Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






03 November 2010

Berdisiplin, berani dan berkeyakinan











RENJER Muda berpeluang belajar dengan lebih dekat perihal haiwan di Petting Zoo di Lost World of Tambun.

RIAK wajahnya cukup tenang meskipun reptilia berona kuning susu melingkar di lehernya. Pada masa yang sama, kanak-kanak lelaki berketurunan India itu dikerumuni pengunjung Petting Zoo di Taman Tema Air Lost World Of Tambun (LWOT), Ipoh Perak.

“Ini adalah ular sawa jenis albino, namanya Manja. Ular jenis ini tidak bahaya kerana ia tidak mematuk manusia. Umur Manja dua tahun dan panjangnya pula dua meter,” ujar Nimal Raju Murugan, 11, yang lengkap beruniform warna perang cair sambil mengusap-usap kepala Manja.

Tutur katanya diatur sebaik mungkin bagi memberikan penjelasan kepada pengunjung.

Pengunjung juga diberi kesempatan membelai Manja. Ada antara mereka yang teragak-agak kerana takut, ada pula yang menunjukkan kegelian sehingga menjerit sebaik sahaja melihat Manja yang sememangnya manja baik di kalangan kanak-kanak mahupun orang dewasa.

Namun kepada Nimal Raju, perasaan takut dan geli terhadap haiwan tersebut terhapus sama sekali sejak dia menyertai program Junior Ranger atau Renjer Muda anjuran LWOT pada bulan Mei lalu.

“Saya amat menyukai haiwan sebab itulah saya mahu menjadi dutanya. Di LWOT setiap hujung minggu saya dapat bermain dengan burung kakak tua, ular, hamster, ferret, arnab dan sebagainya.

“Selain dapat berada di samping haiwan-haiwan ini pada setiap hujung minggu dan cuti sekolah, saya kini lebih berani bercakap dan berhadapan dengan orang ramai untuk memberi penerangan kepada mereka mengenai haiwan-haiwan di sini,” katanya.

Pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Tat Choi, Tanjung Rambutan, Perak itu memberitahu, pada mulanya dia hanya datang ke LWOT sebagai pengunjung biasa.

“Saya juga sama seperti pengunjung lain. Hanya datang dan melihat haiwan yang ada di sini lebih dekat.

“Kemudian ada seorang renjer di LWOT memberitahu bahawa saya juga boleh jadi sepertinya jika mendaftar sebagai Junior Ranger di LWOT, jadi saya tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini,” ujar Nimal Raju sambil tangannya erat mendakap Manja.

Pasangan adik-beradik Dennis Chia Kok Wai, 15, dan Jeffrey, 13, turut berkongsi minat yang sama apabila ibu mereka, Agnes Lee, 45, mendaftarkan mereka sebagai Junior Ranger di Petting Zoo LWOT.


“Kami tidak membantah ketika ibu meluahkan hasrat untuk mendaftarkan kami sebagai Junior Ranger kerana kami amat menyukai haiwan.

“Walaupun bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), saya tetap meluangkan masa di LWOT kerana ia merupakan salah satu cara mententeramkan diri dan menghilangkan tekanan,” akui Dennis bahawa haiwan yang paling disukainya ialah ular sawa.

Takut berganti berani

Menurut Dennis, pada mulanya dia juga tidak begitu berani tetapi apabila pengetahuan mengenai perilaku ular sawa, ketakutannya kian hilang.

“Tiada apa yang perlu ditakutkan. Pada mulanya saya juga tiada keberanian tetapi apabila mempunyai pengetahuan mengenai perilaku ular sawa, rasa takut saya semakin hilang.

“Ular akan diberi makan dua minggu sekali. Jangan sesekali usik haiwan ini ketika mereka sedang bersalin kulit kerana ia akan memuntahkan kembali makanan yang dimakan. Mata mereka akan menjadi putih apabila tiba masa untuk bertukar kulit,” jelasnya yang lebih berani memberi penerangan kepada pengunjung terutamanya kepada pelancong asing.

Adiknya, Jeffrey yang sebelum ini diselubungi perasaan takut pada ular dan pemalu untuk berdepan dengan khalayak juga mengakui dapat mengatasi perasaan takut dan pemalu yang dihadapinya selama ini.

“Di LWOT kami diberi tunjuk ajar mengenali haiwan dengan lebih dekat dan teknik pengucapan awam untuk persediaan berhadapan dengan pengunjung.

“Ia secara tidak langsung dapat memantapkan penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris saya,” kata pelajar Sekolah Menengah Anderson, Ipoh, Perak itu.

Sementara itu menurut Agnes, program Junior Ranger sangat bagus kerana ia membantu kanak-kanak belajar mengenai haiwan peliharaan dengan lebih mendalam yang tidak dapat dipelajari melalui buku.


“Lihat sahajalah anak-anak sekarang, yang mereka tahu menghadap komputer sepanjang masa dengan permainan video, Facebook, menonton televisyen dan melepak sahaja.

“Selepas mengikuti program ini, anak-anak saya menunjukkan banyak perubahan. Mereka lebih berdisiplin dan lebih berani dalam pengucapan awam serta tidak lagi malu-malu untuk berhadapan dengan orang ramai,” katanya yang kerap menghantar kedua-dua anaknya ke Petting Zoo setiap hujung minggu dan cuti sekolah.

Kedua-dua anaknya merupakan pelatih pengambilan pertama dalam program tersebut.

“Jika diberi peluang kepada ibu bapa menjadi renjer, saya akan jadi orang pertama untuk menyertainya, mungkin Mama Ranger atau Famili Ranger,” selorohnya.

Dalam pada itu, Pengurus Besar LWOT, Calvin Ho memberitahu, idea untuk mengadakan program Junior Ranger bermula dari Petting Zoo yang merupakan pusat perlindungan dan penjagaan haiwan yang berlandskapkan hutan semula jadi.

“Kita mahu menjadikannya tarikan kepada kanak-kanak untuk datang bersama keluarga. Di sini mereka boleh menyentuh dan belajar mengenai sesuatu jenis haiwan dengan lebih dekat daripada renjer yang bertugas.

“Keahlian Program Junior Ranger ini terbuka kepada kanak-kanak yang berumur di antara enam tahun hingga 16 tahun pada kadar yuran RM200 setahun. Selain itu mereka juga mendapat uniform,” katanya.

Lencana renjer

Menerusi program tersebut, kanak-kanak dan remaja akan belajar mengenai segala-galanya mengenai asal-usul, makanan, sifat, habitat, penjagaan haiwan dan sebagainya.

“Apabila sudah lama belajar, mereka akan menjadi pakar tentang sesuatu haiwan. Kemudian mereka akan diberikan ujian dalam bentuk objektif dan pengucapan awam kepada pengunjung.

“Jika mereka lulus, mereka akan dikurniakan lencana. Program ini mempunyai beberapa pangkat iaitu Junior Ranger, Junior Ranger I, Junior Ranger II dan Junior Master Ranger. Pangkat tertinggi ialah Junior Master Ranger. Ia akan diberikan kepada pelajar yang berjaya mendapatkan kesemua 12 lencana yang ditawarkan,” jelas Calvin.



Semua Renjer Muda perlu menguasai 12 bidang iaitu Bird Paradise (burung), Mammals (mamalia), Primates (monyet ekor panjang), Rainforest Trail (kambing kerdil Afrika), Wetlands (paya) serta Jungle Survival, Gua Anak Datuk (belajar hidup berdikari di dalam hutan), haiwan Serpentarium (ular), Rabbit Wonderland (arnab), Tortoise Kingdom (kura-kura), Rubby and Friends (rakun) dan Felidae Family (kucing Bengal dan harimau Siberia).

“Ibu bapa tidak perlu risau kerana kita mempunyai dua renjer utama yang menyelia Junior Ranger sepanjang masa ketika mereka berada di sini.

“Dalam pada itu, semua haiwan di LWOT disuntik vaksin bagi mengelakkan jangkitan penyakit,” katanya yang bercadang membuka keahlian Junior Ranger kepada 100 orang ahli setahun.

Buat masa ini seramai 51 pelajar sudah mengikuti program tersebut dan kriteria utama bakal Junior Ranger adalah mencintai haiwan selain mendapat persetujuan daripada ibu bapa untuk menyertainya.

Oleh NURUL IZZA ROSLY

No comments: