KEINDAHAN hamparan pantai memanggil para tetamu resort untuk beriadah.
NEGERI Sabah sudah lama dikenali sebagai destinasi pelancongan yang menawarkan pelbagai pengalaman eksotik dan unik di Malaysia Timur. Sebut apa saja tarikan yang ada - kejernihan laut dan sungainya, keindahan pulau-pulaunya, tarikan terumbu karang kelas dunia hinggalah kehebatan Gunung Kinabalu - semua itu memberi kenangan dan cabaran menarik untuk pengunjung..
Bercakap tentang hotel, Shangri-La Tanjung Aru Resort and Spa di Kota Kinabalu mungkin antara lokasi penginapan terbaik untuk dikunjungi.
Berlatarbelakangkan keindahan Laut China Selatan, resort yang terletak di lokasi perkelahan popular di Tanjung Rhu ini sesuai bagi mereka yang inginkan privasi sambil bersantai dan menikmati saat-saat istimewa bersama teman atau keluarga.
Berkonsepkan dua dalam satu, iaitu resort dan spa, ia menawarkan 429 bilik dan suit bertaraf lima bintang yang direka indah dan diinspirasi daripada warna dan tekstur tradisi masyarakat di kepulauan Borneo.
Terdapat dua blok utama di resort ini iaitu Kinabalu dan Tanjung yang menawarkan pemandangan berbeza. Pengunjung boleh memilih sama ada untuk melihat keindahan Gunung Kinabalu atau menikmati panorama indah Laut China Selatan daripada balkoni bilik masing-masing.
Terdapat beberapa jenis bilik yang ditawarkan bergantung kepada bajet pengunjung bermula daripada deluxe, suit Executive sehinggalah kepada suit Tanjung Presidential Seaview yang mewah dan eksklusif.
Jika inginkan layanan dan suasana yang lebih istimewa, anda boleh merasainya sebagai tetamu Kinabalu Club yang menawarkan bilik dan suit yang lebih selesa dan lengkap dengan pelbagai kemudahan.
Nilai tambah
Bagi setiap penginapan, tetamu akan mendapat pelbagai perkhidmatan tambahan seperti sarapan pagi dan minuman percuma sepanjang hari di Kinabalu Club Lounge, surat khabar dan buah-buahan serta bantuan kakitangannya yang mesra untuk mengatur sebarang aktiviti yang bakal dilakukan.
Jika perut berasa lapar, usah risau. Terdapat empat restoran dan kafe berkonsep indoor dan outdoor yang sedia menyajikan pelbagai hidangan lazat dan enak mengikut cita rasa pengunjung.
Sebut apa saja menu pilihan yang dikehendaki semua sedia terhidang di depan mata. Jika inginkan menu kontemporari Asia dan tempatan, singgahlah ke Cafe Tatu. Jika ingin menikmati keaslian makanan Itali dan sentuhan Mediterranean, Peppino mungkin menepati selera anda.
Bagi yang ingin mengubah selera, Coco-Joe's menghidangkan pelbagai pilihan barbeku dan hidangan makanan laut yang lazat dan menyelerakan.
Pengunjung yang ingin bersantai dan berhibur sambil mendengar alunan muzik, boleh berkunjung ke Blue Note atau Borneo Lounge and Bar manakala bagi mereka yang ingin menikmati hidangan atau minuman sambil melihat panorama matahari terbenam di tepi pantai, hadirkan diri ke Sunset Bar.
Aktiviti riadah
Tetamu resort juga boleh mencuba pelbagai kemudahan dan aktiviti riadah yang disediakan di resort ini antaranya gelanggang tenis, padang golf sembilan lubang, kelab kesihatan, kelab kanak-kanak, trek joging serta kolam renang untuk dewasa dan kanak-kanak.
Kunjungan ke resort ini tidak lengkap sekiranya tidak berkunjung ke CHI, iaitu sebuah perkampungan spa yang terletak di Pulau Bayu yang berdekatan. Ia khusus bagi pengunjung yang ingin membelai tubuh dalam suasana yang tenang dan mendamaikan.
Terdapat lapan vila yang disediakan bagi tujuan itu, setiap satunya dilengkapi bilik mandian sauna, ruang rehat dan bilik persalinan.
Dikendalikan oleh kakitangan yang terlatih dan profesional, pengunjung boleh mendapatkan khidmat perundingan daripada petugas di kaunter bagi melihat kesesuaian program terapi yang ditawarkan sebelum mencubanya.
Pakej yang ditawarkan meliputi urutan badan, kaki, tangan, muka dan sebagainya yang dilakukan mengikut pakej jam atau pakej lengkap yang memakan masa dua hingga empat hari. Harganya pula bermula dari serendah RM250 hingga RM1,966 bergantung kepada pakej-pakej yang dipilih.
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
14 October 2010
Pesona kamar dan pantai
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment