Dokumentari 120 minit Big Blue mengambil 180 bulan untuk disiapkan dengan menyabung nyawa petugas di perairan Costa Rica Dome, Amerika Tengah. Semuanya dilakukan demi paus biru.
Sumber: SUBASHINI RAJANDRA
subashini.rajandra@kosmo.com.my
BAGI semua haiwan yang pernah mendiami permukaan Bumi, ikan paus biru ternyata merupakan haiwan terbesar pernah direkodkan dalam sejarah. Untuk gambaran ringkas, bayangkan saiz seekor paus biru dewasa adalah dua kali ganda ukuran bas Intrakota dengan panjang melebihi 100 kaki.
Ikan paus biru mencatatkan berat hampir 200 tan atau 200,000 kilogram. Ini bermakna, ia jauh lebih berat daripada 25 ekor gajah dewasa Asia. Dengan jantung sebesar kereta Mini Cooper, iaitu kira-kira 450 kilogram, seorang manusia dipercayai boleh merangkak melalui arteri utama jantung ikan paus biru.
"Dalam sehari, haiwan yang bersifat lemah-lembut ini makan purata empat tan kril (seakan-akan udang). Dalam erti kata lain, ia sama seperti 64,000 biji burger," ujar Dr. Bruce Mate dengan penuh keterujaan.
John Calambokidis
Tidak hairanlah bagi Dr. Mate atau mana-mana saintis di dunia, maklumat yang diketahui tentang haiwan itu agak kurang. Antara perkara yang sehingga kini tinggal misteri adalah kawasan paus biru melahir dan menyusu anak, selain pilihan laluan sebaik sahaja tiba musim sejuk untuknya berhijrah ke kawasan lain.
Menurutnya, kesemua itu perlu diketahui bagi usaha mempergiatkan aktiviti perlindungan mamalia tersebut.
Dr. Mate, 63, ialah seorang saintis tersohor yang menyelidik tentang ikan paus sejak tahun 1978 dan juga Pengarah Program Mamalia Marin di Universiti Oregon State, Amerika Syarikat (AS).
DR. BRUCE MATE berkongsi pengalaman dengan sekumpulan kanak-kanak di Malaysia.
Beliau dikenali kerana menerajui usaha mengesan ikan paus dengan menggunakan pemancar satelit radio ringan. Terbaru, beliau dan kumpulan penyelidiknya membuat kajian terhadap ikan paus sperma di Teluk Mexico (Amerika Utara), paus kelasa - (Alaska, AS dan Gabon, Afrika Tengah), paus biru (Chile, Amerika Selatan), paus bersirip (Mediterranean) dan paus selatan di Afrika Selatan.
Justeru, tawaran untuk bekerjasama dengan Pertubuhan National Geographic diterima dengan sepenuh hati bagi membongkar dan menyelami dunia ikan paus biru yang rata-ratanya dihabiskan di laut dalam.
Menerusi dokumentari khas, Big Blue yang disiarkan baru-baru ini di Astro, saluran 553, Dr. Mate bertindak sebagai ketua penyelidik bersama pasukannya menongkah arus dari California Selatan, AS menuju ke Costa Rica Dome, Amerika Tengah.
Ekspedisi selama beberapa bulan itu turut disertai penerbit rancangan tersebut, Sue Houghton dan rakannya, Ernie dari National Geographic Television, John Calambokidis, seorang penyelidik biologi dan salah seorang pengasas badan bukan berkeuntungan, Penyelidikan Cascadia di AS serta krew kapal R.V. Pacific Storm
Dokumentari selama 120 minit itu mengembara ke sebuah tapak yang kurang dijelajahi manusia (Costa Rica Dome) bagi menyiapkan carta migrasi ikan paus biru yang dapat dilakar secara tepat semasa musim sejuk. Setelah meletakkan tag ke atas 15 ekor ikan paus tersebut, kumpulan ekspedisi ini berjaya menjejaki tingkah laku haiwan ini dengan bantuan satelit.
SEEKOR ikan paus biru berenang dengan anak ikan paus.
"Costa Rica Dome meliputi daerah seluas 1,000 kilometer di Lautan Pasifik dan sejak dahulu, para saintis percaya bahawa ia merupakan sebuah tapak mengawan dan melahirkan anak ikan paus biru."
"Ini kerana kawasan itu penuh dengan bekalan nutrien kril dan faktor itu menggalakkan ikan paus berhijrah ke sini," jelas Calambokidis yang melahirkan rasa kagum kerana dapat melihat buat pertama kali haiwan itu secara dekat.
DR. BRUCE MATE menyelidik tentang ikan paus sejak lewat 1970-an lagi.
Tiga daripada 15 ekor ikan paus biru yang ditag melakukan migrasi dari Santra Barbara, Selatan California ke Costa Rica Dome. Sebaik sampai di situ, para saintis cuba mengenal pasti kedudukan sebenar ikan paus ini kerana berlaku sedikit kelewatan transmisi isyarat satelit.
"Mengesan ikan paus biru yang lazimnya menghabiskan hampir seluruh hayatnya di dalam air dan mengembara 160 kilometer ke mana-mana arah dalam tempoh 24 jam, bukanlah satu tugas yang boleh dipandang ringan," ujarnya yang menambah berlaku evolusi fosil ikan paus daripada berkaki kepada tidak berkaki.
Ekspedisi itu juga mencapai kejayaan dalam mendedahkan tapak mengawan, melahirkan anak paus dan mencari makanan pada musim sejuk, di samping merakamkan irama seekor ikan paus menyanyi dalam dialek tersendiri.
SUE HOUGHTON tekad merakamkan imej ikan paus biru di laut yang tenang.
Tag akustik sementara juga menggunakan pendengaran gema bagi mengesan kril yang keluar pada waktu senja. Ia menarik perhatian ikan paus biru yang menyelam beberapa kali untuk mendapatkan bekalan makanannya.
Sementara itu, Houghton dan Ernie mendepani cabaran merakamkan ikan paus biru yang keluar beberapa saat untuk menghembuskan air dari serombong sebelum menyelam semula. Cuaca dan keadaan air juga memainkan peranan penting supaya imej yang diperoleh adalah jelas dan berkualiti.
Houghton berkata, meskipun beliau telah meranjau onak duri dunia perfileman dokumentari di hutan tebal Amazon, cuaca membeku di Artik dan ribut petir di lautan Pasifik menjadikan tugasan ini cukup menguji kesabarannya.
Bekerja selama 16 jam sehari untuk merakam, mengedit, mencatatkan log masa, membaiki peralatan kamera dan audio serta membaca dan menulis skrip, beliau tetap terpegun dengan momen merakamkan seekor ikan paus biru betina bersama anak paus yang berumur sebulan.
"Sewaktu anak paus ini mendekati kamera, kami berjaya mendapat rakaman yang jelas dengan permukaan air yang jernih. Saya anggap ia sebagai tuah dengan magis sokongan alam," jelasnya yang menggunakan teknologi kamera Crittercam.
Crittercam yang dihasilkan oleh pembikin filem Greg Marshall dari National Geographic memberi akses kepada kehidupan haiwan di atas darat mahupun dalam air dengan kemudahan kamera video, mikrofon, alat pengukur suhu dan tekanan, lampu dan lain-lain yang dipasang pada badan haiwan.
"Pada saat ini pun, saya rasa terharu menonton semula dokumentari ini yang mengambil masa 18 bulan untuk disiapkan. Ia adalah seekor haiwan yang istimewa," ungkapnya.
Big Blue direalisasikan dengan niat untuk menyelamatkan ikan paus biru daripada ancaman kepupusan disebabkan oleh pemburuan, pelanggaran dengan kapal, pencemaran air dan bunyi.
Dijangkakan hanya 10,000 hingga 25,000 ikan paus biru hidup di planet ini. Malah, kurang daripada 2,000 ekor ikan itu tinggal di kawasan yang direkodkan mempunyai populasi tertinggi iaitu benua Antartika.
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
23 April 2009
Momen Paus Biru
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment