FAST...cara mudah kenali tanda strok
SERANGAN otak. Ini istilah tepat untuk penyakit strok atau angin ahmar yang sering dipandang sebelah mata dan dianggap kurang penting berbanding penyakit jantung, sedangkan kesan dialami sebenarnya jauh lebih buruk dan boleh menyebabkan pesakit hilang keupayaan atau terlantar sepanjang hayat.
“Secara peribadi, saya lebih rela terkena serangan jantung daripada strok; jika serangan jantung itu teruk, saya akan meninggal dunia. Habis cerita.
“Bagaimanapun, serangan strok berbeza kerana ia boleh menyebabkan pesakit menjadi lumpuh sama ada sebelah badan atau sepenuhnya dan terlantar.
“Sepanjang hayat terpaksa bergantung kepada orang untuk semua perkara,” kata Perunding Kardiologi dan Presiden Majlis Strok Malaysia, Dr Razali Omar.
Di Amerika Syarikat, 15 juta orang mendapat serangan strok setiap tahun; lima juta meninggal dunia dan lima juta lagi mengalami kehilangan keupayaan kekal. Pada 2005, 5.7 juta kematian akibat strok dicatatkan dan 87 peratus kes berlaku di negara berpendapatan rendah dan sederhana.
Di negara kita sebanyak 10,000 kes baru dicatat setiap tahun dan yang membimbangkan, risiko strok meningkat sejajar pertambahan umur; dikukuhkan dengan tabiat pemakanan tidak sihat, merokok, kurang kawalan penyakit (terutama kencing manis, tekanan darah tinggi dan masalah kolesterol tinggi) serta kurang bersenam.
Strok ada dua jenis iaitu iskemia dan pendarahan. Strok iskemia berlaku apabila otak kekurangan bekalan darah dengan kehadiran ketulan darah yang menyekat aliran darah ke otak. Strok pendarahan terjadi apabila salur darah di otak pecah dan menyebabkan darah terkumpul di otak.
Bagaimanapun, serangan strok paling kerap berlaku ialah strok iskemia dan antara puncanya ialah masalah jantung dikenali sebagai fibrilasi atrium.
Fibrilasi atrium ialah keadaan apabila degupan jantung menjadi tidak normal sama ada terlalu cepat, terlalu perlahan atau rentak degupan tidak sekata yang paling kerap berlaku. Di Eropah barat dan Amerika Syarikat saja dilaporkan ada lebih sembilan juta mengalami masalah ini.
Menurut Dr Razali, jantung mempunyai empat bilik — dua di atas (kiri dan kanan) dan dua di bawah. Untuk membolehkan jantung berdegup (dan mengepam darah), ia memerlukan sistem elektrik yang dihasilkan oleh sel dalam bilik kiri atas yang bergerak ke bilik kanan atas jantung.
“Apabila ia menerima isyarat elektrik, bilik atas akan mengecut dan menolak (mengepam) darah memasuki bilik bawah. Selepas semua darah memasuki bilik bawah dan mendapat isyarat elektrik, baru bilik bawah jantung mengecut dan mengepam darah yang beroksigen keluar untuk dihantar ke seluruh badan.
“Fibrilasi atrium berlaku apabila isyarat elektrik dikeluarkan terlalu cepat, menyebabkan bilik atas mengecut terlalu cepat antara 400 hingga 600 degupan seminit berbanding kadar degupan biasa iaitu 60 hingga 100 degupan seminit.
Dalam keadaan tidak normal ini, kadangkala pengecutan bilik atas jantung tidak berlaku dan darah terkumpul di dalamnya.
“Darah perlu mengalir sepanjang masa. Jika bertakung, sel darah melekat sesama sendiri dan membentuk darah beku.
“Ketulan darah beku inilah yang berbahaya kerana jika memasuki salur darah ke otak, ia menyekat aliran darah dan menyebabkan serangan otak (strok).
Senarionya sama seperti serangan jantung, cuma ia berlaku di otak,” katanya.
Setiap tahun di seluruh dunia dianggarkan tiga juta orang mengalami strok berkaitan fibrilasi atrium atau satu kes bagi setiap 12 saat. Strok berkaitan fibrilasi atrium lebih serius dan menyebabkan lebih banyak kematian serta kehilangan keupayaan. Malah, individu yang mengalami masalah fibrilasi atrium mempunyai risiko lima kali untuk mendapat serangan strok berbanding mereka yang tiada masalah berkenaan.
Punca dan tanda strok
Banyak masalah kesihatan yang boleh menyebabkan serangan strok seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, kegagalan jantung atau lain- lain trauma membuatkan salur darah dalam otak pecah. Satu masalah paling kerap menyebabkan strok ialah fibrilasi atrium.
Malangnya tidak ramai sedar mereka mengalami masalah fibrilasi atrium, kebanyakan pesakit yang datang berjumpa doktor mengadu sakit dada. Kira-kira 50 peratus kes fibrilasi atrium tidak mempunyai gejala.
Satu cara untuk mengetahui sama ada degupan jantung normal atau tidak ialah dengan mengira dan merasa denyutan nadi di pergelangan tangan. Jika denyutan terlalu cepat atau tidak sekata, segera jumpa doktor untuk pemeriksaan.
Perunding Neurologi dan Presiden Majlis Neurosains Malaysia, Dr Hamidon Basri, berkata kebanyakan orang tidak sedar mereka mengalami gejala strok. Antara tanda penting serangan strok ialah seperti berikut:
> Tiba-tiba rasa kebas atau lemah pada badan, terutama pada satu belah
> Penglihatan (sebelah atau dua-dua belah mata) tiba-tiba berubah
> Sakit kepala teruk yang tidak diketahui secara tiba-tiba
> Tiba-tiba berasa pening, sukar berjalan dan hilang keseimbangan
> Tiba-tiba anda sukar bercakap, keliru dan tidak memahami percakapan orang
Jika anda dapati ada ahli keluarga atau teman mengadu mengalami gejala di atas, anda boleh lakukan buat ujian mudah dipanggil FAST iaitu:
•F (face) — Muka. Minta seseorang itu untuk senyum. Adakah senyumannya senget sebelah?
•A (arm) — Lengan. Suruh individu itu mengangkat kedua-dua tangannya. Adakah sebelah tangan jatuh?
•S (Speech) — Percakapan. Adakah individu itu boleh mengulang ayat mudah? Adakah percakapannya tidak jelas dan sukar difahami?
•T (Time) — Masa. Masa adalah perkara yang sangat kritikal bagi pesakit strok. Ini kerana tempoh untuk memulihkan serangan strok sangat terhad iaitu kurang dari empat jam selepas serangan.
Jika individu itu menunjukkan tanda di atas, segera bawa ke hospital untuk mendapat rawatan sewajarnya. Setiap saat berlalu bermakna semakin banyak sel otak yang mati.
Strategi pencegahan dan rawatan
Dr Hamidon berkata, perkara paling penting untuk dilakukan ialah mengawal penyakit sedia ada, terutama kencing manis, tekanan darah tinggi dan paras kolesterol, selain kerap bersenam serta elak merokok.
“Jika merokok, segera berhenti kerana ia meningkatkan risiko mendapat strok sehingga 50 peratus dan kesan asap rokok hanya hilang sepenuhnya dalam masa dua hingga empat tahun selepas anda berhenti merokok.
“Melakukan perubahan gaya hidup adalah kaedah terbaik untuk mencegah strok. Berdasarkan kajian, penduduk Asia, termasuk Malaysia, mendapat serangan strok 10 tahun lebih awal berbanding penduduk Barat. Antara faktor penyumbang kepada keadaan ini ialah tabiat pemakanan dan gaya hidup kurang sihat,” katanya.
Dr Hamidon berkata, jika ada yang mengalami masalah fibrilasi atrium, segera dapatkan rawatan kerana ia menjadi penyumbang utama serangan strok. Kajian menunjukkan serangan strok berkaitan fibrilasi atrium lebih teruk kesannya berbanding strok jenis lain.
“Yang menyedihkan ialah, apabila mendapat serangan strok teruk, pesakit terpaksa bergantung sepenuhnya kepada bantuan orang walaupun untuk makan dan membersihkan diri. Tidak boleh menelan adalah masalah biasa bagi pesakit strok dan dalam keadaan ini mereka memerlukan makanan formulasi yang bukan murah harganya.
“Pesakit yang terlantar pula memerlukan penjaga sepenuh masa untuk mengubah posisi badan bagi mengelak ulser tekanan, terutama pada belakang badan. Setiap pesakit strok yang terlantar akan menyebabkan dua hingga tiga orang menjadi ‘kurang upaya’ kerana perlu berhenti kerja dan menjaga pesakit sepenuh masa,” katanya.
Masalah dihadapi pengamal perubatan di negara kita ialah pesakit strok lambat dibawa ke hospital (75 peratus kes). Banyak punca menyebabkan kelewatan ini, antaranya membiarkan gejala kecil dialami kerana menganggap bukan masalah serius, mahu mencuba rawatan tradisional terlebih dulu, tidak tahu mengenai penyakit, tinggal sendirian dan tinggal jauh dari hospital.
Lambat di sini bermakna melebihi tiga jam selepas mendapat serangan strok. Bagi pesakit strok, setiap saat sangat berharga dan mereka perlu diberi rawatan dalam tempoh empat jam bagi melawan kesan serangan strok. Namun kesan pemulihan paling baik jika pesakit diberi rawatan dalam tempoh 90 minit selepas serangan pertama strok.
“Serangan strok boleh berulang. Pesakit berisiko 30 kali ganda mengalami serangan kedua dalam masa tiga hari dan 14 kali ganda dalam masa 14 hari. Jadi, sebaik ahli keluarga terkena serangan strok, segera dail 999 untuk mendapatkan maklumat hospital terdekat yang menyediakan rawatan strok dan segera bawa pesakit ke hospital berkenaan.
“Hampir 78 peratus pesakit lewat dibawa ke hospital kerana mereka bergantung kepada keluarga untuk membuat keputusan bagi mendapatkan rawatan. Ini memang menyedihkan kerana kelewatan hanya membawa keburukan kepada pesakit,” katanya pada majlis pelancaran Kempen 1 Misi 1 Juta — Mendalami Punca Strok anjuran Boehringer Ingelheim.
Kempen ini diadakan bagi mencegah sejuta kematian akibat strok disebabkan fibrilasi atrium yang dilihat semakin membimbangkan.
Dalam kempen ini, semua pihak dipelawa mengemukakan cadangan atau idea projek untuk meningkatkan kesedaran mengenai strok dan fibrilasi atrium serta penambahbaikan pengurusan penyakit.
Cadangan anda akan dinilai pakar perubatan antarabangsa dan diundi oleh orang ramai melalui laman web.
Mana-mana 32 projek terpilih akan menerima pembiayaan sebanyak 1 juta euro (RM4.3 juta) dan untuk menyertai program ini anda hanya perlu mendaftar di laman web 1 Misi 1 Juta di www.heartofstroke.com yang berakhir 31 Disember depan.
Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
31 October 2010
Gangguan aliran darah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment