Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






22 November 2010

Karnival ekosistem hijaukan sekolah















PELBAGAI barangan perhiasan diri mesra alam turut dijual.

DARI sehari ke sehari, pencemaran alam sekitar yang berlaku di seluruh dunia menunjukkan peningkatan yang begitu membimbangkan. Sama ada pencemaran udara, air, longgokan sampah sarap yang tidak kitar semula atau penipisan lapisan ozon akibat lebihan pengeluaran karbon dioksida, semuanya menjadi punca kepada kemusnahan bumi yang kita diami.

Malah, ia juga menjadi faktor utama kepada isu perubahan iklim akibat fenomena pemanasan global yang melanda dunia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Rentetan daripada itu, banyak pihak mula menyedari kepentingan untuk memulihara alam sekitar yang semakin menderita akibat sikap rakus manusia dalam mengejar kekayaan duniawi.

Justeru, pelbagai program dan aktiviti serta kempen menghijaukan bumi diadakan sebagai langkah untuk mendidik masyarakat agar mencintai alam sekitar.

Itulah juga usaha yang dilakukan oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) Sri Aman di Petaling Jaya, Selangor apabila menganjurkan Karnival Ekosistem dan Persidangan Antarabangsa yang bertemakan Kehidupan Lestari - Ke Arah Dunia yang lebih Bersih dan Hijau.

Di hadapan pintu pagar utama, kelihatan beberapa pelajar sekolah berpakaian seragam tekun menjalankan tugas menyambut tetamu.

Di bahagian tempat meletak kereta yang terletak berhadapan dewan utama, terdapat banyak gerai yang menjual pelbagai barangan seperti makanan, potpori, air minuman bersih daripada jenama terkemuka dan sebagainya.

Pelajar yang bertugas menjaga gerai tidak menang tangan melayan pelanggan sambil mempromosikan produk masing-masing.

Di dalam dewan utama pula, berlangsung satu persidangan berkaitan alam sekitar yang bertujuan membuka mata hadirin tentang kepentingan memelihara bumi.



Persidangan itu disertai Duta Jerman ke Malaysia, Dr. Guenter Gruber dan penerima anugerah Manusia Paling Hijau di Planet (Greenest Person on the Planet) oleh 3rd Whale.com di Kanada pada tahun 2008, Matthias Gelber. Gelber juga berasal dari Jerman.

Program itu turut disertai oleh Pengarah Urusan AUO SunPower’s Cell Manufacturing Facility, Robert D. Vinje; Pengerusi Jawatankuasa Teknikal mengenai Material Penanaman Sirim Berhad (SIRIM), Profesor Emeritus Chin Hoong Foong dan Pengarah Eksekutif Dana Hidupan Liar Malaysia (WWF) Malaysia, Datuk Dr. Dionysius S.K. Sharma.

Projek alam sekitar

Antara topik yang dibincangkan seperti Kesedaran Awam terhadap Persekitaran dalam Masyarakat di Jerman, Perubahan Iklim dan Kehidupan Lestari, Memperbaharui Tenaga, Pemuliharaan Biodiversiti Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dalam Perspektif Remaja.

Menurut Pengetua SMK (P) Sri Aman, Noorul Aini Ambak, pihaknya sentiasa menyedari keperluan untuk memulihara alam sekitar. Malah, mereka juga aktif melibatkan diri dalam banyak projek berasaskan alam sekitar.

“Penganjuran program Karnival Ekosistem ini merupakan acara kemuncak dalam usaha untuk menjadikan sekolah lebih hijau dan mendidik pelajar terhadap tanggungjawab mereka untuk menjaga alam sekitar,” kata Noorul Aini.

Tambah beliau, antara aktiviti yang telah dianjurkan termasuklah mewujudkan Taman Herba, projek kompos, menggunakan tenaga solar dan tangki air hujan untuk bekalan air di tandas sekolah.

Pihaknya juga melaksanakan peraturan zero styrofoam. Peraturan itu menggalakkan pelajar membawa bekas makanan sendiri manakala pengurusan kantin pula dilarang menggunakan styrofoam untuk membungkus makanan.

“Bagi tujuan tersebut, pihak kantin hanya dibenarkan membungkus makanan di dalam bekas yang boleh diurai dan pelajar dikehendaki membayar 50 sen untuk bekas tersebut,” jelas beliau sambil memberitahu mereka berjaya mengurangkan penghasilan sampah di kawasan sekolah dengan cara tersebut.



Hakikatnya, matlamat utama penganjuran program berkenaan adalah untuk meningkatkan kesedaran berhubung kepentingan menjaga alam sekitar di kalangan pelajar dan masyarakat setempat.

Perkara itu diakui oleh pelajar sekolah tersebut, Nur Farhana Atiqah Azhan, 17, yang memuji langkah yang diambil pihak sekolah.

“Melalui program ini, ia dapat memberi kesedaran kepada generasi muda khususnya dan masyarakat amnya supaya memikul tanggungjawab menghijaukan bumi.

“Seharusnya kita mendidik diri untuk membantu memulihara alam sekitar walaupun sumbangan itu kecil berbanding pencemaran yang berlaku ketika ini.

“Contohnya, kita boleh libatkan diri dalam aktiviti seperti kempen penanaman pokok anjuran pihak-pihak tertentu, kitar semula barangan yang telah digunakan dan sebagainya,” tutur Farhana ketika ditemui Kosmo!.

Perubahan iklim global

Menurut pelajar tingkatan dua, Pravena Shanmugam, 14, penganjuran program karnival eko sedemikian perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa.

Tambahan pula, dunia kini sudah terlalu banyak disajikan dengan pencemaran alam sekitar sekali gus menyebabkan perubahan iklim global.

“Dengan adanya persidangan mengenai alam sekitar yang dihadiri oleh tokoh-tokoh berkaitan, kita akan dapat pengetahuan untuk menjadi individu yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekeliling,” tegas Pravena yang kerap melibatkan diri dalam aktiviti kitar semula barangan.

Selain daripada persidangan dan gerai jualan, terdapat juga pameran alam sekitar yang disertai syarikat-syarikat korporat, demonstrasi penghasilan barang kitar semula, permainan dan persembahan istimewa dari Kumpulan Eco Band SMK (P) Sri Aman.

Program itu dilancarkan oleh Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pelajaran, Dr. Julaihi Bujang yang mewakili Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud.


Dalam pada itu, inisiatif yang dilaksanakan SMK (P) Sri Aman turut mendapat respons positif daripada pelbagai pihak. Antaranya Malaysian Nature Society (MNS) iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar yang memuji penganjuran program berkenaan.

“Kami mengucapkan sekalung tahniah kepada pihak sekolah di atas usaha yang dilakukan untuk meningkatkan kesedaran di kalangan pelajar sekolah mengenai isu alam sekitar,” kata wakil MNS, Nur Syuhada Farhany yang dipetik daripada buku program tersebut.


1 comment:

quimbyaber said...

Casino - Ridesharing Fare Estimates - Mapyro
Find the best deal for casinos in Ridesharing (Ridesharing) with Mapyro. Compare 영주 출장샵 your ride times and 경기도 출장샵 find the best rates 광명 출장안마 on your 부산광역 출장샵 ride. 진주 출장안마