BERANINYA! Hanya itu yang mampu diluahkan tatkala melihat gelagat pelajar berkonvoi pulang dari sekolah dengan menunggang motosikal masing-masing.
BERANINYA! Hanya itu yang mampu diluahkan tatkala melihat gelagat pelajar berkonvoi pulang dari sekolah dengan menunggang motosikal masing-masing.
Kelihatan dari jauh, masing-masing ingin menunjukkan kebolehan dan kemahiran mengendalikan motosikal dengan aksi berbahaya tanpa menggunakan topi keledar. Si pembonceng pula, sibuk bergurau dengan kawan berlainan motosikal tanpa memegang si penunggang untuk langkah keselamatan.
Melihat gelagat mereka, hati terdetik, sejauh mana ibu bapa mereka mengetahui apa yang sebenarnya dilakukan pelajar bermotosikal itu?
Jarak antara kawasan perumahan dengan sekolah yang sangat dekat mungkin menyebabkan ibu bapa berasa anak mereka dalam keadaan selamat walaupun menunggang motosikal tanpa menggunakan topi keledar dan tiada lesen.
Tetapi, mereka juga mungkin tidak sedar malang tidak berbau, apa juga boleh berlaku tanpa diduga.
Contohnya, kes kemalangan baru-baru ini membabitkan seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun maut bersama anak saudaranya selepas motosikal ditunggang bertembung sebuah lori.
Pada usia 14 tahun, dia sememangnya belum cukup umur untuk menunggang motosikal apatah lagi mempunyai lesen, tetapi sudah diberi kebenaran menghantar kakaknya ke pekan yang jaraknya tujuh kilometer dari rumah bersama anak saudaranya berusia dua tahun.
Persoalannya, wajarkah pelajar bawah umur diberi kebenaran menunggang motosikal? Ini kerana, syarat seseorang itu boleh menunggang motosikal serta mendapatkan lesen adalah pada usia 16 tahun dan ke atas.
Bagaimanapun, kini rata-rata pelajar yang masih di bawah umur sudah diberi kepercayaan dan kebenaran menunggang motosikal. Lebih mengejutkan, keberanian mereka menunjukkan aksi ganas seperti yang dilakukan Mat Rempit.
Siti Rahmah Jamaluddin, 45, berkata dia sememangnya tidak membenarkan anaknya menunggang motosikal tanpa lesen tetapi perkara itu tidak dapat dielakkan.
Ini kerana, menurutnya, walaupun tanpa kebenaran, anak-anak biasanya menunggang motosikal secara sembunyi tanpa ibu bapa sedari.
“Setiap anak punya kehendak serta mahu mencuba sesuatu yang baru dan biasanya, kegilaan mereka adalah menunggang motosikal.
“Apabila sudah minat, sekeras manapun kita larang, mereka tetap melakukannya tanpa kita sedari.
“Oleh itu, lebih baik kita merestui atau membenarkan mereka menunggang motosikal. Sekurang-kurangnya kita tahu apa mereka lakukan dan tahu keadaan motosikal ditunggangnya,” katanya.
Menurutnya, memberi kebenaran anak-anak menunggang motosikal dapat membantu dalam pelbagai hal di samping menyenangkan mereka ke sekolah.
“Jarak antara sekolah dan rumah bukanlah jauh, jadi dengan adanya motosikal, mereka senang untuk ke sekolah dan pulang awal ke rumah.
“Mereka juga boleh membantu dalam pelbagai hal jika boleh menunggang motosikal seperti membeli barangan dapur di kedai,” kata ibu empat anak lelaki itu.
Walaupun memberi kebenaran anaknya menunggang motosikal tanpa lesen, itu tidak bermakna Rahmah tidak menyayangi anaknya dan membiarkan mereka melanggar undang-undang jalan raya.
“Saya sedar, memberi kebenaran anak menunggang motosikal tanpa lesen adalah salah dan berbahaya.
“Oleh itu, saya sentiasa pastikan mereka menunggang motosikal dengan berhemah dan menggunakan topi keledar walaupun hanya ke kedai runcit yang hanya terletak 100 meter dari rumah.
“Selain itu, apabila genap saja usia anak 16 tahun, saya pastikan mereka mendapatkan lesen sekali gus sebagai hadiah hari jadi,” katanya.
Bagi bapa tiga anak, Mohd Zaidi Mohamed Alias, 50, dia sama sekali tidak membenarkan anaknya menunggang motosikal.
Menurutnya, pengalaman dialaminya 35 tahun lalu menjadi punca dia tidak membenarkan anaknya menunggang motosikal termasuk menjadi pembonceng.
“Walaupun motosikal adalah kenderaan yang cukup memberi kesenangan kepada pengguna untuk melakukan aktiviti harian, ia juga kenderaan yang sangat berbahaya.
“Cukuplah hanya saya yang merasa sakit dan sengsara serta terlantar di hospital kerana terbabit dalam kemalangan kerana menunggang motosikal, bukannya anak-anak,” katanya.
Zaidi tidak menafikan anak muda kini tetap akan menunggang motosikal walaupun dilarang keluarga seperti yang dilakukan anaknya.
“Sebagai ibu bapa, kita punya kuasa dan pengaruh terhadap anak. Walaupun mereka berkeras mahu menunggang motosikal, kita masih boleh berbincang dengan mereka dan menggantikan motosikal dengan pelbagai benda lain yang mereka inginkan.
“Kita juga perlu tegas dan tidak mengikut apa saja yang diinginkan kerana larangan itu untuk kebaikan mereka,” katanya.
Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia, Hamzah Masri, berkata membenarkan anak yang tidak punya lesen menunggang motosikal adalah satu kesalahan.
“Menjadi satu kesalahan seseorang itu membenarkan orang lain yang tidak punya lesen memandu kenderaan. Jika didapati bersalah, pemilik kenderaan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Oleh itu, kesatuan berharap pemilik kenderaan lebih berhati-hati dan tidak sewenang-wenangnya membenarkan kenderaannya dipandu orang lain,” katanya.
Dengan kesedaran dariada pemilik kenderaan, isu berkaitan permasalahan ini boleh dibanteras dan ia tidak akan memberikan masalah kepada pemilik kenderaan di belakang hari,” katanya.
Selain itu, menurutnya, kesatuan berharap ibu bapa lebih bertanggungjawab menangani masalah penggunaan motosikal.
“Membenarkan anak menunggang motosikal tanpa lesen bagi menyelesaikan sesuatu perkara bukan langkah terbaik kerana ia membabitkan undang-undang.
“Ia juga salah sama sekali. Jadi, pastikan anak mempunyai lesen memandu yang sah barulah benarkan menggunakan kenderaan.
“Tindakan itu boleh mengelakkan ibu bapa berdepan masalah di masa akan datang dan tidak menyusahkan anggota masyarakat lain terutama isu penggunaan motosikal di kalangan pelajar sekolah di bawah umur,” katanya.
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
08 June 2009
Risiko mati katak
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment