Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






22 June 2009

Membawa Internet kepada anda






















Memasuki tahun ke-10 pengenalan perkhidmatan Perpustakaan Internet Bergerak, ia bukan sahaja menjadi gedung ilmu kepada kanak-kanak, bahkan orang dewasa.
BERHENTI di sebuah balai raya, beberapa budak kampung mula mengerumuni sebuah bas bersaiz sederhana yang telah diubahsuai. Perkataan Perpustakaan Bergerak yang tertera pada bahagian tepi badan bas sudah jelas menggambarkan isi dalam yang dibawa kenderaan itu.

Sambil masing-masing memegang sekeping kad keahlian, bahan bacaan yang biasanya sedikit berbeza berbanding dengan apa yang disediakan di perpustakaan sekolah, menyebabkan ramai pelajar meminjam buku di perpustakaan mobil itu.

Sebaik sahaja mendapat buku pilihan, kanak-kanak ini akan turun dari bas dan pulang ke rumah masing-masing dengan hati yang girang. Ini antara memori bagi kebanyakan budak kampung atau pelajar sekitar 10 atau 20 tahun lalu bersama sebuah bas bernama Perpustakaan Bergerak.

Awal tahun 2000, apabila ledakan teknologi maklumat berlaku di seluruh dunia tidak terkecuali di negara ini, Perpustakaan Bergerak di kebanyakan negeri juga mengalami transformasi. Kerajaan negeri Melaka sebagai contoh melengkapkan Perpustakaan Bergerak Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka dengan kemudahan Internet pada 2001.

Bagaimanapun, menjadi antara Perpustakaan Bergerak paling awal melengkapkan bas mobil mereka dengan kemudahan melayari Internet adalah Perpustakaan Kuala Lumpur yang memulakannya pada tahun 2000.


Menerusi Perpustakaan Internet Bergerak atau lebih dikenali sebagai Mobile Internet Unit (MIU), gedung ilmu mobil itu menyambut ulang tahunnya yang ke-10 pada tahun ini.

Menurut Ketua Unit Komunikasi Korporat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Anwar Mohd. Zain, idea mewujudkan MIU dicetuskan oleh pihak MIMOS Berhad (Mimos) tetapi dilaksanakan oleh Perpustakaan Kuala Lumpur yang terletak di Jalan Raja, Kuala Lumpur.

"Kami tidak teragak-agak bekerjasama dengan Mimos kerana usaha ini dapat melahirkan masyarakat Malaysia yang celik teknologi maklumat (IT).

"Pada peringkat awal, MIU hanya menggunakan dua buah bas yang telah diubahsuai. Namun melihat sambutan yang menggalakkan daripada pihak sekolah dan kawasan komuniti, kami menambah dua buah bas yang baru," jelas Anwar yang turut memberitahu Perpustakaan Kuala Lumpur bakal mengeluarkan dua buah bas yang baru pada Julai ini dan dijangka memulakan operasi pada Mac 2010. Penambahan itu menjadikan bilangan MIU sebanyak enam unit.
Memandangkan anggaran keluasan kedua-dua jenis kenderaan ini adalah 8.2 kaki (lebar) dan 31 kaki (panjang), antara enam hingga tujuh buah meja untuk komputer riba diletakkan di dalam perpustakaan mobil itu, selain kira-kira 3,000 naskhah buku. Rutinnya, perpustakaan bergerak ini beroperasi di sekitar sekolah Kuala Lumpur, mengikut saranan Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Tidak ketinggalan, jentera itu juga mengunjungi kawasan perumahan di sekitar Kuala Lumpur yang telah memohon untuk mendapatkan khidmatnya dari Perpustakaan Kuala Lumpur.

Mengikut jadual lokasi perkhidmatan MIU, biasanya, perpustakaan bergerak itu singgah dua minggu sekali di sekolah dan sebulan sekali di kawasan perumahan.

Ini kerana mereka menyasarkan kumpulan pengunjung yang terdiri daripada pelajar sekolah, guru-guru dan komuniti masyarakat di sesebuah kawasan perumahan.

Kelompok komuniti pula terbuka kepada kanak-kanak, remaja, ibu bapa dan warga emas yang ingin merasai pengalaman menerokai dunia IT.

Walaupun kos proses pengubahsuaian sesebuah bas mencecah RM400,000 dan dilengkapi dengan peralatan yang canggih dan terbaik, tetapi keahlian perkhidmatan ini adalah percuma.

"Setiap pengunjung diberi masa 30 minit untuk mengakses Internet. Segala bahan rujukan atau info yang diperoleh menerusi Internet boleh dicetak di mesin cetakan laser berwarna pada harga 50 sen hingga RM1 sekeping.

"Bagi kanak-kanak atau individu yang tidak mengetahui kaedah mengakses Internet, jangan bimbang kerana terdapat dua kakitangan bertugas di setiap unit MIU," ujar Anwar yang mengulas mengenai staf yang akan sentiasa memantau pengguna di dalam MIU.

Kehadiran staf itu bukan sekadar menguruskan proses peminjaman buku, malah turut memerhatikan para pelajar dan pengunjung ketika melayari Internet.

Ini kerana ahli MIU dilarang melayari laman sesawang seperti permainan komputer atau laman rakan sosial (Facebook, My Space, Friendster).

Sebaik-baiknya, mereka digalakkan melayari bahan-bahan yang boleh dijadikan rujukan peperiksaan atau maklumat berguna.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Perpustakaan Kuala Lumpur, Cawangan Taman Tun Dr. Ismail, Rosidah Ismail, menjelaskan, MIU banyak mendatangkan impak positif kepada masyarakat.

"Selain menyediakan perkhidmatan percuma, ia dapat menyemai minat membaca masyarakat. Lebih menarik lagi, kanak-kanak dan golongan remaja boleh mempelajari penggunaan komputer dengan cara yang betul," ujar Rosidah kepada Kosmo!.

Beliau turut menyifatkan kehadiran MIU di kawasan perumahan dapat mengelakkan pelajar cenderung memilih kafe siber yang tiada hala tujunya.

Ini terbukti apabila sejak kebelakangan ini, Rosidah mendapati jumlah keahlian Perpustakaan Internet Bergerak meningkat sebanyak 30 peratus.

"Peratusan tersebut menunjukkan rakyat tempatan sudah mula berlumba-lumba menimba ilmu menerusi teknologi maklumat dan bahan bacaan.

"Kunjungan kami selama empat jam di sekolah dan kawasan komuniti turut dimeriahkan dengan penganjuran kelas komputer. Staf kami akan mengajar ahli mengenai akses Internet dan penggunaan pengisian asas komputer seperti microsoft word, power point dan excell," tutur Rosidah yang turut memberitahu setiap MIU apabila sampai ke lokasi, enjin bas atau trak akan dimatikan.

Namun, pengunjung masih boleh terus menggunakan komputer dalam suasana sejuk kerana perpustakaan itu menerima bekalan tenaga elektrik daripada generator yang diisi dengan minyak diesel untuk tempoh tiga hari sekali.

Di samping itu, perkhidmatan Perpustakaan Internet Bergerak turut menyediakan kemudahan projektor dengan layar untuk tayangan, televisyen LCD, pemain DVD dan lapan buah kerusi, dua buah meja tambahan serta atap yang dipasang di luar bas bagi aktiviti membaca di luar.

"Ia sungguh cantik dan moden. Apabila saya membaca buku, anak saya, Dhanesh Wigneswaran, 9, berpeluang melayari Internet menerusi komputer riba yang terdapat di dalam perkhidmatan ini.

"Sebagai pengunjung setia perpustakaan Internet, saya amat kagum dengan kewujudan perpustakaan berkonsepkan IT yang mobil. Ini membuktikan Malaysia mampu mempraktikkan program yang turut dilakukan oleh perpustakaan di luar negara," puji Jenniffer Francis, 42, yang membawa anaknya singgah ke Perpustakaan Internet Bergerak
Jenniffer ditemui ketika Perpustakaan Internet Bergerak berhenti di Pusat Komuniti Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Seorang pengunjung kecil, Soh Zoe, 6, yang petah berkata-kata, memberitahu, dia bukan sahaja seronok mendapatkan buku cerita bahasa Inggeris, tetapi pada masa yang sama, berpeluang belajar komputer dan cara melayari Internet.

"Tidak sangka sebuah bas boleh diubahsuai menjadi perpustakaan. Selain membaca, saya juga boleh belajar mencari bahan menerusi Internet," ujarnya.


No comments: