Prakash Suriya Murthy yang cacat penglihatan tidak menjadikan kekurangan diri sebagai alasan untuk mencapai matlamat hidup yang lebih sempurna.
Oleh SUBASHINI RAJANDRA
subashini.rajandra@kosmo.com.my
SEBAGAI seorang penulis, kesilapan dan kesalahan yang tidak disengajakan boleh berlaku. Hakikatnya, sebagai insan biasa, kita tidak dapat lari daripada kekurangan yang cuba disembunyikan. Ada pula sesetengah orang menyedari dan memperbaiki kekurangan yang ada dengan mempelajari perkara-perkara baru yang berlaku di sekeliling.
Prakash Suriya Murthy, 27, dari Cheras, Kuala Lumpur membuktikan bahawa insan cacat sepertinya mampu menongkah arus kehidupan seperti individu normal. Tuan empunya badan ini juga aktif membangunkan masyarakat cacat penglihatan. Sumbangan itu dilakukannya dengan memperkemaskan penterjemahan buku falsafah hidup bertajuk Thirukural daripada bahasa Tamil ke bahasa Melayu.
Ditulis oleh Thiruvalluvar kira-kira 2,000 tahun lalu, buku ini membicarakan mengenai sifat kasih mengasihi, hubungan di antara suami dan isteri, anak beranak, kerjaya, kewangan dan sebagainya. Murthy kini menunggu penerbitan buku setebal 200 muka surat itu.
"Saya mengenali Murthy ketika dia bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selama enam bulan di bawah program anjuran Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB). Saya tidak ragu-ragu dengan kemahirannya untuk kerja-kerja penterjemahan."
"Bak kata orang, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Beliau telah mengaplikasikan bakatnya di saluran yang betul," kata Norhisyam Karno, bekas Pegawai Perancang Bahasa DBP yang kini berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah di Pejabat Daerah dan Tanah Rompin, Pahang.
Murthy disahkan menghidap retina blastoma iaitu sejenis penyakit kanser mata ketika umurnya dua bulan.
Kesannya, mata kanan Murthy perlu dibedah segera bagi mengeluarkan bola matanya yang rosak.
"Oleh kerana mata kiri turut diserang sel kanser, ia tidak mampu berfungsi dengan baik. Rawatan laser mahupun penggunaan bola mata yang baru, tidak dapat menjanjikan harapan yang cerah," ujar Prakash ketika ditemui di Perpustakaan Utama, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur baru-baru ini.
Layanan sama rata
Beliau berterima kasih kepada ibu bapanya yang tidak pernah berputus asa. Tidak membiarkannya merana sebatang kara, Murthy diberikan dengan segala kemudahan asas. Beliau dihantar ke Sekolah Rendah Pendidikan Khas, Jalan Batu, Kuala Lumpur diikuti dengan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak, Kuala Lumpur.
MASALAH cacat penglihatan boleh ditangani sejak kecil lagi.
Murthy memperoleh Pangkat 1 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 5 prinsipal penuh ketika di tingkatan enam. Ketika menunggu keputusan permohonan masuk ke universiti, Murthy bekerja dengan Tanco Resort sebagai wakil pemasaran selama tiga bulan.
"Walaupun ibu saya seorang suri rumah manakala bapa seorang pemandu lori di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), mereka melayan saya seperti seorang anak yang normal. Saya tidak dimanjakan atau didiskriminasi.
"Mereka mahu saya berdikari dan menyemai sikap bertanggungjawab terhadap diri sendiri," jelasnya yang mempunyai seorang adik perempuan yang normal dan kini bekerja sebagai pegawai bank.
MURTHY tidak banyak beza daripada insan lain yang sempurna anggota badannya.
Murthy ditawarkan program Seni Persembahan Drama tetapi dalam tempoh dua minggu, dekan fakulti mencadangkan supaya beliau menukar program kerana tidak sesuai dengan keadaan fizikalnya.
Akhirnya, tuah memihak kepada diri Murthy apabila beliau diletakkan di Fakulti Pengajian Melayu untuk program Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Melayu. "Sudah separuh jalan mengikuti kursus tersebut, saya mula sedar bahawa sejak kecil, saya mempunyai kemahiran menterjemah apa sahaja yang didengar dalam bahasa Tamil ke dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu.
"Saya menamatkan pelajaran tanpa menghadapi masalah. Selain itu, kemudahan bilik Karel yang disediakan di perpustakaan, banyak membantu saya menyiapkan tugasan dalam sebuah ruang peribadi," katanya.
Kata Murthy, golongan cacat penglihatan sepertinya diberi borang bagi mendapatkan khidmat siswazah membaca dan merakamkan nota bertulis. JAWS, sebuah perisian komputer khas menjadi teman dan mata yang menjanjikan pulangan pendapatan yang berterusan
JAWS, sebuah perisian komputer membantu Murthy menjalankan tugasan penterjemahan.
Sementara menunggu tawaran Ijazah Lanjutan Perterjemahan di UM pada tahun 2007, Murthy giat mencari klien dan kerja-kerja penterjemahan dari bahasa Tamil ke bahasa Melayu atau bahasa Inggeris dan sebaliknya. Bagaimanapun, ramai yang menolak kerana Prakash cacat penglihatan.
Memandangkan teknik bertemu kurang berkesan, Murthy mencuba strategi baru iaitu menelefon klien yang berpotensi supaya menghantar kerja-kerja penterjemahan melalui e-mel. Jika perlu berjumpa, beliau mengambil inisiatif pergi sendiri ke pejabat klien dari Kuala Lumpur ke Petaling Jaya sehinggalah ke Puchong, Selangor.
"Ada yang agak terkejut melihat saya seorang yang cacat penglihatan. Tetapi oleh kerana mereka berpuas hati dengan hasil kerja saya sebelum ini, saya diberi kerja sambilan dari semasa ke semasa," katanya yang mempunyai empat orang klien tetap dan lima orang klien sementara.
Menepati masa
Antara topik terjemahan yang dikendalikan oleh Murthy ialah perundangan, psikologi, buku cerita, keagamaan, prinsip hidup dan lain-lain. Suresh Maniam, salah seorang klien beliau sejak awal tahun ini melahirkan rasa gembira melihat komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan oleh Murthy.
"Orang yang sempurna anggota fizikal pun belum tentu dapat menunjukkan kesungguhan," ujar Maniam yang sejak sekian lama mencari seorang pakar penterjemah yang arif dalam isu-isu keagamaan dan budaya untuk disiarkan di laman sesawang.
Merupakan seorang bendahari di sebuah kuil Hanuman di Brickfields, Kuala Lumpur, Suresh terlebih dahulu menguji kebolehan Prakash. Ujian itu dilakukan bukan kerana kecacatannya tetapi bagi memastikan hasil kerjanya sesuai dengan pembaca di peringkat antarabangsa.
"Saya terkejut membaca artikelnya dengan kesalahan yang minimum. Justeru, saya mahu terus menjalin kerjasama dengan golongan sepertinya pada masa akan datang dan tidak kisah dengan soal pembayaran," kata Maniam.
Haryati Mohd. Taha, pemilik syarikat penterjemahan Medatta Creations, merupakan klien baru yang menghantar kerja penterjemahan dari bahasa Tamil ke bahasa Inggeris. Haryati juga tidak menyangka bahawa orang yang berbual dengannya selama ini cacat penglihatan.
"Itu tidak penting bagi saya. Yang penting, dia dapat menghantar hasil kerjanya tepat pada masa dan lebih-lebih lagi, menepati kehendak saya. Saya menghargai orang sepertinya," ujar Haryati yang mengupah seramai 50 penterjemah bebas termasuk seorang yang cacat jari.
Di sisi Murthy pula, beliau mengutamakan ketepatan masa dan kualiti kerja yang kemas agar mengekalkan kedudukannya di sebuah industri yang menyaksikan persaingan sengit.
"Dalam hidup ini, nak makan pun susah kalau tidak ada duit. Susah bukan untuk orang cacat sahaja, tetapi sekiranya kita melepasi tembok itu, semuanya mudah ditangani.
"Sebab itulah, saya tidak mahu menjadi seorang guru, pemuzik atau tukang urut badan. Itu semua sudah sinonim dengan golongan seperti saya. Saya mahu mencapai sesuatu yang berbeza. Beri peluang kepada kami untuk mengenali bakat kami. Bukan simpati!" tambah Prakash yang memandang tinggi terhadap bekas Presiden India, Dr. A.P.J Abdul Kalam dan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Merupakan seorang ahli jawatankuasa Kelab Golongan Kurang Upaya di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, beliau kini membuat tesis tentang aspek budaya dalam penterjemahan buku Harry Porter.
Kalau tiada aral melintang, Murthy mahu meneruskan pengajian di peringkat ijazah Doktor Falsafah sambil mengeluarkan buku Braille kedua bahasa Tamil yang diterjemahkan ke bahasa Melayu. Buku Braille itu bakal menghimpunkan peribahasa Tamil dari suasana desa sehingga kawasan bandar.
Selain itu, Murthy juga menanam cita-cita untuk membuka agensi penterjemahan yang menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka yang cacat penglihatan dan berpenglihatan.
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
10 June 2009
Cacat penglihatan bukan halangan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment