Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






13 June 2009

Buku sifir dalam poket



















Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
saphilla.isa@kosmo.com

Kerana sumbangannya yang tidak ternilai dalam bidang pendidikan, Bibi Zuhara masih dihargai walaupun sudah bersara. Baru-baru ini, beliau ditabalkan Tokoh Guru Wilayah Persekutuan Putrajaya 2009.

CUBA bayangkan anda seorang guru besar sekolah. Apa perasaan anda apabila ada ibu bapa sanggup menukarkan anak-anak mereka ke sekolah lain, lantaran keputusan peperiksaan murid yang semakin buruk di sekolah yang anda ketuai.

Situasi ini turut menyebabkan rekod kecemerlangan sekolah terjejas sehingga nama sekolah tercicir daripada perhatian senarai sekolah terbaik.

Itulah cabaran yang didepani Datin Bibi Zuhara Dilbarkhan sewaktu bergelar guru besar di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Seksyen (SS) 19, Subang Jaya, Selangor pada awal tahun 2000.

Namun, hidup berpegang pada pepatah azimat, 'Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih', Bibi Zuhara yang juga seorang guru Matematik melihat semua itu sebagai satu cabaran untuk dirinya mendidik anak bangsa.

Berkat kepimpinan dan sokongan padu guru-guru di sekolah itu, peratusan murid yang memperoleh kesemua A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) melonjak daripada 78 peratus kepada 99 peratus.

Keputusan itu berjaya menaikkan kembali reputasi sekolah yang telah menurun sehingga tiba-tiba nama SRK SS 19 mula menjadi sebutan ramai.

Daripada sebuah sekolah tercicir yang kemudiannya muncul sebagai sekolah cemerlang, lebih manis SRK SS 19 diletakkan dalam senarai antara 40 buah sekolah terbaik di Malaysia yang mencapai keputusan cemerlang dalam UPSR dari tahun 2001 hingga 2005.

Malah, berkat kepimpinan beliau di SRK SS 19, Kementerian Pendidikan menganugerahkan sekolah tersebut Sekolah Harapan Negara pada tahun 2001, seterusnya memperkasakan sekolah itu di bawah Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PPIP).

Yang pasti, curahan tenaga, bakti dan pengorbanan sepenuh jiwa Bibi Zuhara bukan hanya di SRK SS 19.

SRK Seafield, Subang Jaya; Sekolah Rendah Rakyat, Kuching, Sarawak dan terakhir di SRK Precint 11 (3), Putrajaya muncul antara beberapa sekolah yang banyak mengalami perubahan terutama dalam rekod kecemerlangan murid hasil kepimpinan Bibi
Bahkan, kesungguhan anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu sebagai pendidik sebenarnya bermula sejak beliau menjadi guru Matematik lagi.

Semasa Bibi Zuhara menjadi guru lagi, beliau begitu bersemangat mengajar dengan mengkhusus subjek Matematik, Bahasa Melayu dan Sains.

Memulakan kerjaya guru pada usia 21 tahun, antara sekolah yang pernah menerima sentuhan khidmatnya adalah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Inggeris) Hamzah, Machang, Kelantan (1973 - 1976); Sekolah Rendah Bandar Jerantut, Pahang (1976 - 1983); Sekolah Rendah Beserah, Kuantan, Pahang (1983 -1984) dan Sekolah Rendah Bukit Sekilau, Kuantan, Pahang (1984-1986).

Selain itu, beliau juga pernah mengajar di Sekolah Kebangsaan Sri Subang Seksyen 14, Petaling Jaya, Selangor (1987 - 1997) dan SRK Seksyen 9, Shah Alam, Selangor (1998 - 1999).

Rahsia kejayaan beliau yang juga isteri kepada bekas pesara Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (Senior Asistan Komisioner) itu adalah dengan mewajibkan semua murid daripada darjah satu hingga enam mempunyai buku sifir di dalam poket baju atau seluar sebagai jalan usaha untuk mereka menghafal sifir.

Malah, beliau sanggup mencetak beratus-ratus buku sifir kecil kerana ingin melihat kesemua muridnya meminati Matematik dan seterusnya cemerlang dalam subjek tersebut.

"Setiap kali selepas perhimpunan, saya akan bertanya sifir kepada setiap murid.

"Murid yang tidak dapat menjawab akan didenda. Bagi yang dapat menjawab pula, akan diberikan hadiah. Justeru, ke semua murid akan sentiasa bersedia setiap kali sesi perhimpunan bermula," katanya yang berjaya melonjakkan nama sekolah melalui strategi itu.

Bukan itu sahaja, ibu kepada tiga cahaya mata ini turut mengendalikan kelas tambahan bagi murid yang lemah dalam subjek Matematik dan Sains.

"Ramai murid terkejut, selain terpaksa menggunakan buku sifir kecil sebagai panduan memandangkan ada di antara mereka sebelum ini, tidak suka subjek Matematik yang dianggap sukar.

"Namun, masalah itu tidak berpanjangan apabila mereka dapat menguasai subjek ini dengan baik, sekali gus membolehkan prestasi subjek Matematik naik secara mendadak," katanya yang bersara sebagai guru selepas menabur bakti dan mengabdikan diri dalam bidang yang dicintainya itu selama 33 tahun.

Jelasnya, kebanyakan murid yang lemah dalam subjek Matematik juga adalah disebabkan mereka tidak menguasai sifir. Mentaliti mereka juga sentiasa mengatakan bahawa subjek Matematik adalah susah tetapi sebenarnya tidak.

Apa yang menakjubkan, kesemua sekolah yang diterajui dan diajar oleh Bibi Zuhara mendapat keputusan cemerlang dan menjadi sekolah terbaik.

Kerana itulah juga, beliau menerima anugerah Guru Cemerlang sebanyak lima kali berturut-turut.

Bekas lulusan Maktab Perguruan Melayu Perempuan Melaka itu, berkata, murid yang lemah tidak boleh terus dimarahi, sebaliknya mereka perlu diajar mengenai cara penguasaan yang betul.

"Itulah sebahagian rahsia kejayaan saya, selain semangat berpasukan yang ditonjolkan guru sekolah dalam penyediaan kelas tambahan dan kelengkapan lain.

Hakikatnya, kecemerlangan sebenar berpunca daripada diri murid itu sendiri apabila mereka bertungkus-lumus mengulang kaji pelajaran menjelang musim peperiksaan," katanya.

Walaupun telah bersara, semangat Bibi Zuhara untuk memberikan ilmu kepada anak-anak bangsa tidak pernah surut dari fikirannya.

Kerana sumbangan besarnya itu, sempena Hari Guru 2009 pada Mei lalu, beliau dianugerahkan Tokoh Guru Wilayah Persekutuan Putrajaya 2009.



No comments: