SALAH satu spesies itik yang comel kerana mempunyai kombinasi warna menarik.
MENDENGAR kicauan burung bersahutan pada awal terbit mentari pagi sungguh mendamaikan jiwa. Bagi mereka yang terperap di persekitaran ‘hutan batu’, ketenangan yang diperoleh seperti ini pastinya cukup mendamaikan.
Tidak perlu menjejak ke ceruk kampung, suasana ini boleh anda kecapi sebaik melangkah masuk ke Taman Burung Pulau Pinang (Taman Burung).
Jujurnya, bukan sahaja bagi pencinta unggas tetapi mereka yang ingin lari daripada kesibukan kota pasti terpesona ‘bersatu’ jiwa di kawasan rekreasi yang terdapat di Pulau Mutiara ini.
Terletak di pusat bandar Seberang Jaya di Seberang Perai, taman burung itu dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 7 petang termasuk pada hari cuti umum.
Untuk ke sini tidaklah sesukar mana. Jika datang ke Pulau Pinang menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan, pengunjung hanya perlu menyusur keluar ke arah Seberang Jaya dan melalui Jalan Todak untuk tiba di lokasi.
GINO memberi makan burung bangau di taman burung miliknya di Seberang Jaya.
--------------------------------------------------------------------------------
Namun, sebelum membuat keputusan untuk berkunjung ke sana, pasti ramai yang tertanya-tanya apakah keistimewaan taman burung ini dan spesies apakah yang dipamerkan di sana?
Dibuka pada 8 Ogos 1988 di atas sebidang tanah milik Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Taman Burung tersebut antara lokasi popular pelancongan terutama bagi pelajar sekolah di sekitar utara Semenanjung Malaysia.
Minat dua beradik
Berbeza dengan taman haiwan lain, Taman Burung Pulau Pinang mempunyai kisah tersendiri. Ia dimulakan dengan penuh jerih-payah oleh dua orang pencinta burung iaitu Dr. Gino H.C. Ooi dan abangnya, Micheal Ooi. Demi minat dan kasih sayang kepada haiwan itu, mereka memelihara 20 spesies burung di rumah mereka.
Oleh kerana tidak lagi sesuai disimpan di rumah, akhirnya dua beradik itu membuka sebuah taman burung mini.
Dengan perbelanjaan awal mencecah RM1.2 juta, taman burung tersebut dirasmikan oleh Tun Mahathir Mohamad yang ketika itu menjadi Perdana Menteri. Namun menurut Gino, pada tahun 1995, abangnya terpaksa menarik diri daripada pengurusan taman burung berkenaan atas faktor kos penyelenggaraan yang semakin tinggi ketika itu.
Namun, tidak pernah kenal erti putus asa, Gino tetap nekad meneruskan impiannya memajukan taman burung itu. Ternyata apabila niat murni bersatu dengan usaha gigih, selepas 22 tahun ia masih gagah berdiri untuk menarik ribuan pengunjung.
“Kalau diikutkan, memang kosnya besar kerana setiap burung dan haiwan yang dipelihara di sini perlu diberi makan mengikut diet masing-masing.
“Bagaimanapun, kerana minat yang terlalu mendalam saya teruskan usaha untuk memastikan taman burung ini boleh terus dikunjungi,” katanya yang memberitahu dia perlu membelanjakan kira-kira RM40,000 setiap minggu untuk menanggung kos makanan burung dan gaji kepada 17 pekerjanya.
Burung seluruh dunia
Dengan purata pengunjung kira-kira 100 orang pada hari biasa dan di antara 500 hingga 600 orang pada hujung minggu, jualan tiket dapat membantunya menampung kos yang semakin meningkat itu.
TAMAN burung ini sudah berusia 22 tahun selepas dimulakan Gino dan abangnya, Micheal.
--------------------------------------------------------------------------------
Jika ketika awal pembukaan hanya terdapat kira-kira 100 ekor burung, kini Taman Burung seluas kira-kira dua hektar itu menempatkan kira-kira 3,000 ekor burung dari lebih 300 spesies dari seluruh dunia.
Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 150 spesies burung tempatan dengan kebanyakannya merupakan spesies terancam dan sukar ditemui.
Menurut Gino, kesemua burung berkenaan boleh dilihat dalam jarak yang dekat kerana ditempatkan di dalam 150 sangkar khas.
Tambahnya, walaupun bersangkar tetapi setiap pengunjung masih boleh menyentuh dan berinteraksi dengan burung berkenaan termasuklah memberi makan di atas tangan menggunakan makanan khas yang telah disediakan.
“Ia pasti pengalaman yang menyeronokkan apabila ada burung yang akan hinggap di atas tangan kita untuk mengambil makanan yang diberi. Namun bukan semua, ada spesies yang bersifat pemalu dan agak takut sekiranya dihampiri manusia seperti burung merpati mahkota yang berasal dari Papua New Guinea,” jelasnya.
Katanya lagi, antara burung yang menjadi tarikan pengunjung adalah 11 spesies burung enggang. Ia terdiri daripada spesies enggang terbesar dan terkecil di dunia yang berasal dari Afrika.
Selain itu katanya, pelbagai spesies burung kakak tua dan nuri pelbagai warna juga terdapat di taman burung itu yang pastinya menarik perhatian para pengunjung terutama kanak-kanak.
Selain burung, pengunjung juga berpeluang melihat pelbagai jenis haiwan lain yang turut dipelihara di situ termasuklah kancil, napoh, rusa, buaya tembaga, ular dan kura-kura.
Untuk melihat ikan arapaima yang kini mencecah tiga meter panjang pula, pengunjung perlulah berada di atas jambatan dengan seni bina Cina yang dibina merentasi kolam.
Di samping itu, pengurusan Taman Burung turut mengadakan pertunjukan percuma melibatkan aksi beberapa ekor burung yang mempunyai nilai pendidikan secara percuma sebagai hadiah kepada pengunjung.
“Tidak seperti pertunjukan haiwan lain, di sini kami menggunakan burung yang telah dilatih untuk menunjukkan pelbagai aksi yang sememangnya merupakan sifat semula jadi mereka sekiranya berada di dalam hutan atau di habitat asal.
“Sebagai contoh, burung helang akan terbang rendah di atas kepala setiap penonton yang berada di hadapan pentas menunjukkan bagaimana cara sebenar burung berkenaan memburu mangsanya.
“Begitu juga pertunjukan burung kakak tua yang akan menggunakan paruhnya untuk membawa beberapa jenis barang dari satu tempat ke tempat lain.
“Ia merupakan cara sebenar bagaimana burung tersebut membawa makanan yang diperoleh dari satu tempat untuk dibawa ke sarang sebagai makanan kepada anak-anaknya,” jelasnya.
Kata Gino, pertunjukan burung itu dilakukan dua kali sehari iaitu pada pukul 11.30 pagi dan 3.30 petang.
Dengan bayaran masuk RM15 bagi dewasa dan RM7.50 bagi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun, ia menjanjikan keseronokan serta pengalaman yang berharga kepada setiap pengunjung.
Bagi pelancong asing pula, bayaran masuk yang dikenakan ialah RM20 (dewasa) serta RM10 (kanak-kanak).
Sebagai tanda kenang-kenangan, pengunjung juga boleh mendapatkan pelbagai barangan cenderamata pada harga yang berpatutan yang dijual di kedai di taman itu.
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
13 October 2010
Taman pujaan hati Gino
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment