Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






29 June 2009

Dunia unik serangga



















































Serangga daun kering, rama-rama terbesar antara spesimen ratusan tahun di Muzium Negara

Kumbang jenis Macrodontia Cervicornis.
MEMILIH pembangunan dan kemodenan bererti ada yang harus dikorbankan. Selain bukit kian terhakis, hutan makin gondol dan sungai menghimpun sampah-sarap, habitat haiwan yang menghuni di dalamnya turut diancam bahaya kepupusan.

Selain haiwan liar, serangga dan unggas penghuni tetap hutan dan belukar semakin susut bilangannya. Jika sebelumnya, spesis seperti belalang, pepatung, kumbang, riang-riang dan sebagainya biasa ditemui meskipun di kawasan sekitar rumah, generasi kini, sekadar mengenali nyamuk dan lalat.

Bahaya kepupusan membangkit kesedaran Muzium Negara untuk mengabadikan dan menyimpan koleksi serangga melalui pameran pameran Kenali Serangga (KS), baru-baru ini.

“Spesimen yang ada dalam simpanan muzium termasuk spesies serangga seperti kumbang dan rama-rama yang berhadapan bahaya kepupusan. Jika muzium tidak mengambil langkah menyimpannya, kemungkinan besar generasi akan datang tidak kenal sama sekali rupa dan bentuk serangga ini,” kata Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Ibrahim Ismail.

Pameran berkenaan berjaya menghimpunkan kira-kira 200 spesis serangga termasuk 15 ekor rama-rama terbesar di dunia, Rajah Brooke.

Rama-rama berkenaan yang disenaraikan di bawah order Lepidoptera mempunyai sayap bersisik, berwarna dengan corak yang menarik dan memukau pandangan.

“Namun, warna kepak spesis betinanya lebih menarik berbanding rama-rama jantan yang mempunyai sayap berwarna pudar,” katanya yang berharap pameran berlangsung seminggu yang berakhir kelmarin, dapat mendedahkan kepada umum pengetahuan terperinci mengenai serangga berkenaan.

“Jika sebelumnya, kita hanya berpeluang menatap rama-rama sama ada di televisyen, buku dan majalah. Menerusi usaha seperti pameran ini, pengunjung dapat menyaksikan secara dekat serangga itu untuk menghayati serta menikmati keindahan rupa serta warnanya.

“Ini secara tidak langsung memberi pengalaman baru dan keseronokan kepada pengunjung,” ujarnya.

Selain rama-rama, pameran itu turut menghimpunkan 58 ekor kumbang pelbagai spesis, 32 ekor riang-riang dan selebihnya serangga daun seperti belalang dan mentadak, serangga ranting, pepatung, belalang, tebuan, penyengat serta tidak terkecuali labah-labah gergasi yang menjadikan jumlah keseluruhan 200 ekor.

Dalam sekian banyak spesis haiwan comel itu, kumbang diisytiharkan terbesar di dalam kelas serangga. Dikenali dengan nama saintifik Coleoptera, kumbang dikenal pasti melalui sayap hadapannya yang diubahsuai menjadi keras dan tegar digelar elytra.

Kelip-kelip atau kunang-kunang, kumbang ketik, bubuk, kumbang viola dan kumbang rusa antara ahli kumpulan ini yang dipertontonkan kepada orang ramai.

Pengunjung juga berpeluang melihat dari dekat Cicadidae iaitu salah satu famili riang-riang yang tergolong dalam order hemiptera.

“Riang-riang adalah serangga yang menghasilkan bunyi bingit dan nyaring serta tinggal di hutan. Ia diakui sebagai serangga mengeluarkan bunyi paling bising di dunia,” kata Ibrahim.

Keunikan dan misteri dunia serangga semakin enak diterokai melalui kehadiran belalang mempunyai sesungut pendek dibandingkan tubuhnya.

Belalang dilabelkan di bawah nama saintifik Acrididae yang memiliki organ pendengaran (timpana) di bahagian sisi ruas abdomen pertama dan ruas kaki ketiga ini turut dijadikan sajian popular sesetengah negara di dunia.

Turut dipamerkan, kumpulan belalang yang lazimnya ditemui di kediaman; mempunyai kaki belakang besar dan panjang bagi memberi daya tujahan hadapan yang kuat ketika serangga ini melompat.

Sementara, kecekalan untuk hidup ditunjukkan oleh spesis serangga yang mampu melakukan penyamaran melalui bentuk serta struktur tubuhnya.

























Serangga ranting yang memiliki bentuk badan mirip ranting berupaya mengelirukan pemangsa melalui perilaku mendiamkan diri di tempat atau habitat ia berehat.

Manakala, serangga daun yang mempunyai struktur tubuh mirip daun mampu mengelakkan diri dari dikesan melalui pergerakannya yang seolah-olah daun ditiup angin.

Ibrahim berkata, semua spesimen dipamerkan sudah sekian lama berada dalam simpanan muzium bahkan ada di antara spesis serangga berkenaan berusia lebih seratus tahun.

“Serangga ini bertahan lama kerana melalui prosedur pengawetan yang begitu baik,” katanya.

Teknik serta kaedah pengawetan serangga turut didedahkan kepada pengunjung oleh pakar serta pegawai bertauliah.

“Usaha ini bukan saja memberikan ilmu bahkan pengalaman baru yang tidak mungkin diperoleh di mana-manapun,” katanya.

Oleh Bennie Zie Fauzi
bennie@bharian.com.my

No comments: