NUKLEAR sering diberikan konotasi negatif, dikaitkan dengan kemusnahan dan peperangan.
NUKLEAR sering diberikan konotasi negatif. Kita menggambarkan kemusnahan dan peperangan. Minda pantas berimaginasi letupan besar yang meranapkan sebuah kota besar sehingga ia menjadi padang jarak padang tekukur. Mayat-mayat tak berdosa yang bergelimpangan bagai daun di makan ulat.
Peristiwa bom atom yang digugurkan di Hiroshima, Jepun pada tahun 1945 lazim menjadi rujukan.
Penerima-penerima Anugerah Nobel Keamanan semasa berhimpun dalam satu upacara memperingati mangsa-mangsa yang terkorban dalam tragedi pengeboman Hiroshima 14 November lalu juga melaungkan ritma negatif tentangnya: “Tolak senjata nuklear.”
Selain malapetaka di Hiroshima, insiden kebocoran reaktor nuklear di Three Mile Islands, Amerika Syarikat (AS) pada 1979, Chernobyl, Ukraine (1986) dan Tokai Mura, Jepun (1999) bagai menghitamkan lagi noda nuklear. Peristiwa Chernobyl menyaksikan seramai 350,400 orang yang mendiami kawasan berhampiran reaktor nuklear itu terpaksa dipindahkan dari kawasan yang tercemar dengan sinar radioaktif.
Tenaga
Pejuang kedamaian, aktivis pengguna dan pencinta alam antara pihak yang menzahirkan penolakan atau kekhuatiran terhadap nuklear.
Reaksi global terhadap nuklear membuatkan kita di negara ini melihatnya sebagai satu yang berbahaya secara total. Kenyataannya begitukah?
Adakah ia hanya berkenaan senjata perang dan tidak mampu menawarkan manfaat?
Nuklear berasaskan uranium seperti juga galian-galian lain yang sebenarnya boleh membawa kebaikan tetapi disalahgunakan untuk tujuan kemusnahan. Nuklear yang merujuk kepada inti atau nukleus atom mampu menjana tenaga dan barang kali salah satu penyelesian kepada masalah umat manusia apabila sumber utama tenaga elektrik terutama bahan api fosil seperti petroleum dijangka habis satu hari nanti.
Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa Jepun dan Korea Selatan ialah model negara yang berjaya dalam penggunaan nuklear sebagai sumber tenaga elektrik. Kaedah loji jana kuasa nuklear yang bertindak dengan pembelahan nukleus Uranium U-235 dapat menghasilkan tenaga haba untuk mendidihkan air menjadi wap dan seterusnya memutarkan turbin menjana elektrik.
GAMBAR menunjukkan keadaan di dalam satu terowong pembelahan atom di Pusat Penyelidikan Nuklear Eropah (CERN), Switzerland.
--------------------------------------------------------------------------------
Ironinya, Jepun yang pernah lumpuh akibat bom atom banyak bergantung kepada loji jana kuasa nuklear. Begitu juga dengan Korea Selatan. Sebelum penggunaan tenaga nuklear pada 1951, pendapatan Keluaran Dalam Negara (GNP ) negara itu berada pada tangga ke-159 dunia namun ia melonjak ke kedudukan 17 pada 1997.
Lebih menarik, kos bayaran tenaga elektrik di Korea dan Jepun yang menggunakan teknologi nuklear tidak pernah berubah sejak 30 tahun lalu.
Menjelaskan dengan terperinci mengenai nuklear, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Teknikal Agensi Nuklear Malaysia (Nuclear Malaysia), Dr. Muhd. Nur Muhd. Yunus memberitahu, tenaga nuklear mampu menjana ekonomi negara.
Ketam bersaiz besar
“Jepun yang memulakan loji jana kuasa nuklear sejurus selepas Perang Dunia Kedua mampu menjadi negara maju. Malah, sebuah loji jana kuasa nuklear yang terdapat di Mihama, Jepun menjadikan daerah itu maju dengan industri pelancongan perikanan,” katanya sambil memberitahu terdapat 14 stesen jana kuasa nuklear di Jepun.
Tambahnya, loji jana kuasa nuklear itu menyebabkan Mihama menjadi kawasan teluk dan secara geografinya menjadikan kawasan itu dipenuhi dengan pelbagai spesies ikan selain hidupan marin lain. Bilangan penduduk juga bertambah manakala hotel dan resort berkembang dengan pantas. Kawasan itu terkenal dengan ketam bersaiz besar.
“Lebih mengejutkan, penduduk di situ mempunyai jangka hayat kedua terpanjang di Jepun di sebalik dakwaan loji jana kuasa nuklear menyebabkan penduduk sekitar loji itu pendek umur,” katanya.
Tenaga murah
Muhd. Nur menjelaskan, tenaga nuklear tidak berbahaya selain menjimatkan khususnya untuk penghasilan tenaga elektrik. Menceritakan kelebihan tenaga nuklear untuk menjana elektrik berbanding kaedah lain, Muhd. Nur memberitahu, secara relatifnya ia lebih murah.
WUJUDNYA stesen jana kuasa nuklear di Mihama, Jepun menjadikan daerah itu maju dengan industri pelancongan perikanan.
--------------------------------------------------------------------------------
“Kosnya hanya sebanyak 20 sen bagi satu kilowatt jam berbanding kaedah fosil atau hidro. Import elektrik dari Bakun melalui kabel bawah laut dianggarkan pada 21 hingga 36 sen kWj (tanpa subsidi kerajaan),” ujarnya.
Tambah Muhd. Nur, di sebalik retorik tenaga nuklear mengeluarkan gas rumah hijau, tenaga itu sebenarnya mengeluarkan terlalu sedikit gas rumah hijau berbanding teknologi lain.
Tambahnya, hasil buangan sisa nuklear lebih sedikit berbanding jana kuasa elektrik konvensional.
“Keseluruhan rantaian bagi penjanaan kuasa nuklear hanya menghasilkan 1 hingga 6 gram karbon bagi setiap kilowatt jam elektrik yang dijana. Sedangkan rantaian penjanaan elektrik berasaskan minyak, arang batu atau gas asli menghasilkan sehingga 60 hingga 460 gram karbon dikeluarkan walaupun jana kuasa dilengkapi kemudahan pengurangan karbon,” katanya.
Menjelaskan keistimewaan nuklear dari sudut teknologi, Muhd. Nur menjelaskan kapal selam yang menggunakan tenaga nuklear mampu bertahan sehingga 18 bulan. Di Emiryah Arab Bersatu (UAE), pihak berkuasa negara itu sedang giat mengkaji tenaga nuklear untuk menyuling air laut.
“Mereka menubuhkan universiti khusus untuk kajian tersebut selain melakukan kajian terhadap air laut yang digunakan oleh rektor nuklear boleh dijadikan air minuman,” katanya.
Muhd. Nur memberitahu, Malaysia sedang menuju untuk memiliki stesen jana kuasa nuklear untuk menjana elektrik pada 2021.
BANDAR Hiroshima musnah akibat ledakan bom atom pada 1945 tetapi Jepun maju akibat teknologi nuklear.
--------------------------------------------------------------------------------
“Kajian dilakukan secara serius sejak 2005 tetapi orang awam perlu menyokongnya. Jika semuanya berjalan dengan baik kita boleh merealisasikannya lebih awal,” katanya.
Relatifnya, negara memerlukan empat hingga enam peratus sumber nuklear peringkat awal dengan kos lebih RM4 billion untuk loji berkuasa 1,000 MW.
“Vietnam yang masih mundur kini sudah mendahului kita dari segi persiapan ke arah pembinaan loji nuklear dengan merancang membina 13 loji nuklear,” ujarnya.
Karbon dioksida
Profesor di Jabatan Nuklear dan Kejuruteraan Kuantum, Institut Termaju Sains dan Teknologi Korea (KAIST), Jong H Kim memberitahu, dunia kini menghadapi masalah tenaga, persekitaran dan ekonomi manakala pengeluaran karbon dioksida yang banyak menjejaskan kesihatan selain pengurangan sumber fosil seperti minyak, arang batu dan gas asli.
“Di sebalik itu, satu kilogram (kg) uranium mampu menjana tenaga elektrik bersamaan dengan 9,000 tong minyak atau 3,000 tan arang,” katanya.
Ujarnya lagi, simpanan minyak hanya terhad untuk 42 tahun, gas asli 60 tahun, arang batu 133 tahun tetapi uranium untuk menghasilkan elektrik mampu bertahan sehingga 241 tahun.
“Malah, teknologi nuklear juga merangsang teknologi baru yang lain dan berkeupayaan tinggi.,” katanya
Oleh ADHAM SHADAN dan
MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM ahad@kosmo.com.my
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
28 November 2010
Manfaat khazanah uranium
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment