Ada anak seni yang mungkin mengambil masa sesingkat lima tahun manakala ada pula yang memakan masa lebih sedekad sebelum karyanya diangkat dalam sebuah pameran solo.
Bagi pelukis berbakat besar, Nur Yusniza Mohd. Yusof atau Jaja, 27, perjuangannya dalam bidang seni lukis sejak berusia 14 tahun nyata tidak sia-sia. Anak sulung kepada pelukis terkemuka tempatan, Yusof Gajah itu kini boleh tersenyum gembira dengan pameran solo pertamanya yang sedang berlangsung di Galeri Metro Fine Art, Hotel Legend, Kuala Lumpur sehingga 20 November ini.
Terkenal dengan subjek kucing-kucing berwajah ceria dan palitan warna-warna garang, secara naturalnya pameran solo Jaja itu juga membawa pengunjung ke alam kucing di bawah tema Meowland.
Sejumlah 41 keping hasil karya Jaja yang dihasilkan dari tahun 2007 sehingga 2010, dipamerkan untuk tatapan umum. Koleksi lukisan pelbagai saiz yang majoritinya dihasilkan pada kain kanvas itu menawarkan peminat seni atau pencinta kucing dengan seribu satu penampilan kucing yang menakjubkan.
Imaginasi dan daya kreativiti anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah, itu diterjemah ke dalam seni berbentuk naif yang comel dan menenangkan jiwa. Imej-imej kucing hitam putih, kucing bersiar-siar di taman, bersantai di Kafe Meow Meow dan menjadi pari-pari kucing bersayap merupakan antara hasil karya yang terpampang di ruang pameran.
Jaja yang dihubungi, sejujurnya melahirkan rasa gembira dan bersyukur di atas kepercayaan kurator galeri, Kim, untuk mempamerkan koleksi hasil titik peluhnya itu.
“Saya memang sangat gembira. Harap-harap menerusi pameran solo yang pertama ini, kerjaya saya dalam bidang seni lukis akan pergi lebih jauh selepas ini,” kata ibu kepada seorang anak itu.
Menyifatkan melukis sebagai satu bentuk terapi, graduan diploma dalam jurusan psikologi itu biasanya lebih terdorong untuk menghasilkan lukisan dengan subjek yang ceria.
Teknik lukisan genre naif itu mula menarik perhatian Jaja selepas dia terbaca tentang hasil karya seorang pelukis Indonesia, Erica Hestu Wahyuni. Gaya lukisan yang tersendiri hanya terbentuk selepas dia banyak berlatih dengan berpandukan kepada hasil karya dan teknik idolanya itu.
Namun, sudah pastinya pengaruh terbesar Jaja dalam dunia seni lukis datang daripada bapanya, Yusof. Ketika ramai yang ingin menjadi anak murid bapanya, Jaja rasa cukup bertuah kerana dia merupakan anak Yusof Gajah.
LUKISAN bertajuk Chilling memperlihatkan kucing-kucing bersantai di Meow Meow Cafe.
--------------------------------------------------------------------------------
“Banyak yang saya belajar daripada papa - cara bekerja, memegang lukisan sehinggalah bagaimana kita harus menghargai sesebuah lukisan tidak kira ia milik kita ataupun orang lain.
“Misalnya, bagi papa, lukisan tidak boleh diletak di atas lantai kerana ia seharusnya dihormati,” terangnya yang menggunakan akrilik sebagai medium melukis.
Jaja turut menyimpan harapan agar suatu hari nanti, hasil karyanya tidak hanya terpampang di atas dada kanvas. Sebaliknya, dia ingin meluaskan bakat kepada medium lain seperti buku mahupun pakaian. Lukisan-lukisan Jaja sudah pun dibeli sebagai koleksi peminat-peminat seni di Brazil, Amerika Syarikat dan Jepun.
Dalam pameran Meowland itu, seramik-seramik kecil yang dilukis dengan subjek kucing dijual pada harga RM25 setiap satu, manakala harga lukisan pula bermula dari RM100 sehingga RM4,500 setiap satu.
Pameran Meowland akan berlangsung sehingga 20 November ini di Galeri Metro Fine Art, Tingkat Bawah, Hotel Legend, 100, Jalan Putra, 50350 Kuala Lumpur.
Oleh YEO LI SHIAN
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
14 November 2010
Meow Meow anak Yusof Gajah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment