'TERATAK Rahimah' yang terletak di Kampung Pengkalan Batu, Melaka lebih dikenali sebagai 'Rumah Tradisional' negeri Melaka.
Sumber: NUR FARISHA FAIZ
utusanmelaka@utusan.com.my
Umum telah lama mengetahui mengenai keistimewaan dan keunikan Kampung Pengkalan Batu sebagai kampung tradisional yang mempamerkan seni bina rumah asal tradisional sehingga kepopularan kampung itu disebut-sebut di kalangan pelancong asing.
Hakikatnya, kampung berusia lebih daripada 300 tahun ini sebelum berada di tahap ini, ia kurang mendapat perhatian mana-mana pihak terutama di kalangan masyarakat Melayu sendiri.
Menurut asal usul kampung ini, nama Pengkalan Batu diambil sempena kewujudan batu besar yang terdapat banyak memenuhi kawasan hadapan Sekolah Menengah (A) Sultan Muhammad suatu masa dulu.
Sebelum Kampung Pengkalan Batu ini digelar 'kampung cantik', ia sebenarnya satu ketika dulu merupakan kampung terbiar dan dipenuhi semak-samun serta hutan tebal.
Ekoran keadaannya yang dilihat sebagai kampung terbiar, maka timbullah cerita di kalangan penduduk asal di situ bahawa kampung tersebut dihuni golongan makhluk halus seperti jin, orang bunian dan pontianak sehingga menimbulkan perasan resah di kalangan penduduk di situ.
Lebih menarik tentang cerita makhluk halus Kampung Pengkalan Batu ini, mana-mana penduduk di kampung itu yang melakukan perbuatan tidak baik dan bertentangan dengan agama pasti diganggu oleh makhluk halus tersebut.
Kampung Pengkalan Batu dibuka oleh Allahyarham Datuk Baharum atau lebih dikenali di kalangan penduduk setempat dengan panggilan Datuk Gubah.
Datuk Gubah merupakan salah seorang alim ulama dan tokoh agama yang terkenal pada zaman itu dan beliau turut mendiami kampung tersebut.
Kini makamnya yang terdapat di Kampung Pengkalan Batu dianggap keramat kerana sesiapa yang datang berdoa di makamnya, doa yang dipohon dikatakan akan menjadi kenyataan.
Kerajaan negeri melalui usaha Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) menamakan makam tersebut dengan nama 'Nesan Batu Acheh'.
Selain itu, menyingkap keistimewaan Kampung Pengkalan Batu pada hari ini, di kampung itu terdapat sebuah rumah yang berusia lebih kurang 100 tahun dan terkenal dengan panggilan 'Rumah Pelancongan' Melaka oleh orang kampung dan pelancong luar.
Rumah ini menerima kehadiran pengunjung dan pelancong dari luar untuk mengetahui dengan lebih mendalam lagi mengenai struktur rumah dan pelbagai hiasan yang digunakan di dalam rumah Melayu tradisional Melaka yang popular dengan tangga batunya.
Rumah tradisional yang diberi nama 'Teratak Rahimah' ini diambil sempena nama pemiliknya iaitu Rahimah Tumpang, 56, yang merupakan generasi keempat yang menduduki rumah tersebut.
Jika dilihat pada kawasan sekitar rumah itu, ia mempunyai keunikan tersendiri dengan lanskapnya yang teratur dengan pelbagai jenis tumbuhan hijau yang menghiasinya, begitu juga dengan pokok-pokok bunga yang menceriakan lagi halaman rumah itu.
Bukan setakat halaman rumah sahaja, malah didalamnya juga terdapat pelbagai hiasan dalaman yang unik dan membuatnya lain daripada rumah kampung yang sedia ada.
Rahimah berkata, rumah tersebut telah dihias dengan pelbagai jenis barang antik dan perhiasan barangan lama untuk mewujudkan ciri-ciri tradisional yang terdapat pada rumah-rumah lama zaman dahulu.
''Pada mulanya, saya menghias rumah ini sekadar suka-suka dan menjadi hobi saya untuk mengumpul barang-barang antik tetapi tidak sangka, rumah saya sekarang menjadi rumah pelancongan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.
Sewaktu melangkah ke ruang tamu, pengunjung akan melihat pelbagai barangan antik seperti seterika besi, alat permainan congkak dan lain-lain lagi yang menghiasi sudut ruang tamu rumah berkenaan.
Di bahagian atas rumah tersebut pula, pengunjung akan disambut dengan alat permainan muzik piring hitam termasuk barang-barang tembaga yang lain manakala di dalam bilik pula, terdapat sebuah katil lama yang dihiasi dengan cadar pengantin siap dengan barang hantaran menunjukkan ciri-ciri adat Melayu ketika acara perkahwinan dilakukan.
Di bahagian kiri serambi pula, terdapat sebuah meja kecil yang diletakkan pelbagai jenis hidangan dan kuih-kuih tradisional yang diperbuat daripada batu manakala sebelah kanannya terdapat sebuah pelamin yang dihias indah.
Menurut Rahimah, sejak 12 tahun yang lalu, dia telah mengambil langkah untuk menjayakan program bersih dan indah yang diwar-warkan oleh kerajaan negeri melalui Majlis Perbandaran Melaka Bersejarah dan tujuannya bukan untuk masuk bertanding dan menang semata-mata.
''Yang ada dalam fikiran saya ketika itu adalah untuk mencantikkan dan mengindahkan lagi kawasan laman rumah saya," katanya.
Antara rahsia kejayaannya, paling utama ialah mempunyai perasaan cinta dan sayang yang tinggi kepada kebersihan dan keindahan, termasuk memelihara barang-barang antik lebih 100 tahun yang sedia ada dalam simpananya.
Pelbagai hiasan barangan antik yang terdapat di rumahnya yang merupakan warisan keluarga dan ada juga yang dibeli daripada penjual barangan antik di seluruh Malaysia.
''Saya sanggup mengelilingi seluruh Malaysia semata-mata ingin mengumpul barangan antik yang mempunyai nilainya yang tersendiri,'' katanya.
Rahimah berkata, antara barangan antik yang terdapat di dalam simpanannya ialah gong, seterika besi, batu giling untuk membuat cili boh, katil lama dan pelbagai lagi yang membuatkan pengunjung terutamanya pelancong asing teruja untuk melihatnya.
Menurut Rahimah, kebanyakan pelancong asing yang datang ke rumahnya dibawa oleh agen-agen pelancongan yang menjadikan rumahnya sebahagian daripada pakej yang ditawarkan.
''Saya hanya mengambil RM10 sahaja untuk satu bas persiaran yang membawa pelancong-pelancong asing yang datang ke rumah saya bagi membaik pulih lantai kayu dan membeli barang antik yang lain untuk menambah lagi koleksi yang sedia ada,'' katanya.
Rahimah berkata, walaupun rumah tersebut dijadikan rumah pelancongan yang menerima kedatangan tetamu daripada jam 8 pagi sehingga 8 malam, mereka sekeluarga masih menetap di rumah pusaka tersebut.
Beliau yang mempunyai 14 orang anak hasil pengkongsiannya dengan suami, Tahir Baba, 64 , berkata, suami dan anak-anaknya juga turut memberi sokongan terhadap usaha yang dilakukan.
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
24 April 2009
Pengkalan Batu Mempesona
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment