Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






26 October 2010

Suami isteri pemain ular















Muhd. Faizal menunjukkan kehebatannya menundukkan seekor ular tedung dengan memberikan satu ciuman.

MUHD. FAIZAL AHMAD, 27, mengeluarkan ular tedung selar sepanjang 12 kaki dari dalam sarung guni di depannya. Dilepaskan ular tersebut di atas lantai sambil tangannya cuba menolak ekor ular tersebut. Sesekali ular daripada keluarga Elapidae itu membuka mulut dan cuba untuk mematuk sambil mengeluarkan bunyi mungkin tanda ia terasa terganggu.

Penonton yang rata-rata terdiri daripada pelajar sekolah yang hadir menyaksikan pertunjukkan dan pameran Ular Lawan Ular di Muzium Negara, Kuala Lumpur, pada hari itu mula menjerit ketakutan.

Berkat pengalaman selama 15 tahun bermain ular, sekejap sahaja ular tedung selar berbisa itu berjaya ditundukkan Muhd. Faizal.

“Kalau ular ini menjalar keluar pentas awak semua cepat-cepat lari,” gurau Muhd. Faizal, namun disalah erti oleh sesetengah daripada pelajar sekolah sehingga membuatkan mereka bangun dari tempat duduk dan menjauhkan diri daripada pentas.

Sambil memberi penerangan mengenai fakta ular itu kepada pengunjung, Muhd. Faizal yang dibantu rakannya mula menunjukkan pelbagai aksi bersama ular-ular lain seperti ular sawa dan ular katam tebu. Paling menarik, Muhd. Faizal membuat aksi mencium mulut ular tedung selar, manakala rakannya pula membuat aksi memasukkan kepala ular katam tebu ke dalam mulut.

Pertunjukan selama setengah jam itu bukan sahaja diselitkan dengan permainan ular dan fakta mengenai ular semata-mata tetapi juga gelagat-gelagat komedi daripada kedua-dua pemain profesional ular itu.


Walaupun perasaan takut menyelubungi diri sehinggakan ada yang menjerit-jerit kerana terkejut, pelajar sekolah yang datang melihat persembahan ternyata masih tidak berganjak. Bagi mereka, peluang yang jarang hadir dalam hidup itu harus dinikmati sebaik-baiknya.

Tarik pengunjung

Kehadiran ramai pengunjung tempatan mahupun luar negara tidak kira pada hari-hari biasa, hujung minggu atau cuti umum untuk menyaksikan persembahan dan pameran ular di Muzium Negara itu, menjadi petanda jelas bahawa reptilia tersebut mempunyai tarikan kuat kepada orang ramai.

Ramai yang takut, geli dan gemuruh apabila melihat atau memegang ular. Namun, rasa takut, geli dan gemuruh itulah yang menjadikan ular sebagai satu reptilia misteri dan istimewa.

Pameran Ular Lawan Ular berlangsung selama 39 hari yang baru berakhir Isnin lalu menampilkan sebanyak 160 ekor ular terdiri daripada 33 spesies. Pengunjung cuma dikenakan bayaran sebanyak RM1 sehingga RM3 untuk pelbagai peringkat umur, manakala kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah masuk adalah percuma.

“Pameran ular ini diadakan untuk memberi gambaran yang tepat mengenai ular kepada orang ramai, selain menjadikan Muzium Negara sebagai destinasi menarik untuk dikunjungi,” kata Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Ibrahim Ismail.


Jelasnya, terdapat pelbagai aspek menarik tentang kehidupan ular yang dipaparkan di pameran itu. Dari segi perbezaan jenis, rupa, perlakuan, habitat, langkah-langkah bagi mengelak patukan ular, jenis-jenis bisa ular dan banyak lagi.

“Justeru, apa yang dipaparkan di dalam pameran ini diharap dapat menyumbang sebanyak mungkin maklumat dan pengetahuan tentang spesies ular ini,” katanya.

Menurut Ibrahim, selain pertunjukan ular yang diadakan sebanyak dua kali dalam sehari, antara tarikan lain dalam pameran Ular Lawan Ular itu adalah pengunjung berpeluang melihat ular sawa sepanjang 21 kaki (6.4 meter) dan seberat 80 kilogram.

“Terdapat juga wanita duduk bersama 100 ekor ular senduk dan seekor ular sawa albino di dalam bilik kaca selama 39 hari pameran berlangsung,” kata Ibrahim.

Bilik kaca yang memuatkan Noor Azhariah Adnan, 31, bersama ular itu juga dilengkapi televisyen LCD, kerusi, meja dan kipas.

Noor Azhariah yang juga merupakan isteri kepada Muhd. Faizal menyimpan impian untuk mencipta rekod dunia tinggal bersama ular seperti yang dilakukan di India, Pakistan dan Thailand.

“Saya akan duduk di dalam rumah kaca dan melakukan pelbagai aksi bersama ular sepanjang pameran berlangsung iaitu dari pukul 9 pagi sehingga 6 petang,” katanya yang akan keluar sekali-sekala untuk ke tandas.

Mendapat tunjuk ajar daripada sifu ular iaitu Hussine Dastagir dan Ali Dastagir yang merupakan adik ipar kepada Raja Ular Malaysia, Allahyarham Ali Khan, Noor Azhariah, mengambil masa selama tiga bulan untuk mengenali ular.

“Haiwan ular ini sebenarnya mempunyai sikap lemah-lembut dan mudah terkejut. Ular hanya akan menyerang apabila rasa terancam. Kita cuma kena pandai menangani haiwan ini,” katanya.

Koma dipatuk tedung senduk

Mempunyai 15 tahun pengalaman bermain ular, Muhd. Faizal mengakui pernah menghadapi saat getir apabila dipatuk ular.

“Saya pernah dipatuk ular tedung senduk semasa membuat persembahan pada tahun 1999 dan sekali lagi dipatuk oleh ular tedung selar pada tahun 2002.

“Kali kedua dipatuk saya koma selama lima hari dan kesannya sehingga kini saya tidak boleh lupa,” katanya yang memiliki parut yang ketara di bahagian lengan kirinya kesan daripada patukan ular tedung selar itu.

Jelasnya, setiap ular mempunyai perangai dan mood yang berbeza walaupun daripada jenis yang sama.

“Semakin lama kita dengan mana-mana ular, kita akan menjadi semakin rapat dan mengenalinya. Dari situlah kita tahu bagaimana untuk memahami ular itu. Setiap pergerakannya kita boleh tahu adakah ia sedang marah atau dalam mood yang baik,” ungkap Muhd. Faizal.

Muzium Negara turut menyediakan aktiviti-aktiviti sampingan seperti sudut foto bersama ular, kedai haiwan kesayangan yang menjual pelbagai jenis haiwan peliharaan, permainan dan pertandingan melibatkan pengunjung kanak-kanak.
Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA

No comments: