KELETAHNYA sama seperti anak kecil berusia dua tahun yang lain namun kepintarannya mengenali lebih 100 negara di peta dunia nyata mengagumkan sesiapa saja.
KELETAHNYA sama seperti anak kecil berusia dua tahun yang lain namun kepintarannya mengenali lebih 100 negara di peta dunia nyata mengagumkan sesiapa saja.
Lantas, tidak hairan jika Lilly Gaskin sering memeriahkan beberapa rancangan bual bicara seperti Oprah dan Rachel Ray malah, aksi comelnya juga boleh ditonton di YouTube dengan tontonan melebihi empat juta pengunjung.
Daripada sebesar-besar negara sehinggalah negara kecil yang agak tersorok, Lilly dari Utah, Amerika Syarikat hanya perlu mengambil masa beberapa saat untuk mengenal pasti lokasinya pada peta.
Ibu bapa Lilly mula mengesan kemahiran anaknya itu ketika bapa saudara Lilly ke Taiwan. Si kecil itu ditunjukkan lokasi Taiwan pada peta dan Lilly yang baru berusia kira-kira setahun setengah ketika itu mula menghafal kedudukan pelbagai negara.
Bapa Lilly, James dan ibunya, Nikki, menyatakan anak mereka gemar mengulang perkataan yang didengarinya. Pasangan itu tidak tahu bagaimana Lilly boleh menghafal dengan baik pada usia begitu muda namun mereka berasa ia disebabkan masa yang diluangkan terutama Nikki yang banyak membaca padanya sejak si kecil itu di dalam kandungan.
Apapun, pasangan yang mempunyai seorang lagi anak perempuan itu turut bimbang tanggungjawab mereka sebagai ibu bapa untuk menyediakan Lilly dengan pendidikan sebaik mungkin.
"Saya fikir satu hari nanti, ia sangat sukar bagi kami untuk menyaingi keupayaannya," kata Gaskin.
Bagi Nikki, kebanyakan kanak-kanak punya keupayaan tersendiri yang mungkin tidak diteroka tetapi jika ibu bapa menunjukkan minat terhadap kecenderungan anak mereka, bakat si kecil itu pasti menyerlah.
Profesor Psikologi Universiti Stanford, Carol Dweck, yang mengkaji pembangunan kanak-kanak berkata, penghafalan bukanlah tanda seseorang itu pintar.
Katanya, masyarakat tidak dapat mengagak kewujudan golongan pintar di masa depan. Malah, Thomas Edison dan Albert Einstein bukanlah kanak-kanak pintar waktu mereka kecil tetapi minat mendalam dalam diri mereka membolehkan dua individu itu bergelar manusia pintar.
Bagaimanapun, penulis buku "Mindset: The New Psychology of Success ini mengakui kemahiran ingatan yang ditunjukkan Lilly nyata mengagumkan dan luar biasa.
Cuma, dia mengingatkan keadaan sedemikian mungkin bukan sesuatu yang boleh digelar bakat luar biasa.
"Mereka yang berbakat luar biasa adalah seseorang yang mempunyai pemahaman mendalam terhadap sesuatu perkara seperti angka, huruf dan muzik. Mereka lazimnya berfikir dalam kaedah baru serta menghasilkan ciptaan," katanya.
Baginya, seseorang seperti Picasso atau Mozart yang menggubah lagu pada usia lima tahun dianggap kanak-kanak pintar yang tulen atau Tiger Woods yang menyerlah pada usia dua tahun.
"Menghafal saja tidak mencukupi. Memahami konteks dan maksud sesuatu perkara itu yang menunjukkan kepintaran sebenar," katanya.
Lilly mungkin sekadar menghafal biarpun kemampuannya memang mengagumkan namun di pelbagai pelosok dunia, masyarakat masa kini nyata tidak ketandusan kanak-kanak yang benar-benar menunjukkan kepintaran dan dilahirkan dengan pelbagai bakat luar biasa.
Kishan Shrikanth hanya berusia 13 tahun namun sudah dianggap 'veteran' dalam industri filem India.
Pada 2006, dia tersenarai sebagai pengarah filem termuda dalam Guinness Book of Records menerusi filemnya C/O Footpath yang berkisar mengenai kanak-kanak jalanan yang tiada alamat rumah tetapi hanya memiliki tapak kaki di bandar besar India.
Ketika berumur enam tahun, dia melihat kanak-kanak kawasan setinggan menjual akhbar di bawah tiang lampu isyarat lantas bertanyakan bapanya mengapa mereka tidak ke sekolah.
Apabila bapanya menjelaskan bahawa kanak-kanak itu tidak punya ibu bapa, hatinya cukup tersentuh.
Kishan kemudian menulis cerita pendek mengenainya yang kemudian diceritakan kepada bapanya.
Rakan bapanya mencadangkan supaya Kishan sendiri yang mengarahkan filem itu lantas pada usia 10 tahun, dia bukan saja mengarahkan filem pertamanya malah melonjakkan namanya di persada Bollywood.
Kishan turut menerima anugerah pada Festival Filem Antarabangsa Giffoni di Itali.
Nancy Yi Fan, 16, pula langsung tidak mampu berbahasa Inggeris ketika mula menjejakkan kaki ke Amerika Syarikat dari Beijing bersama ibu bapanya.
Ketika itu usianya tujuh tahun namun siapa menyangka, enam tahun kemudian, dia bergelar penulis paling muda dengan hasil karya paling laris di pasaran dalam sejarah syarikat penerbitan Harper Collins.
Nancy mula menulis novel fantasinya, Swordbird, ketika berusia 10 tahun sewaktu mempelajari topik Revolusi Amerika dan serangan pengganas di sekolahnya.
Unggas besar penuh magis lahir daripada inspirasi mimpinya yang kemudian ditulis untuk melahirkan kepentingan serta pemahaman terhadap keamanan dan kebebasan.
Dua tahun berikutnya, dengan sokongan ibu bapa, rakan dan guru, cerita mengenai keamanan dan konflik itu berkembang menjadi sebuah novel.
Nancy kemudian menghantar manuskripnya menerusi e-mel ke syarikat penerbitan yang ditemuinya dalam talian. Beberapa minggu kemudian, bukunya diterima untuk diterbitkan dan Swordbird tersenarai sebagai buku paling laris New York Times.
Sejak awal lagi, Nancy sedar usahanya umpama satu perjalanan kreatif yang panjang.
"Saya tahu bukan mudah menulis perkara seperti keamanan dan kebebasan yang tidak mampu dinyatakan hanya menerusi beberapa perkataan kerana ia sangat mendalam. Tetapi saya sangat optimis dan mencurahkan idea terbaik saya untuk tulisan ini," katanya.
Ethan Bortnick, 8, juga dianggap kanak-kanak berbakat luar biasa dalam permainan piano. Dia mencipta sejarah sebagai penghibur, penggubah dan ahli muzik termuda yang merakamkan konsertnya sendiri dalam bentuk cakera video digital (DVD) untuk edaran ke seluruh dunia.
Dia hanya perlu mendengar sebuah lagu sekali, menghafalnya dan kemudian memainkan semula lagu terbabit.
Si kecil itu mula bermain piano pada usia tiga tahun dan menggubah lagu pada usia lima tahun. Dia boleh memainkan kira-kira 200 lagu secara hafalan yang dianggap daya ingatan cukup kuat untuk kanak-kanak seusianya.
Mungkin tidak sepopular Lilly di YouTube namun pemain piano kecil ini tetap menarik tumpuan ramai sama ada di kaca televisyen mahupun di Internet.
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
21 April 2009
Si kecil luar biasa
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment